Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT SUKAN lasak kian diminati golongan muda dan setiap minggu ada sahaja aktiviti dilakukan untuk mengisi masa lapang bersama rakan-rakan dengan aktiviti berfaedah. Pada minggu ini ruangan Lasak dan Santai memaparkan cabaran sukan lasak menggunakan all-terrain vehicle (ATV) menyusuri kawasan berbukit dan berair di kawasan kebun getah dan dusun di Kampung Rinching Tengah, Beranang, Selangor. Krew dan beberapa orang pembaca .com dijemput merasai sendiri pengalaman mengendalikan kenderaan empat roda ini di dalam hutan. Bagi mereka yang pertama kali memandu ATV ini, mungkin agak sukar kerana pengendalian kenderaan ini umpama motosikal tetapi mempunyai empat roda. Walaupun biasa dengan motosikal, kenderaan ini tetap memberi cabaran ketika mengendalikannya apatah lagi kawasan yang dilalui berbukit dan curam. Pada peringkat awal, setiap peserta diberi penerangan oleh pihak Rinching ATV Advanture Park yang dikendalikan oleh Affendi Hassan yang merupakan pemilik bersama taman itu. Teknik pengendalian, keselamatan dan kecemasan diajar kepada setiap peserta agar kenderaan tersebut dapat dikendalikan dengan baik dan mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku, Menurut Affendi, jarak trek hanya 860 meter, tetapi setiap halangan yang diberikan agak mencabar kerana melalui kawasan semula jadi seperti menuruni bukit curam, kawasan berair dan mendaki bukit dengan kadar kecuraman sehingga 45 darjah. Itulah yang memberikan kelebihan kepada taman ini walaupun jarak dekat tetapi kemahiran menunggang, kelasakan dan keberanian peserta akan dicabar sepenuhnya. Usai sesi taklimat peserta dilepaskan memasuki kawasan kebun getah tua yang tidak lagi digunakan. Debaran mula terasa kerana cabaran pertama adalah menuruni kawasan curam yang membuatkan penunggang terpaksa mengelak beberapa batang pokok ketika turun. Nasib tidak menyebelahi penulis apabila pada cabaran pertama telah melanggar pokok ketika menuruni laluan itu kerana gagal mengawal ATV dengan baik dalam keadaan bukit yang agak curam. Namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat penulis untuk meneruskan misi tersebut kerana banyak lagi cabaran akan dihadapi. Laluan paling sukar adalah kawasan berair sepanjang 50 meter, tetapi kedalamannya menenggelamkan keseluruhan tayar ATV tersebut ternyata memberikan satu pengalaman baru kepada semua peserta. Boleh dikatakan semua peserta terkandas di kawasan itu kerana keadaan tanah yang berselut banyak menguji teknik pemanduan peserta. Bagi yang terkandas sudah pasti baju dibasahi dengan lumpur kesan daripada percikan tayar ATV tersebut. Walaupun kotor dan basah, peserta terpaksa meneruskan misi kerana perjalanan masih lagi jauh dan pelbagai halangan lain menanti. Setibanya di satu kawasan mendaki, peserta dilepaskan seorang demi seorang kerana bukit yang agak curam. Beberapa peserta terpaksa ditolak kerana tidak lepas halangan tersebut dan ada juga yang berjaya. Ternyata mengendalikan ATV nampak mudah tetapi pengalaman sebenar membuktikan kemahiran seseorang peserta itu untuk mengawal dan memandu kenderaan tersebut. Kesan-kesan calar pada tangan akibat terbabas dan terlanggar pokok adalah perkara biasa. Itulah yang dikehendaki oleh peserta dan penggemar aktiviti lasak yang inginkan cabaran dalam meningkatkan adrenalin dalam diri mereka. Bagi mereka yang inginkan cabaran lasak sambil mengamati alam semula jadi bolehlah bermain dengan ATV di kawasan-kawasan yang menyedikan perkhidmatan ini jika masih belum mampu memilikinya sendiri. Ternyata pengalaman yang ditimba dan keseronokan berbaloi dengan pelaburan dikeluarkan di samping dapat merapatkan silaturahim antara rakan serta menjadi aktiviti pengisi masa lapang. Menurut rakan kongsi taman itu, Mohd Ruzian Azis, bagi mereka yang ingin datang dalam kumpulan besar dan mengadakan barbeku juga dialu-alukan kerana kawasan yang luas dan kemudahan seperti tandas turut disediakan. "Tidak kira pertama kali atau sudah mahir, kawasan taman ini memberikan pengalaman yang berlainan dari tempat-tempat lain yang menyediakan perkhidmatan sama," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |