Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Kami hampir berpisah kerana zuriat Posted: 07 Mar 2014 10:44 AM PST Normala Hamzah BERTEMU, berkahwin dan memperoleh zuriat dan berusaha membesarkan keluarga sendiri menjadi impian setiap pasangan suami isteri. Penceraian antara suami isteri juga ada kalanya disebabkan zuriat kerana tanpa zuriat kemungkinan pasangan suami isteri tidak menikmati bahagia. Pun begitu manusia mampu merencanakan apa sahaja keinginan namun semuanya ketentuan Allah. Pelbagai kaedah mendapatkan anak terdapat dalam pasaran namun Allah jua jadi penentu. Mungkin ada hikmah tertentu yang kita tidak tahu. Hanya doa dipanjatkan agar impian akan menjadi kenyataan. Begitu harapan pasangan suami isteri, Faizal (bukan nama sebenar) dan Mira (bukan nama sebenar) yang telah berusaha tetapi belum lagi dikurniakan zuriat walaupun sudah enam tahun melayari alam rumah tangga. Malah pasangan ini hampir bercerai kerana sering bergaduh dan menjadi mangsa cemuhan keluarga kerana dikatakan mandul. Ingin tahu kisah selanjutnya, kita ikuti cerita Mira kepada saya. "Saya berusia lewat 30-an dan isteri awal 30-an. Kami sudah enam tahun lebih bernikah tetapi belum dikurniakan anak. Tapi kami tidak ambil kisah, walaupun sering disindir jiran dan saudara mara. "Satu hari, seorang jiran datang ke rumah dan meminta saya menjaga anaknya yang kami panggil Mia. Bagai pucuk di cita, ulam yang datang saya menerimanya dengan hati terbuka. Gembira sangat saya dengan pelawaannya itu. "Saya menerima upah yang berpatutan untuk menjaga Mia, sementara suami memberi sokongan penuh. Untuk seketika kami terlupa yang kami tidak ada anak dan pernah bercadang untuk berpisah. "Keletah dan manjanya Mia membuatkan kami suami isteri menyayanginya seperti anak sendiri. Mungkin juga anugerah daripada Allah untuk menyelamatkan rumah tangga kami. "Hampir tiga tahun kami mengasuh Mia, seperti kami menjaga anak sendiri. Setiap hari dia datang ke rumah, kami selalu juga bawa dia berjalan-jalan. "Malah setiap kali Mia diambil oleh ibu bapanya selepas waktu kerja, saya menjadi sunyi dan sedih. Tidak sabar menunggu siang untuk bermain dengan dia semula. Begitulah hari-hari yang saya lalui. Faizal juga selalu pulang awal kerana mahu bermain dengan Mia berbanding sebelum ini dia selalu pulang lewat malam. "Ketika sayang kami kepada Mia semakin mendalam, kami dikejutkan dengan berita yang bapanya ditukarkan kerja ke utara tanah air. Sedihnya hati saya Allah sahaja yang tahu. Ini bermakna kami akan berpisah dengan Mia.. "Mia akan dibawa oleh ibu bapanya berpindah, Ya Allah, kami akan kehilangan Mia dan merinduinya. Apa pun kami reda. Sebagai lambang kasih sayang kepada si kecil kami telah menghadiahkan seutas rantai emas. "Saat berpisah tiba. Terasa seperti anak sendiri diambil orang dan dibawa jauh daripada pandangan mata. Peluk cium tidak usah cerita sehinggakan saya menangis berhari-hari kerana merinduinya. "Setelah ketiadaan Mia kami mula bertelingkah lagi tentang anak. Cerita lama kembali diungkit. Seperti biasa saya kembali menjadi seorang yang pendiam sambil tidak putus berdoa agar Allah kurnia kepada kami zuriat, cukuplah walau seorang. "Suami ada mencadangkan kami ambil anak angkat tetapi saya tidak setuju kerana saya yakin boleh melahirkan anak sendiri. Lalu suami memberi idea supaya saya mengasuh anak orang untuk menghilangkan kesunyian dan boleh menambah pendapatan kami. "Syukur kerana ada jiran yang mahu saya menjaga dua orang anaknya, dapatlah rezeki saya. Seperti anak jiran sebelum ini, kami mencurahkan sepenuh perhatian kepada anak-anak yang saya jaga walaupun ada ketika upah yang diberikan tidak seperti yang dijanjikan. Tapi saya reda kerana saya tahu rezeki kami ada pada budak-budak ini. "Kami menjaga mereka seperti anak sendiri. Apa keperluan yang kurang kami akan beli tanpa menunggu ibu bapa mereka membelinya. Malah saya dan suami tidak berkira langsung tentang bayaran dan penat menjaga mereka. "Satu hari saya merasa kelainan pada kesihatan saya. Tekak terasa loya dan semua makanan tidak dapat saya jamah. Saya teringat satu rencana yang pernah saya baca tentang ibu mengandung. "Saya tersenyum...mengira kitaran haid saya yakin, saya telah dua kali tidak datang haid. Tanpa memberitahu Faizal saya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan. Saya nak buat kejutan untuk dia. "Alhamdulillah saya disahkan mengandung dua bulan. Gembiranya hati bukan kepalang. Allah telah mendengar doa kami. Saya rahsiakan dahulu daripada Faizal berita gembira ini. Pada masa yang sama saya mula membeli keperluan bayi setiap kali keluar membeli barang untuk anak-anak asuhan saya. "Sikap saya menghairankan Faizal. Dia bertanya kepada saya kenapa membeli barangan keperluan bayi. Saya tersenyum dan berkata, ia untuk bayi istimewa yang akan datang tidak lama lagi. "Ada nak ambil anak asuhan lagi kah? Tanya Faizal. Saya tersenyum dan menggelengkan kepala. Anak kita bang. Saya sudah hamil dua bulan. Tergamam Faizal dan terus memeluk saya dengan linangan air mata. Kemudian kami bersama-sama solat sujud syukur. "Enam tahun menunggu akhirnya impian menjadi kenyataan, itulah berkat kesabaran kami menghadapi ujian. Kami sangat bersyukur dengan anugerah ini. Begitulah Allah menguji hambaNya, jika kita reda dan bersabar, akan ada ganjarannya. "Kini anak saya telah meningkat usia tiga tahun dan kami masih lagi menjaga anak-anak jiran yang memerlukan khidmat saya. Malah saya tidak membezakan antara anak asuh dengan anak sendiri kerana saya sayang mereka semua. "Bagi saya, zuriat saya Allah bagi kerana saya menjaga dan mencurahkan kasih sayang kepada budak-budak asuhan saya terlebih dahulu. Mereka juga sebahagian daripada kebahagiaan kami suami isteri. "Semoga anak kami yang ditunggu enam tahun ini apabila besar menjadi insan berguna kepada agama dan masyarakat dan keluarga. Moga dia membesar sebagai anak solehah dan rumah tangga kami kekal hingga ke akhir hayat, Mira menamatkan ceritanya. Syukur Alhamdulillah dengan nikmat yang Allah berikan kepada Faizal dan Mira. Sesungguhnya Allah maha mendengar doa hambaNya. Saya juga gembira dengan apa yang Mira alami. Kita pernah mendengar ada pasangan yang bertahun-tahun tidak dikurniakan zuriat tetapi mengandung setelah mengambil anak angkat. Semuanya kerana Allah asalkan kita mahu berusaha dan berdoa memohon kepadaNya. Mudah-mudahan Mira sentiasa di dalam perlindungan Allah dan anaknya membesar sebagai anak soleh dan solehah. Anak penyeri rumah tangga dan harta yang perlu dijaga dengan baik-baik mungkin agar mereka menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Menamatkan catatan, sepatah kata daripada saya untuk iktibar bersama, sesungguhnya nikmat besar yang harus dijaga adalah ketika kebaikan itu memenuhi jiwa dan membahagiakan hati dengan rahmat petunjukNya jua! Salam. |
Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST Oleh Siti Aishah Yusoff Siti Nazilah Mohd.Yusoff (kanan) menunjukkan produk kraf daripada kulit telur di Khalis Deco Enterprise. Ramai yang pasti sukar membayangkan kulit telur yang nipis dan rapuh, boleh diukir untuk dijadikan hiasan kraf yang cantik dan unik. Kulit telur yang telah diproses diukir penuh kreatif pada bahagian permukaannya untuk dijadikan mangkuk hiasan bagi menyerikan meja kopi, atas almari rendah, dalam almari kaca atau untuk hiasan dinding. Gabungan pelbagai warna dengan setiap satu mempunyai ukiran dan corak berbeza kerana diukir menggunakan tangan, membuatkan kraf ini cukup istimewa. Pembuat kraf dari Khalis Deco Enterprise, Siti Nazilah Mohd. Yusoff berkata, mangkuk yang dihasilkan daripada bancuhan simen itu menggunakan teknik tampalan kulit telur sebagai bahan utama. Motif abstrak kulit telur dilakukan pada bahagian hujung, depan atau tengah permukaan mangkuk bersesuaian dengan saiz dan rekaannya. Tambahnya, selain boleh dijadikan hiasan untuk meja ruang makan dan hiasan meja ruang tamu, ia juga boleh dipelbagaikan untuk hiasan bilik tidur dan tempat untuk meletakkan wangian potpuri. Mangkuk yang berbentuk bulat dan sederhana bujur sesuai untuk dijadikan tempat hiasan wangian potpuri dan hiasan berbentuk kecil. "Mangkuk yang bersaiz lebih besar sesuai diletakkan di atas meja begitu sahaja mahupun menggantungnya pada dinding. "Ia juga sesuai untuk diletakkan di bahagian meja sudut mahupun meja utama ruang dalam kediaman," katanya. Tambahnya, selain untuk hiasan rumah, mangkuk kulit telur juga boleh dijadikan hadiah mahupun cenderamata kepada pasangan yang baru berkahwin mahupun sambutan hari jadi. Selain membuat hiasan mangkuk daripada kulit telur, Khalis Deco Enterprise turut menghasilkan hisan mengunakan kaca. Berminat untuk mendapatkan mangkuk ini boleh layari khalisdeco @yahoo.com. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |