Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT Oleh HUSSAINI AMRAN Anwar Ibrahim (tengah) mengangkat tangan bersama isterinya, Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Kit Siang selepas mengumumkan calon PRK DUN Kajang di Sungai Sikamat, Kajang, semalam. - Utusan/FAUZI BAHARUDIN HULU LANGAT 9 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpaksa mengitar semula Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan memilih beliau sebagai calon untuk menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini. Pencalonan Wan Azizah, 62, itu dilihat sebagai strategi meraih simpati dengan memperalatkan beliau sebagai mangsa keadaan setelah Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar pada Jumaat lalu kerana didapati bersalah di atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008. Ketika ditanya sama ada beliau berperanan sebagai 'pemanas bangku' untuk Anwar seperti yang pernah dilakukannya pada PRK Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos 2008, Wan Azizah memberitahu, pihak yang membuat dakwaan itu bebas untuk berkata apa sahaja yang mereka suka. "Namun, apa yang lebih penting, nama saya diketengahkan kerana saya merupakan Presiden PKR dan perlu memikul tanggungjawab ini. "Saya juga fikir saya perlu memperjuangkan keadilan terutama untuk wanita," katanya. Keputusan PKR mencalonkan Wan Azizah itu diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat parti tersebut dalam sidang akhbar di Kampung Sungai Sekamat, di sini hari ini. Yang turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. Pengumuman Wan Azizah sebagai calon PKR itu tidak mengejutkan kerana nama beliau sebelum ini disebut-sebut sebagai salah seorang pemimpin parti tersebut yang bakal menggantikan Anwar pada PRK DUN Kajang. Pemilihan beliau itu seterusnya mengetepikan peluang pemimpin-pemimpin PKR yang lain termasuk Saifuddin, Rafizi dan anak perempuannya sendiri, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding. Sementara itu, Anwar berkata, Saifuddin agak keberatan untuk memikul tanggungjawab bertanding sebagai calon parti pada PRK DUN Kajang. "Saifuddin mahu menumpukan kepada tugasnya sebagai Setiausaha Agung parti dan beliau yakin Wan Azizah merupakan calon terbaik," ujarnya. |
PKR ulangi skrip lama di Kajang Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT Oleh HUSSAINI AMRAN KUALA LUMPUR 9 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya mengulangi skrip lama apabila meletakkan Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah bagi menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, penduduk Kajang akan kerugian besar jika mereka memberi kepercayaan kepada Wan Azizah untuk menjadi wakil rakyat mereka. Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar memberitahu, tidak mustahil Wan Azizah akan meletakkan jawatan selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, semata-mata bagi memberi laluan kepada suaminya. "Mereka telah menggunakan muslihat serupa bagi membuka ruang kepada Anwar untuk dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada PRK di kawasan tersebut pada 26 Ogos 2008. "Saya berharap penduduk Kajang menjadikan apa yang berlaku di Permatang Pauh sebagai asas pertimbangan untuk menolak Wan Azizah sebagai wakil rakyat mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Wan Azizah diumumkan sebagai calon PKR bagi PRK DUN Kajang hari ini bagi menggantikan Anwar selepas Ketua Pembangkang itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan Jumaat lalu. Anwar didapati bersalah di atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Nallakaruppan turut bertekad akan membantu calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun berkempen di DUN Kajang. "Saya akan berusaha habis-habisan bagi memastikan dinasti keluarga Anwar tidak bertapak di Kajang," jelasnya. Beliau menambah, penduduk Kajang juga sewajarnya memilih Mei Fun bagi membolehkan BN berbakti kepada mereka. "Wan Azizah boleh menabur pelbagai janji, namun saya tidak yakin beliau mampu melakukan perubahan di Kajang," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |