Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Konsep 'one to one' diperkenal
- OUM bina kampus induk lengkap di Cyberjaya
- Terokai angkasa lepas di Space Mission i-City
Konsep 'one to one' diperkenal Posted: 16 Mar 2014 12:41 PM PDT Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN WARGA emas Lee Ha Kaw mencabut undi bagi unit kediaman baharu sebaik namanya dipanggil Tengku Adnan Tengku Mansor dalam majlis Cabutan Undi bagi Unit Baharu Perumahan 1Razak Mansion Bersama Penduduk di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/wahidah zainal KUALA LUMPUR 16 Mac. - Kerja-kerja menaik taraf Perumahan Awam (PA) Razak Mansion, Sungai Besi dekat sini bagi projek pembangunan semula akan dilaksanakan awal April ini. Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek pembangunan semula yang menelan kos sebanyak RM150 juta itu memperkenalkan konsep penggantian unit kediaman `one to one kepada penduduk. Menurutnya, terdapat 685 unit sedia ada yang mempunyai satu bilik tidur dan dua bilik tidur masing-masing berkeluasan 399 kaki persegi dan 504 kaki persegi dengan gantian unit rumah baharu dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi. Penggantian unit rumah adalah berdasarkan kepada dua kumpulan iaitu 557 pemilik yang mempunyai Perjanjian Jual Beli (S&P) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 101 unit yang disewa dengan DBKL," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi Bagi Unit Baharu Perumahan 1Razak Mansion Bersama Penduduk dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan. Tengku Adnan menambah, bagi pemilik satu bilik, selain boleh memilih rumah tiga bilik dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi, mereka juga boleh menolak unit rumah berkenaan dan bersetuju menerima gantian wang tunai berjumlah RM160,000. Manakala bagi pemilik dua bilik pula, selain boleh memilih rumah tiga bilik dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi dengan subsidi wang tunai berjumlah RM14,000, mereka juga boleh memilih rumah berkeluasan 800 kaki persegi beserta dua unit penghawa dingin serta kabinet dapur bernilai RM14,000. Selain itu pemilik juga boleh menolak unit rumah dengan gantian wang tunai berjumlah RM180,000," katanya. Bagi penyewa satu bilik dan dua bilik pula, katanya, mereka mempunyai dua pilihan sama ada memilih untuk membeli unit yang disewa sekarang dengan harga RM42,000 atau menyewa unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL tertakluk kepada mana-mana kekosongan di sekitar Kuala Lumpur. Jika mereka memilih untuk membeli unit yang disewa sekarang, unit yang dibeli itu nanti akan digantikan dengan unit rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi. Selain menyediakan rumah yang lebih luas, kita juga menaik taraf kemudahan sedia ada di kawasan perumahan ini bagi keselesaan penduduk di sini," katanya. Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata, pihaknya dengan kerjasama DBKL akan melaksanakan pembangunan semula di beberapa kawasana penempatan yang usang dan tidak sesuai lagi didiami di sekitar ibu negara. |
OUM bina kampus induk lengkap di Cyberjaya Posted: 16 Mar 2014 12:41 PM PDT Anuwar Ali (kiri) bertukar memorandum persefahaman (MoU) dengan P. Kasi (kanan) sambil disaksikan oleh Lee Lam Thye (dua kiri) dan Lao Chok Keang selepas menangani MoU bersama pemaju Setia Haruman Sdn. Bhd. di Cyberjaya, semalam. CYBERJAYA 16 Mac - Open University Malaysia (OUM) merancang membina sebuah kampus induk lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur menjelang awal tahun hadapan. Presiden dan Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali berkata, kampus berkeluasan empat hektar dengan anggaran kos RM500 juta yang akan dibina secara berperingkat-peringkat itu dijangka beroperasi lima tahun lagi. Menurut beliau, kampus induk itu akan dilengkapi bangunan pentadbiran, sekolah perniagaan OUM; Kolej Antarabangsa Terbuka (IOC) dan kediaman hostel bagi pelajar antarabangsa. Kampus di Cyberjaya ini akan menawarkan pelajar sepenuh masa yang mengambil jurusan peringkat asas, diploma dan ijazah dengan pelbagai kursus ditawarkan. Antara kursus adalah Asas Seni, Diploma Pengurusan, Diploma Pengurusan Sumber Manusia Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Pejabat, Diploma Komunikasi Media dan Ijazah Pengurusan," katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pemaju, Setia Haruman Sdn. Bhd. di sini hari ini. OUM diwakili Anuwar manakala Setia Haruman oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk P. Kasi. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah OUM, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah Eksekutif Setia Haruman Sdn. Bhd. Lao Chok Keang. Menurut Anuwar, kampus induk berkenaan dapat menampung kira-kira 5,000 pelajar, tetapi pelan pembangunan selama lima tahun terawal hanya mampu menempatkan 1,000 pelajar. Pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi kampus induk adalah kerana kawasan yang terbuka dan mempunyai rangkaian telekomunikasi serta logistik yang global. Dengan adanya teknologi moden, secara tidak langsung membantu dalam pengajaran dan pembelajaran OUM termasuk di kawasan luar bandar selaras dengan modul kursus pengajian OUM yang kini menggunakan aplikasi telefon pintar dan tablet," katanya. |
Terokai angkasa lepas di Space Mission i-City Posted: 16 Mar 2014 12:41 PM PDT SHAH ALAM 16 Mac - Bagi yang ingin merasai pengalaman mengembara ke angkasa lepas, mereka boleh berbuat demikian di Space Mission, iaitu tarikan terbaharu di taman tema digital i-City, Seksyen 7 di sini. Sempena penganjuran Karnival Riuh Sakan anjuran Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di situ pada 22 dan 23 Mac ini, pengunjung boleh mendapat sekeping tiket percuma bagi setiap pembelian dua tiket ke Space Mission. Selain Space Mission, pengunjung juga boleh mendapat tawaran istimewa itu di taman tema lain dalam i-City sepert House of Horror, Trick Art Museum dan Snowalk. Pengurus Perkhidmatan Korporat i-City, Tang Soke Cheng berkata, di Space Mission, pengunjung akan dibawa menaiki space shuttle dan mengalami sendiri pengalaman terbang seperti dalam sebuah kapal angkasa. Pengunjung yang menaikinya akan merasai pengalaman terbang di angkasa dan melihat makhluk asing dengan berlatarbelakang sistem bunyi unik. Di Space Mission juga pengunjung akan melalui terowong cahaya yang seolah-olah berada dalam kapal angkasa sebenar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Menurutnya, pengunjung turut berpeluang menjadi wira angkasa dengan menembak makhluk asing di tempat-tempat tertentu. Katanya lagi, tembakan jika tepat akan menerima tindak balas seperti sasaran tersebut dapat dilihat mengalami kecederaan. Sempena Karnival Riuh Sakan juga, pembaca kedua-dua akhbar berkenaan berpeluang merebut 10,000 tiket percuma ke WaterWorld@i-City dengan menukar 10 kepala akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bertarikh 24 Februari hingga 19 Mac ini di pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Jalan Chan Sow Lin dan tiga cawangan di Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam. Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-92324437/4438. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |