Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
BN guna pendekatan 'menyerang' Posted: 03 Mar 2014 10:31 AM PST Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan selepas mengimamkan solat asar bersama jemaah Surau Al Istiqamah di Taman Angkasa Indah, Kajang, Selangor, semalam. - BERNAMA HULU LANGAT 3 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan 'menyerang' dalam berhadapan gelora yang bakal dibangkitkan parti lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bermula Selasa minggu depan. Timbalan Perdana Menteri berkata, sekalipun dilihat sebagai underdog, suhu politik ketika ini tidak memungkinkan BN hanya perlu bertahan, sebaliknya kelemahan parti lawan juga perlu didedahkan untuk pengetahuan umum. "Kalau kita hanya bersikap bertahan, kita akan dilihat lemah, sedangkan kita juga ada banyak maklumat berkenaan parti lawan termasuk wakil Bebas yang dikatakan bakal bertanding. "Kita faham dan tahu kemelut yang dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dasar-dasar yang dibawa yang jelas tidak memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk penduduk di Kajang," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di pejabat UMNO Hulu Langat di sini hari ini. Yang hadir sama Pengarah BN bagi PRK DUN Kajang, Datuk Seri Noh Omar; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN turut menarik perhatian bahawa gabungan itu tidak akan menyerang peribadi lawan sepanjang kempen, sebaliknya lebih mengutamakan penerangan berkenaan perkara yang berkaitan kepentingan rakyat. Beliau berkata, BN kini sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang habis-habisan, malah semua gerak kerja ke arah itu sudah dilaksanakan sepenuhnya. Muhyiddin berkata, mesyuarat yang diadakan hari ini lebih kepada menyelaras gerak kerja serta menetapkan tanggungjawab mengikut Pusat Daerah Mengundi masing-masing. "Lebih utama, saya tekankan dalam pilihan raya, rakyat adalah raja, sebab itu jentera kempen perlu memberi keutamaan pengundi dan penduduk di mana mereka ditugaskan," katanya. Pilihan raya kecil dijadual berlangsung 23 Mac ini menyaksikan Mei Fun bakal berdepan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas, antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding. - BERNAMA |
Posted: 03 Mar 2014 10:31 AM PST Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK KUALA LUMPUR 3 Mac - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam utama negara hari ini menggesa pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang agar menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya itu. Mereka membayangkan masalah besar akan timbul kepada rakyat Selangor dan juga negara ini, sekiranya Anwar menang dalam pilihan raya itu dan seterusnya melantik dirinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu. Sehubungan itu, kumpulan itu yang terdiri daripada Jalur Tiga Malaysia (Jati), Yayasan Murni Aqidah, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pengundi menolak Anwar, sekali gus menghalang hasratnya untuk menerajui Selangor. NGO-NGO Islam berkenaan turut sepakat akan menggerakkan seluruh kekuatan kolektif yang ada untuk turun padang bagi memberikan penerangan kepada penduduk DUN Kajang mengenai kemungkinan langkah-langkah yang akan diambil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jika beliau menang di DUN Kajang. Jurucakap kumpulan tersebut, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, berdasarkan kenyataan-kenyataan Anwar yang dilaporkan sebelum ini, pihaknya bimbang beliau akan menggunakan kuasa Menteri Besar untuk menstruktur semula sistem perundangan dan pentadbiran negeri bagi disesuaikan dengan prinsip liberalisme, pluralisme serta tuntutan sosial yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia. Selain itu, dakwanya, strategi turun ke jalan raya mungkin sekali lagi digunakan oleh Anwar untuk meruntuhkan sistem sedia ada dan keadaan itu dikhuatiri boleh mewujudkan pergolakan antara rakyat Selangor yang mungkin merebak ke seluruh negara. "Pengundi DUN Kajang terutamanya umat Islam diminta tidak termakan dengan 'gula-gula' Anwar, sebaliknya menolak beliau atas nama akidah Islamiah," katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman beliau di sini hari ini. Yang turut serta, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Kapten (B) Dr. Shamsuddin Moner. Menurut Hasan, pengkaji politik di kalangan NGO Islam juga mengenal pasti 20 alasan syarie mengapa pengundi perlu menolak Anwar dalam PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini. Katanya, antara alasan tersebut adalah berhubung pandangan Anwar dalam pluralisme agama, pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan konsep penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin. "Itu hanya sebahagian sahaja daripada fakta-fakta pokok lain seperti persoalan moral dan akhlak termasuk integriti dan kredibiliti yang akan kami dedahkan menjelang PRK DUN Kajang nanti. "Fakta-fakta ini jika dicantumkan akan menjadi hujah yang paling kental mengapa pengundi Kajang khasnya dan rakyat Malaysia umumnya mesti menolak hasrat Anwar untuk menerajui Selangor," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |