Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 18 Mar 2014 12:07 PM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Penyediaan tong sampah antara kemudahan yang disediakan kepada penduduk PPR Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor sejak kerajaan negeri mengambil alih pengurusan bangunan. PETALING JAYA 18 Mac - Kerajaan negeri Selangor diminta menyemak semula kadar baharu sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansaradaripada RM124 sebelum ini kepada RM250 sebulan. Ini kerana kadar tersebut didakwa terlalu tinggi dan membebankan kira-kira 5,000 penghuni yang rata-rata berpendapatan rendah. Sejak dikuatkuasakan pada Mei tahun lalu, penghuni mendakwa begitu 'terbeban', lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin mening-kat hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kenaikan Sewa PPR Kota Damansara dan Lembah Subang, Johari Nander (gambar) berkata, rata-rata penghuni di PPR itu masih berada pada paras kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada RM1,500 seisi rumah. "Jadi di mana rasionalnya pihak kerajaan Selangor menaikkan kadar sewa tersebut sedangkan status perumahan ini Projek Perumahan Rakyat, iaitu perumahan untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah. "Jika dinaikkan sehingga RM250, adakah penduduk di sini sudah terkeluar dari kategori tersebut sedangkan pada hakikatnya mereka tetap terdiri daripada golongan yang perlu dibantu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Johari yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk PPR berkenaan berkata, penghuni pernah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenai kadar sewa baharu itu sebelum dikuatkuasakan, namun suara mereka tidak didengari. "Kadar sewa baharu itu tetap dilaksanakan. Kami tidak ada pilihan lain. "Bagi memastikan sewa dapat dilunaskan, ada antara ketua keluarga di sini terpaksa bekerja lebih masa sehingga 16 jam sehari bagi menambahkan pendapatan," katanya.Beliau berkata, pihak pengurusan tidak melihat ini sebagai satu masalah kerana penduduk tetap membayar kadar baharu tersebut sejak ia dikuatkuasakan sehingga hari ini. "Jika ada tunggakan, notis keluar dari unit akan dihantar kepada penghuni. Jika ada penyewa yang membayar sebanyak RM124, mereka dikira masih berhutang sewa kepada kerajaan negeri tetapi pada hakikatnya rata-rata penduduk di sini sebenarnya tidak mampu dan mempunyai pelbagai tanggungan lain. "Apabila terpaksa berkerja lebih masa menyebabkan kualiti masa bersama keluarga semakin kurang dan ini menjadi punca kepada timbulnya pelbagai gejala sosial dalam institusi kekeluargaan di sini," katanya. Tambah Johari, dia tidak menafikan sejak pengurusan bangunan diambil alih oleh kerajaan negeri, pelbagai perubahan positif dilihat terutamanya dari segi kutipan dan pembersihan sampah. "Namun ini tidak bermakna penduduk perlu membeli 'perubahan' tersebut dengan menaikkan kadar sewa kerana rata-rata penduduk terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya yang berpendapatan rendah," katanya. Sambil mempersoalkan, sampai bila penghuni menyewa di situ kerana jauh disudut hati mereka mahu memiliki kediaman sendiri, sedangkan dasar kerajaan negeri pula tidak menjual unit-unit tersebut. Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di PPR 18 tingkat yang mempunyai empat blok itu turut mendapati notis tidak membenarkan sebarang rayuan terhadap keputusan kadar sewa daripada RM124 kepada RM250 ditampal di bahagian dinding berhampiran pejabat pengurusan PPR di kawasan itu. |
Nelayan Sungai Nibong dapat jeti baharu Posted: 18 Mar 2014 12:07 PM PDT Noriah Kasnon menyempurnakan majlis perasmian jeti nelayan Batu 23, Sungai Nibong, Sungai Besar, Kuala Selangor, baru-baru ini. SUNGAI BESAR 18 Mac - Nelayan pantai di Batu 23, Kampung Sungai Nibong di sini melahirkan rasa syukur apabila jeti kayu yang telah usang kini diganti baharu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka. Seorang nelayan, Ahmad Daud Abdul Hamid (gambar), 47, berkata, jeti kayu sebelum ini yang berusia lebih 30 tahun begitu usang dan tidak selamat lagi digunakan walaupun telah beberapa kali dibaik- pulih. "Dengan terbinanya jeti baharu, kami lebih mudah menaikkan hasil tangkapan selain sampan dan bot dapat diletakkan dengan selamat berbanding sebelum ini," katanya di sini, baru-baru ini. Terdahulu, perasmian jeti baharu berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar. Pembinaan jeti baharu bagi menggantikan jeti lama itu menelan kos kira-kira RM200,000. Seorang lagi nelayan, Shamsul Bahri Shafie, 34, memberitahu, walaupun baru empat tahun menjadi nelayan, dia merasai kesukaran menggunakan jeti kayu yang kurang selamat sebelum ini. Sehubungan itu dia melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan yang prihatin kepada masalah nelayan di situ. |
Posted: 18 Mar 2014 12:07 PM PDT Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR Ahmad Phesal Talib (kanan) mendengar penerangan mengenai proses penyemaian benih rumput di padang Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED KUALA LUMPUR 18 Mac - Padang Dataran Merdeka akan dinaik taraf dengan melibatkan kos berjumlah RM3.8 juta bagi memberi keselesaan kepada pengguna serta menarik perhatian pelancong ke kawasan tersebut. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, di samping menambah baik struktur padang tersebut, rumput baharu yang ditanam mampu bertahan selama 20 tahun jika diurus dengan rapi. "Antara langkah bagi memastikan rumput di padang seluas 15,000 meter persegi itu sentiasa terpelihara adalah dengan membekalkan 600,000 keping pelapik rumput bagi melidunginya daripada rosak apabila sesuatu acara diadakan di Dataran Merdeka. "Rumput yang dilapik itu masih boleh mendapat cahaya dan air kerana terdapat ruang kecil serta boleh bertahan sekurang-kurangnya lima hari tanpa sebarang masalah," katanya dalam sidang akbar berhubung kerja-kerja menaik taraf padang Dataran Merdeka di Jalan Raja di sini, hari ini. Terdahulu, beliau meletakkan benih rumput ke dalam mesin untuk ditaburkan ke seluruh padang tersebut yang kini hanya merupakan tanah lapang bagi tujuan naik taraf. Sementara itu, beliau memberitahu, kerja-kerja naik taraf itu turut melibatkan pembinaan sistem pengairan automatik, menaik taraf sistem air permukaan dan saliran bawah tanah. Beliau menjangkakan projek terbabit bakal siap sepenuhnya pada akhir Mei ini untuk memberi laluan kepada beberapa acara bermula Jun ini selepas penganjurnya menghantar permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). "Setakat ini, kita telah menerima beberapa permohonan untuk menggunakan dataran ini bagi tujuan pelbagai aktiviti daripada pelbagai agensi sama ada pihak kerajaan mahupun swasta," katanya. Kemajuan kerja terkini yang diuruskan Syarikat RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. setelah dilantik DBKL adalah sebanyak 71 peratus dan projek tersebut telah mendahului jadual selama 14 hari. Dalam pada itu, Ahmad Phesal memberitahu, pihak DBKL tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang didapati merosakkan struktur serta padang Dataran Merdeka. "Apabila padang ini siap nanti, mereka yang menganjurkan sebarang acara di sini perlu memastikan keadaannya terkawal dan tiada sebarang kerosakan terhadap mana-mana struktur padang ini. "Pada masa sama, DBKL sedang merangka prosedur tertentu yang perlu diikuti oleh pengguna dan penganjur acara dan mereka perlu mematuhi segala syarat yang akan ditetapkan nanti," katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa bas persiaran pelancong tidak boleh diletakkan bersebelahan padang itu seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. "DBKL telah menyediakan petak bas persiaran pelancong untuk mereka berhenti dan menunggu di hadapan sebuah gereja berhampiran Dataran Merdeka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |