Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT Oleh FAIZAH IZZANI ZIZUL Raheem Awaludin (belakang, kanan) dan Shalwati Nor Shal (belakang, dua kanan) bergambar bersama anak-anak mereka, Ammar (kiri), Aishah, Arif (depan, tengah) dan Adam semasa di Sweden. KUALA LUMPUR 28 Mac - Pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awaludin, 38, dan isteri, Shalwati Nor Shal, 46, yang didakwa mendera anak-anak mereka di Stockholm, Sweden pada Februari lalu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 10 dan 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna hari ini. Mahkamah juga memerintahkan Shalwati dan Azizul Raheem masing-masing membayar ganti rugi 67,200 SEK (RM33,900) dan 36,400 SEK (RM18,362) kepada empat anak mereka. Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat mengesahkan keputusan itu berdasarkan kenyataan penghakiman mahkamah berkenaan yang diserahkan kepada wakil misi khas SukaGuam di Stockholm. Menurut kenyataan penghakiman itu, Azizul Raheem didapati bersalah atas pertuduhan mencabul integriti anak lelaki mereka, Ammar, 13, serta mendera Aishah, 15, dan Adam, 12. Bagaimanapun Azizul Raheem bebas daripada sebarang pertuduhan melakukan kesalahan terhadap anak bongsu mereka, Arif yang berusia lapan tahun. Sementara itu, Shalwati pula didapati bersalah kerana mencabul integriti Aishah dan Ammar serta mendera dua lagi anak mereka. Selain itu, pasangan tersebut diarahkan membayar pampasan kepada kanak-kanak terlibat bagi kesalahan yang diputuskan mahkamah berkenaan. Menurut hujah penghakiman yang dibentangkan oleh Hakim Mattias Moller, mahkamah mendapati keterangan yang diberikan keempat-empat anak pasangan itu sebelum ini mempunyai kredibiliti. Jelas Moller dalam keputusan itu, tiada sebarang hujah tepat bagi menyokong idea bahawa kanak-kanak tersebut mahu menjejaskan ibu bapa mereka dengan memberi maklumat tidak benar kepada pihak polis berhubung tindakan pasangan itu. "Walaupun tiada bukti sokongan melalui bentuk pemerhatian perubatan, butir-butir yang diberi kanak-kanak itu adalah disahkan termasuk dengan keterangan oleh saksi mengenai apa yang dirahsiakan kanak-kanak itu," katanya. Menurut Moller, walaupun kekasaran yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu bersifat kecil, kesalahan tersebut diputuskan mahkamah sebagai satu pencabulan serius terhadap integriti mereka yang melibatkan keganasan berulang dan sistematik. Agensi berita AFP melaporkan, Moeller memberitahu agensi berita TT: "Kami telah menganalisis beberapa video rakaman temu bual antara pihak polis dengan kanak-kanak itu selama 30 jam. Ia memberikan satu gambaran yang sangat kuat." Kes itu telah mengejutkan beberapa pakar hak asasi kanak-kanak di Sweden dan mencetuskan kemarahan penduduk di Malaysia yang mana tindakan memukul kanak-kanak bukan satu jenayah. Sweden merupakan negara pertama di dunia yang mengharamkan tindakan memukul kanak-kanak pada 1979 dan kemudian tindakan itu turut diikuti 36 negara lain. Sementara itu, Khairul Anwar memaklumkan pasangan tersebut kini dalam rayuan bagi meringankan hukuman. Kata Khairul Anwar, Shalwati mungkin hanya perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan sementara suaminya pula hanya berhadapan dengan penjara selama tiga bulan. Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember tahun lalu. Perbicaraan di mahkamah itu bermula pada 18 Februari dan berakhir pada 14 Mac lalu. Berikutan penahanan pasangan itu, empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat bukan Islam di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Kini, keempat-empat anak pasangan itu diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan. |
Keluarga Azizul, Shalwati reda keputusan mahkamah Solna Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT KOTA BHARU 28 Mac - Seluruh keluarga Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nor Shal reda menerima keputusan Mahkamah Daerah Solna, Stockholm memenjarakan pasangan tersebut atas pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera walaupun pahit untuk diterima mereka. Shaleena, 43, adik kepada Shalwati berkata, keputusan itu telah dijangka oleh mereka sekeluarga namun sebagai manusia biasa perasaan sedih itu tetap ada apabila dimaklumkan oleh abangnya, Badrul Hisham Mahzan, 55, yang kini berada di Sweden melalui aplikasi WhatApps kira-kira pukul 6.15 petang tadi. Katanya, hukuman penjara tersebut boleh dikatakan minimum kerana pihak pendakwa raya sebelum itu memohon mahkamah memenjarakan pasangan tersebut untuk tempoh dua tahun enam bulan dan jika berkelakuan baik, hukuman tersebut mungkin boleh dikurangkan lagi. "Ketika berpeluang bertemu mereka di sana, saya lihat mereka tabah mengharungi dugaan tersebut. Walaupun abang saya belum berpeluang memberitahu tentang keputusan mahkamah tersebut, tetapi saya pasti mereka berdua reda dengan keputusan mahkamah itu. Pun begitu, kami akan tetap membuat rayuan agar hukuman itu dapat dikurangkan lagi. "Apa yang membimbangkan saya kini, bagaimana mahu memaklumkan kepada keempat-empat anak Azizul dan Shalwati. Saya bimbang mereka tidak boleh terima keputusan ini dan akan menyalahkan diri masing-masing," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui pemberita selepas mengetahui keputusan mahkamah di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan. Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013. Perbicaraan di hadapan Hakim Mattias Moller di Mahkamah Daerah Solna, Stockholm bermula pada 18 Februari dan berakhir pada 14 Mac lalu. Memandangkan Sweden telah mengharamkan hukuman membabitkan fizikal sejak 1979, ini bermakna Azizul Raheem dan Shalwati berhadapan dengan hukuman penjara maksimum enam tahun sekiranya didapati bersalah atas tuduhan memukul anak-anak mereka. Shaleena berkata, dia bercadang untuk memberitahu keempat-empat anak pasangan itu selepas solat maghrib kerana mengharapkan mereka berada dalam keadaan tenang ketika masih berwuduk. Walau bagaimanapun ketika media berhasrat untuk bertemu dengan adik-beradik tersebut, Shaleena enggan membenarkan pemberita menemu bual mereka. Azizul Raheem yang merupakan Pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember tahun lalu untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan salah seorang anak mereka yang tidak bersolat. Berikutan penahanan itu, empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat bukan Islam di Sweden sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Kini keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 15, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8, diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali. Pada 9 Februari lalu, Aishah dan Ammar memulakan sesi persekolahan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala, manakala Adam serta Arif di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala yang terletak berhampiran kediaman penjaga mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |