Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Melahirkan jaguh sukan bina badan
- Gimnasium rakyat tempat sesuai mengisi masa lapang
- Festival Muzik Kuantan selamat
Melahirkan jaguh sukan bina badan Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD Mohd. Farid Mohd. Noor (kiri) menyampaikan pingat dan sijil penghargaan pertandingan bina badan kategori berat bawah 70 kilogram Mr Wonderful Lipis di Kuala Lipis, baru-baru ini. KUALA LIPIS 17 Mac - Sukan bina badan bukan lagi asing bagi kebanyakan lelaki di negara ini khususnya mereka yang mengimpikan bentuk badan sasa seperti jaguh sukan itu, iaitu Datuk Malek Noor dan Sazali Samad. Legasi kedua-dua jaguh sukan bina badan bertaraf dunia itu sehingga ini menjadi idola dan ikon dalam kalangan belia tempatan untuk mengikut jejak langkah sama pada masa akan datang. Kegilaan anak muda terhadap sukan ini menyebabkan ada sanggup menghabiskan masa dan wang pergi ke gimnasium atau membeli peralatan senaman untuk digunakan di rumah bagi melakukan bentuk badan yang diidamkan. Kemudahan gimnasium rakyat yang dibina oleh kerajaan di setiap bandar memberi peluang golongan itu berlatih dengan bantuan mereka yang berpengalaman di samping nasihat pemakanan untuk menzahirkan badan yang cantik. Baru-baru ini, Pejabat Parlimen Lipis dengan kerjasama pusat Gimnasium Rakyat (GR) Kuala Lipis menganjurkan pertandingan bina badan yang juga dikenali sebagai Mr. Wonderful Lipis 2014 di Dewan Residen di sini. Sebanyak 53 belia dan jaguh bina badan amatur dari GR Lipis, GR Jerantut, GR Kuantan serta Kelab Kecergasan Kuala Lumpur menyertai pertandingan itu bagi kategori terbuka iaitu bawah 70 kilogram dan melebihi 70 kilogram. Pertandingan itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PadangTengku; Datuk Mustapa Long, Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohd Noor; Ketua Puteri UMNO Lipis, Wan Normarina Wan Kamarudzaman dan Setiausaha Majlis Daerah Lipis, Mohd. Pauzi Abu Hussaini. Pengerusi GR Kuala Lipis, Ahmad Muhyidin Kamarudin berkata, pertandingan berkenaan dianjurkan bagi menguji bakat ahli jaguh badan amatur di negeri ini. "Hal ini juga sekali gus untuk menilai peranan GR di setiap daerah menerusi keberkesanan program kecergasan masing-masing khususnya melahirkan jaguh bina badan di peringkat belia. "Nyata sekali usaha pengendali GR amat berbaloi dan kita dapat melihat potensi bakat baharu anak muda dalam sukan ini dan mampu berkembang lebih jauh pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Ahmad Muhyidin berkata, keghairahan anak muda berlatih di gimnasium itu menunjukkan minat mereka dalam sukan tersebut sekali gus merealisasikan amalan gaya hidup sihat. Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sukan bina badan bukan sahaja didominasi oleh golongan berada di bandar besar malahan sehingga ini para belia di merata-rata tempat sudah menunjukkan minat mendalam dalam sukan berkenaan. "Kejayaan sukan ini termasuk bidang lain membuktikan kemudahan prasarana latihan dan GR di bandar ini termasuk peralatan senaman memberi manfaat kepada penduduk khususnya belia untuk menajamkan kemahiran sukan bina badan. "Semasa pertandingan ini, kita lihat sendiri peserta amatur sudah faham konsep dan istilah sukan ini malahan dizahirkan apabila ketua juri menyebut istilah tertentu untuk memulakan aksi di pentas," ujarnya. Abdul Rahman berkata, program Mr. Wonderful Lipis merupakan perintis untuk mengenengahkan sukan bina badan amatur dalam kalangan belia dan akan menjadi acara tahunan di daerah ini. Dalam pertandingan itu, Jiad Ibrahim yang mewakili Gimnasium Rakyat (GR) Lipis muncul johan bagi kategori bina badan Terbuka Lipis manakala rakannya, Mohd. Azirul Madzlan menyandang tempat ketiga dan Amirul Akmal yang mewakili Galaxy Fitness Center, Kuala Lumpur di tempat kedua. Bagi kategori berat 70 kilogram ke atas, peserta GR Lipis, Mohd. Azizul Madzlan juga muncul johan, sementara rakannya, Mohd. Fuad Ibrahim memperoleh tempat kedua dan Mohd. Farid Ibrahim di tempat ketiga. Bagi kategori berat 70 kilogram ke bawah, Mohd. Faiz Rahim dan Mohd. Fikri Rahim dari GR Lipis juga menduduki tempat pertama dan kedua sementra Azrul Aziq dari GR Kuantan memperoleh tempat ketiga. |
Gimnasium rakyat tempat sesuai mengisi masa lapang Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT KUALA LIPIS 17 Mac - Kalangan belia yang menyertai pertandingan Mr. Wonderful Lipis menyambut baik program itu kerana dapat melahirkan bakat baharu dalam sukan bina badan selain mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka berharap supaya penganjur terbabit dapat meneruskan usaha tersebut bagi memastikan negeri ini tidak ketandusan atlet berwibawa dalam sukan berkenaan. Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Mohd. Farid Mohd. Noor berkata, kemudahan gimnasium rakyat antara usaha kerajaan mendidik belia sentiasa cergas dan pada masa sama melahirkan ramai atlet bina badan. "Kemudahan sukan seperti prasarana gimnasium rakyat antara platform belia luar bandar membina profil masing-masing dalam bidang sukan tertentu malahan kecemerlangan pembabitan mereka dapat menaikkan imej persatuan dan daerah masing-masing. "Pertandingan Mr. Wonderful Lipis antara usaha penganjur dan kerajaan negeri melahirkan lebih ramai jaguh bina badan dan menjadikan daerah ini dikenali menerusi bidang sukan tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Seorang peserta dari bandar Lipis, Mohd. Faiz Halim, 26, berkata, kemudahan latihan di gimnasium itu amat sesuai untuk merangsang belia bergiat aktif dalam sukan bina badan. "Peralatan latihan yang canggih di samping pemantauan jurulatih berpengalaman memudahkan kami berlatih membina otot dan kecergasan tubuh badan," katanya. Katanya, penyertaan kali pertama dalam pertandingan itu merupakan platform dirinya dan rakan untuk merebut peluang kejayaan pada pertandingan peringkat negeri dan tempat lain. Bagi rakannya, Mohd. Fitri Ali, 27, pertandingan berkenaan untuk menguji bakat ahli jaguh bina badan tempatan mencapai impian seperti yang diwariskan oleh Datuk Malek Noor dan Sazali Samad. "Sukan itu juga menarik belia mengisi masa lapang di samping mewujudkan perpaduan kerana membabitkan penyertaan semua kaum berlatih di gimnasium rakyat di situ," ujarnya. |
Festival Muzik Kuantan selamat Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT PEKAN 17 Mac - Kerajaan negeri memberikan jaminan Festival Muzik Kuantan yang akan diadakan bulan hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 akan berjalan lancar dan selamat tanpa wujudnya sebarang unsur negatif. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, muzik yang akan diperdengarkan pada festival itu nanti adalah berentak jazz dan selaras dengan TMM kali ini. "Kita berikan jaminan festival muzik itu nanti akan selamat dan tidak akan berlaku kejadian seperti mana berlaku di konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini. "Kita simpati dan kesal dengan apa yang berlaku di Future Music Asia 2014 itu dan kita akan pastikan festival muzik yang akan anjurkan nanti tidak berlaku seperti kejadian seperti itu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kolokium Islam Pahang: Meraikan Ilmu yang akan diadakan selama tiga hari bermula hari ini di Muzium Sultan Abu Bakar di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Muzium negeri, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal. Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan enam penonton konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 maut akibat pengambilan dadah berlebihan. Susulan kejadian itu, polis membatalkan hari ketiga iaitu kemuncak konsert tersebut yang dijadualkan berlangsung di lokasi sama, Ahad lalu. Mohd. Sharkar berkata, beliau berharap pihak berkuasa yang meluluskan lesen penganjuran sesuatu konsert atau festival muzik membuat pemantauan pada setiap masa bagi memastikan program yang diadakan bebas daripada unsur negatif. "Pemantauan ini termasuk memantau penonton yang hadir bagi memastikan mereka tidak melakukan perbuatan tidak sepatutnya seperti mengambil dadah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |