Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Pembangkang terdesak, tiada modal - Perkasa Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT Ibrahim Ali, Syed Hassan Syed Ali (duduk, kanan), Dr. Abd. Wahid Abd. Manap (duduk empat dari kanan) dan Ruslan Kasim (duduk dua dari kanan) bersama barisan pimpinan baharu Perkasa Pahang di Pekan, Pahang, semalam. PEKAN 23 Mac - Tindakan pembangkang cuba memburukkan kerajaan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 disifatkan sebagai tindakan terdesak serta tidak mempunyai modal politik baharu. Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pembangkang cuba menangguk dalam air keruh dengan menjadikan isu itu sebagai modal politik mereka. "Tindakan ini amat memalukan negara dan sepatutnya mereka bersimpati ketika seluruh masyarakat bersedih dengan kejadian yang berlaku itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Watikah Barisan Pimpinan Perkasa Pahang dan Pengisytiharan Ahli-Ahli Baharu Perkasa Parlimen Pekan di sini hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali; Yang Dipertua Perkasa Pahang, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap dan Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan, Ruslan Kasim. Menurut Ibrahim, pembangkang sepatutnya tidak mempolitikkan kehilangan MH370 kerana usaha pencarian pesawat itu juga melibatkan kepentingan dan keselamatan negara. "Tindakan pembangkang ini boleh memburukkan lagi keadaan selain turut menjejaskan imej baik Malaysia di mata dunia," katanya. Tambah beliau, tragedi seperti itu adalah ketentuan Allah dan semua pihak kena terima hakikat bahawa ini di luar kawalan manusia. "Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam usaha mencari pesawat berkenaan. "Sehubungan itu kita sebagai rakyat perlu bersatu padu tanpa mengira fahaman politik untuk bersama-sama mendoakan supaya pesawat tersebut dijumpai semula," katanya. |
Sarawak contoh terbaik 1Malaysia Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT Oleh NERYL LISDOM Khairy Jamaluddin dan Fadillah Yusof (kiri) melaungkan Barisan Nasional semasa Majlis Mesra Bersama Belia di Stadium Tertutup Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi di Mukah, Sarawak, semalam. - UTUSAN/NERYL LISDOM MUKAH 23 Mac - Sarawak merupakan negeri terbaik dalam mengamalkan konsep 1Malaysia apabila tidak membenarkan pelampau agama dan kaum memasuki negeri ini. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan menyekat kemasukan ekstremis agama dan kaum oleh kerajaan negeri merupakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terus terpelihara. Katanya, kerajaan Sarawak tidak membenarkan isu perkauman dan agama yang melampau disebarkan kerana bertentangan dengan budaya masyarakat di negeri ini "Inilah budaya yang harus dipertahankan dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri Sarawak bukanlah tindakan di luar batas undang-undang dan adalah kuasa kerajaan negeri untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Mesra Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Tertutup Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Mukah di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya merangkap Ketua Pemuda BN negeri, Datuk Fadilah Yusof dan calon BN bagi PRK DUN Balingian, Yussibnosh Balo. Kelmarin, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengeluarkan kenyataan media memaklumkan kerajaan negeri tidak teragak-agak menghalau keluar pihak luar yang cuba mencetuskan masalah perkauman di negeri ini. Kata Adenan, pihaknya mempunyai kuasa imigresen yang boleh digunakan untuk mengusir keluar mana-mana individu yang bertutur atau bercakap tidak senonoh seperti membangkitkan isu perkauman sebab di Sarawak masyarakat berbilang kaum saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Sementara itu, Khairy dalam ucapannya memberitahu, pendekatan konsep santai dan bersahaja yang digunakan oleh Pemuda BN Sarawak semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian amat bertepatan dengan kehendak generasi muda. "Pendekatan yang digunakan oleh Pemuda BN Sarawak amat tepat sekali kerana kita fokus kepada program mendekati generasi muda secara santai, bersahaja dan juga memilih program menepati cita rasa mereka seperti sukan dan rekreasi," katanya. Selain itu, Khairy berkata, beliau ingin melihat anak kelahiran Mukah dapat menjadi atlet di peringkat kebangsaan seterusnya mengharumkan nama negara. Katanya, beliau juga bersedia mempertimbangkan permohonan belia di bahagian ini yang mahu kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan bersukan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |