Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 25 Feb 2014 05:31 AM PST Keletihan akibat kepanasan menyebabkan tubuh mula menjadi kering, pening dan mengalami kekejangan otot. - Gambar hiasan TIDAK kira sama ada musim sejuk atau panas, kedua-dua keadaan cuaca tersebut boleh memberi implikasi kepada tubuh badan sekiranya individu tidak memberi perhatian pada penjagaan yang sewajarnya. Sebagai contoh, cuaca panas atau kemaru yang melanda negara ketika ini menyebabkan ramai mengadu tidak selesa, selain peningkatan bagi kes demam, penyakit ruam mahupun penyakit-penyakit lain seperti batuk dan selesema yang memakan masa berhari-hari. Perkara ini diakui perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh yang ditemubual MEGA baru-baru ini. Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan penyakit yang sering terjadi pada musim panas adalah seperti ruam panas. Menurutnya, ruam panas sering terjadi bukan saja di kalangan bayi malah orang dewasa dan warga emas juga. Keadaan tersebut berlaku apabila cuaca panas dan individu tidak menggunakan pakaian yang sesuai seperti fabrik yang menyerap peluh, warna fabrik yang lembut dan tidak meminum air yang cukup. "Apabila panas terperangkap dalam badan, kilang peluh menjadi tersumbat dan tersekat. Apabila itu terjadi, pada permukaan kulit akan dilihat sedikit membengkak dan akan menimbulkan rasa tidak selesa. "Dalam sesetengah kes, apabila berlaku jangkitan maka boleh berlaku demam. Pemakaian adalah elemen penting dalam memastikan tubuh tidak terkena ruam panas pada musim panas ini," jelas Dr. Mat Rifin. Selain ruam panas, individu yang terdedah pada cuaca panas melampau juga berisiko terkena penyakit yang dinamakan heat edema. Golongan ini menurutnya, adalah mereka yang bekerja dan berdiri dalam cuaca panas untuk satu tempoh yang agak lama. "Dalam kes heat edema ini adakalanya boleh menjurus kepada simptom yang lebih serius lagi seperti keletihan akibat kepanasan (heat exhaustion). "Apabila ini berlaku, tubuh mula menjadi kering atau dehidrasi dan gejala lain seperti haus, pening dan kekejangan otot. Otot yang berisiko menjadi kejang seperti abdomen, kaki dan tangan. "Untuk mengelakkan heat exhaustion ini, individu tersebut perlu memberi keutamaan kepada pemakaian yang betul terutama dari segi pemilihan warna. Elakkan pakai pakaian berwarna hitam kerana ia memang kuat menyerap haba," pesannya lagi. Strok panas Dr. Mat Rifin berkata, keadaan paling kronik melibatkan cuaca panas ini ialah heat stroke atau strok panas. Walaupun setakat ini kes seperti itu jarang berlaku di Malaysia, risikonya tetap ada. "Heat stroke ini kita pernah dengar berlaku di kalangan jemaah haji dan ada kalanya turut melibatkan kematian. "Punca utama ialah apabila tubuh hilang banyak air dan invividu tersebut tidak minum air yang cukup. Memang adakalanya mereka tidak berasa haus, tetapi sebenarnya apa yang mereka tidak sedari ialah dalam tubuh memang sudah kekurangan air. "Jika heat stroke ini berlaku risikonya individu boleh hilang ingatan sementara. Sebab itu kadangkala kita ada jumpa warga emas yang sekali sekala bercakap yang sukar difahami kerana salah satu faktornya mereka ini sangat kurang minum air. "Kerosakan otak boleh berlaku sekiranya air yang diminum tidak mencukupi," kata Dr. Mat Rifin yang menyarankan pada musim ini individu sepatutnya minum air sebanyak dua hingga tiga liter sehari atau lebih. Beliau mengakui pada sesetengah pekerjaan agak sukar untuk mengelak berada di cuaca panas terutama mereka yang bekerja di tapak pembinaan. Salah satu cara yang boleh dibuat ialah dengan penjadualan semula, tetapi jika keadaan tersebut juga sukar dilakukan maka disarankan mereka mandi dengan kerap. Selain itu, perhatian juga perlu diberi pada kanak-kanak dan warga emas supaya tidak dibiarkan lama dalam bilik sempit tanpa pengudaraan atau dalam kenderaan tertutup. Dalam dua situasi ini haba tidak boleh keluar dan bila terlalu panas, kanak-kanak atau warga emas tadi boleh terkena simptom heat exhaustion atau keletihan panas dan mula menjadi keliru. Mereka sukar menjerit, seakan khayal dan fungsi untuk meminta pertolongan menjadi lemah. "Disarankan juga kepada mereka yang mampu untuk memasang pendingin hawa di kediaman masing-masing bagi mengurangkan kepanasan. "Jika perlu keluar, pastikan memakai topi atau payung untuk kurangkan pendedahan panas tersebut pada kulit. "Pada musim panas ini juga penyakit selesema juga bertambah dan untuk mengelak penyebarannya pastikan memakai topeng mulut," nasihatnya. Panas dan denggi Dr. Mat Rifin juga berkata, terdapat kajian yang telah dijalankan oleh University John Hopkins mendapati bahawa pemanasan global memang ada kaitan dengan penyebaran penyakit termasuk denggi. "Penyebaran penyakit pembawaan vektor nyamuk ini termasuk denggi dan malaria. Dalam kajian tersebut juga mendapati cuaca panas menjadikan nyamuk lebih aktif dan lebih banyak serta cepat membiak. "Jika pada musim selain panas, nyamuk aedes menghisap darah selang sehari tetapi kajian menunjukkan pada musim panas, nyamuk aedes menghisap darah setiap hari dengan itu risiko penyebaran penyakit denggi lebih tinggi. "Kebelakangan ini kes denggi yang dilaporkan meningkat sehingga 200 peratus di Selangor dan Kuala Lumpur. Di Hospital Pakar Ampang Puteri juga menerima ramai pesakit yang menghidap demam denggi sejak dua tiga bulan lalu," jelasnya. Lazimnya beliau berkata, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi. Ini termasuk sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi," katanya. Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan. "Jika demam, disertai sakit sendi-sendi, rasa lemah dan muntah-muntah segeralah ke hospital. Demam denggi tidak semestinya timbul bintik-bintik merah, kes sebegini hanya 30 peratus sahaja. "Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius. Di hospital ini terdapat pengesan denggi seperti NS1 antigen yang boleh mengesan denggi pada tahap apa dengan lebih tepat berbanding kiraan ujian darah. - NOOR FAZRINA KAMAL |
Posted: 25 Feb 2014 05:31 AM PST Oleh Rosmah Dain BERTUNGKu meredakan sengal-sengal atau bisa-bisa pada tulang. SELAIN berfungsi untuk merehatkan dan menenangkan tubuh badan, urutan tradisional sejak sekian lama dianggap sebagai satu usaha altenatif merawat kesakitan membabitkan urat-urat saraf. Begitu yang dijelaskan oleh Perunding Kesihatan Nur Mukmin Home Spa, Sobah Abdul Tawab, yang menyediakan pakej istimewa kepada wanita yang bermasalah sakit-sakit badan khususnya bagi mereka yang berumur 35 tahun ke atas. Rawatan juga disasarkan kepada ibu-ibu yang telah melahirkan anak dan tiada masa untuk berurut serta bertangas ketika waktu berpantang dahulu. Pakej yang diperkenalkan Sobah adalah rawatan intensif dan urutan tubuh selama lebih kurang 10 jam bermula dari jam lapan pagi sehingga enam petang, eksklusif untuk pelanggan berkenaan sahaja. "Rawatan intensif ini dilakukan ke atas wanita yang apabila sudah merasakan tubuh mereka sakit-sakit, tangan dan jari mula rasa kebas, bahu terasa sakit dan kaku. Ini menandakan ada urat yang tersimpul dan perjalanan darah telah tersekat, serta mereka yang mengalami angin ahmar ringan (mild stroke). "Kita akan pastikan sebaik sahaja selesai menjalani rawatan intensif ini termasuk berurut, individu berkenaan terasa begitu segar dan kembali cergas," katanya. Mengikut Sobah, rawatan yang akan diberikan dalam tempoh 10 jam itu bermula dengan mandi sauna selama 20 minit, tilam panas atau hot matress (20 minit), skrub badan termasuk wajah (1/2 jam), mandi air suam dan kemudian berendam dalam air berempah (1/2 jam). Kesemua rawatan ini berfungsi untuk melonggar dan mengembangkan urat-urat saraf bagi memudahkan proses urutan. Seterusnya pelanggan akan bertangas selama 20 minit, melakukan rendaman kaki yang akan dimasukkan herba-herba tertentu (bergantung tahap kesakitan tubuh) selama 15 minit, urutan badan selama tiga ke empat jam, bertungku dan kemudian badan di salai selama 1 1/2 jam. "Bertungku berfungsi untuk mengecutkan bahagian peranakan, meredakan sengal-sengal atau bisa-bisa tulang serta melancarkan perjalanan darah di bahagian belakang badan dan pinggang serta menjadikan tubuh sentiasa panas. "Selepas berendam dalam air berempah dan lulur, badan akan menjadi wangi, putih dan gebu serta terasa sihat," jelasnya. Sobah berkata, golongan wanita disaran meluangkan masa sekurang-kurangnya sehari untuk melakukan rawatan tersebut bagi memulihkan badan yang sakit-sakit akibat penat bekerja atau sudah lama tidak melakukan rawatan dan urutan. "Sebagaimana kita keluar bekerja dari jam lapan pagi hingga enam petang, begitu juga di sini. Bezanya di spa ini tubuh akan dirawat dengan 10 tahap rawatan mengikut kesesuaian agar terasa sihat dan kembali cergas. Kemudian, sekali sebulan individu berkenaan boleh kembali ke spa ini untuk mendapatkan urutan selama dua jam," katanya. Sobah menambah, pakej rawatan intensif ini berharga RM500, meliputi sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang dengan kesemua menu yang dihidangkan berkhasiat dan bebas daripada minyak. Justeru katanya, pelanggan yang berminat untuk mendapatkan rawatan intensif perlu menghubunginya terlebih dahulu untuk menetapkan temu janji memandangkan satu hari hanya seorang pelanggan sahaja boleh menjalani rawatan tersebut. Namun katanya, sekiranya pelanggan ingin melakukan hanya rawatan-rawatan pendek seperti facial wajah, urutan badan, mandi rempah, lulur dan sauna atau apa sahaja, boleh juga dengan hanya menghubungi talian 017-3768549 untuk maklumat lanjut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |