Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Sandiwara penglipur lara Kajang Posted: 15 Mar 2014 11:14 AM PDT Oleh DR. Marzuki Mohamad Sebahagian penduduk yang hadir mendengar ceramah politik di Taman Koperasi Cuepacs, Kajang baru-baru ini. SEJAK awal lagi, umum menyedari bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) N.25 Kajang adalah satu sandiwara. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut kosong bukannya disebabkan penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan, tetapi semata-mata untuk membolehkan PKR melaksanakan satu percaturan politik yang disebut sebagai Kajang Move. Kononnya PRK Kajang adalah satu langkah politik yang penting lagi simbolik untuk membolehkan pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN). Walaupun secara warasnya kedudukan Kajang yang hampir dengan Putrajaya tiada kaitan langsung dengan logik yang dicanang oleh pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, tetapi itulah yang dijaja oleh para arkitek Kajang Move sebagai penyedap cerita. Kononnya, apabila menang kerusi DUN Kajang, Anwar akan dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor dan seterusnya memimpin pakatan pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kepada pengundi DUN Kajang, mereka digula-gulakan dengan janji seorang Menteri Besar mewakili mereka dalam Kerajaan Negeri Selangor berbanding seorang ADUN biasa. Di sebalik wayang politik ini, ada cerita yang lebih real. Konflik antara Khalid Ibrahim dan Azmin Ali sedang melemahkan PKR di Selangor. Pertelagahan antara dua gergasi PKR ini sudah menjadi rahsia umum yang tidak boleh disembunyikan lagi. Silap haribulan, perseteruan antara mereka akan menyebabkan pakatan pembangkang menghadapi laluan yang sukar untuk mempertahankan Selangor dalam PRU-14 nanti. Bagi Anwar, Khalid mesti disingkirkan. Tiada individu lain yang boleh menyingkirkan Khalid daripada kerusi empuk MB Selangor melainkan dirinya sendiri. Selain itu, Anwar sendiri sedang menghadapi masalah peribadi yang kronik. Kes liwat beliau merupakan penentuan penting hayat politiknya. Jika diperhatikan gaya politik Anwar sebelum ini, beliau gemar memberi tekanan kepada lawan politik dengan mengheret rakyat dalam gelanggang krisis peribadinya. Tindakan awal Anwar mengumumkan bertanding di DUN Kajang adalah satu langkah terancang untuk memberi tekanan kepada kerajaan dan mahkamah supaya melepaskan dirinya daripada terus terjerat dalam kancah masalah peribadinya sendiri. Walau apa pun sandiwara Anwar, rakyat khususnya pengundi DUN Kajang boleh menilai secara rasional. Tujuan mengadakan pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat terbaik kepada orang ramai. Jika wakil rakyat yang telah dipilih masih boleh meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat, mengapa perlu kerusi pilihan raya dikosongkan untuk memberi laluan kepada calon lain daripada parti yang sama bertanding? Bukankah ini satu kerja sia-sia yang tidak memberikan apa-apa manfaat kepada pengundi? Mengosongkan kerusi pilihan raya tidak wajar dibuat secara sewenang-wenang tanpa ada sebab yang kukuh. Apatah lagi logik Kajang Move yang diuar-uarkan oleh PKR sudah tidak relevan lagi. Selepas Anwar hilang kelayakan untuk bertanding ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi beliau, hujah menjadikan PRK Kajang sebagai pembuka laluan untuk Anwar mengambil alih Putrajaya tidak dapat dipertahankan lagi. Janji hadiah seorang Menteri Besar untuk pengundi Kajang juga tidak akan dikota kerana mustahil Wan Azizah akan menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Umum mengetahui Wan Azizah bersama siapa dalam konflik Khalid-Azmin. Belum sempat sandiwara Kajang mencapai kemuncak, plot ceritanya menjadi semakin huru-hara. Kempen PKR di DUN Kajang telah beralih arah daripada menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi Kajang, kepada meraih simpati terhadap Anwar yang kononnya dizalimi oleh mahkamah dan kerajaan BN. Mereka mengkritik sistem kehakiman Malaysia kononnya tidak bebas dan berada di bawah pengaruh penguasa politik. Penglipur lara PKR tentunya mengalami masalah amnesia yang kronik kerana Mahkamah Persekutuan dalam sistem kehakiman yang sama telah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat 1.0 pada tahun 2004. Mahkamah Tinggi juga mendapati Anwar tidak bersalah dalam tuduhan liwat 2.0 pada tahun 2012. Nampaknya, seperti mana Pilihan Raya Umum 1999, PRK Kajang dijadikan medan untuk Anwar meraih simpati pengundi terhadap dirinya. Taktik ini terserlah apabila Anwar meletakkan Wan Azizah sebagai calon PKR bagi PRK Kajang. Wan Azizah dijadikan simbol penganiayaan terhadap Anwar yang digunakan untuk menagih simpati pengundi terhadap Ketua Pembangkang itu. Ironinya, Wan Azizah sendiri sebelum ini telah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan kepada Anwar bertanding. Alasan Wan Azizah pada ketika itu adalah untuk memberikan lebih tumpuan kepada tanggungjawab beliau sebagai seorang ibu dan isteri. Tatkala pengundi Kajang memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh bergelumang dengan masalah mereka, Anwar menawarkan pengundi seorang calon yang diharapkan dapat meraih simpati terhadap dirinya sendiri. Meletakkan Wan Azizah sebagai calon PKR dalam PRK Kajang tidak langsung memperlihatkan keikhlasan Anwar sebagai seorang pemimpin yang kononnya menobatkan dirinya sebagai pejuang rakyat. Nampaknya, kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat. Apa pun, sandiwara Kajang akan terus dimainkan oleh penglipur lara PKR hingga ke hari mengundi. Persoalan penting bagi pengundi Kajang ialah apakah mereka seharusnya terpesona dengan plot cerita simpati terhadap Anwar atau membuat penilaian yang rasional dengan memilih calon yang benar-benar dapat menawarkan khidmat yang terbaik kepada mereka. Apakah Anwar lebih penting atau pengundi lebih penting? Tepuk dada, tanya selera. |
Daripada Mingguan Malaysia buat keluarga penumpang MH370 Posted: 15 Mar 2014 11:14 AM PDT Oleh Ku Seman Ku Hussain DARI KIRI: HishamMuddin Hussein, Ahmad Jauhari YAHYA, Azharuddin Abdul Rahman DENGAN nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, lembaran terbuka ini kami anggota sidang editorial Mingguan Malaysia dedikasikan kepada semua keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang awal pagi Sabtu, 8 Mac lalu. Kami percaya dalam situasi tertekan, panik dan gundah yang maha dahsyat ini, tiada yang lebih berharga daripada hubungan rasa dengan orang lain. Andai kata lembaran terbuka ini boleh dianggap sebagai sumbangan, inilah sumbangan rasa dan cakna kami kepada saudara-saudara yang sedang diuji. Saudara-saudara yang kami hormati, sudah sembilan hari negara kita berduka atas tragedi tidak diduga. Tiada siapa menjangka, pesawat yang berlepas dalam kabut malam menuju Beijing, China hilang tanpa tanda. Garis masa berlalu dalam catatan yang menuntut jawapan. Tetapi jawapan itu masih tersimpul sekalipun usaha manusia sudah sampai ke penghujungnya. Betapa kerdilnya manusia berbanding Pencipta. Sembilan hari juga langit rasa kita mendung dan suram, berbahagi duka dengan saudara-saudara yang kehilangan orang tersayang; suami, isteri, ibu, anak dan bapa. Kami faham, berat mata kami memandang, berat lagi hati dan perasaan saudara-saudara yang mendepani hakikat ini menanggungnya. Pelbagai rasa yang berkecamuk menambah beban jiwa yang menunggu suatu berita yang belum pasti. Apa yang kami mahu katakan, saudara-saudara tidak keseorangan meredah kedukaan ini. Seluruh pelosok negara malah dunia merasakan degup duka yang sama; kehilangan, kerinduan, di samping memangku harapan daripada sabar dan takwa yang panjang. Kami faham, apalah sangat dengan catatan di lembaran ini sedangkan kami tidak berada di tempat saudara. Tetapi percayalah, tragedi ini banyak mengajar kita, kami dan juga saudara-saudara tentang kehebatan sains ciptaan manusia dan kuasa Tuhan yang menentukan nasib semua makhluk ciptaan-Nya. Kehebatan manusia ada sempadannya, keagungan Tuhan di luar lingkaran kuasa fikir kita. Saudara-saudara, secara munasabahnya pesawat yang membawa bersama-sama hati dan jiwa saudara sudah lama ditemui. Malah secara munasabah juga pesawat itu tidak boleh hilang begitu sahaja kerana dikawal hukum sains ciptaan manusia yang paling moden dalam kelasnya. Tetapi seperti yang kami nyatakan tadi, kehebatan manusia ibarat setitis air di lautan dibandingkan dengan kekuasaan Tuhan. Sehingga kini teknologi mencari dan menyelamat termoden dari 13 negara telah digunakan, pakar-pakar dalam teknikal dan hukum dalam penerbangan juga tertumpu untuk memberikan khidmat menyuraikan kekusutan. Pihak berkuasa, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Penerbangan Malaysia (MAS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai lagi bergabung untuk mencari kunci misteri yang menggegarkan dunia ini. Usaha dan iltizam mereka sangat luar biasa, bukan lagi kerana upah, gaji atau imbuhan tetapi kerana tanggungjawab kemanusiaan yang tidak ada batas sempadan. Setelah seminggu usaha mencari yang digerakkan secara berterusan, siang dan malam, ditambah dengan peralatan yang pada teorinya mampu melaksanakan tugas mencabar ini, tetapi orang yang saudara tunggu tidak juga ditemui. Malah tanda dan isyarat untuk dijadikan jejak juga semacam terpadam. Pasukan mencari dan menyelamat, dari dalam dan luar negara telah melakukan yang terbaik pada tanda aras kemampuan mereka. Teknologi tercanggih juga diuji untuk menangani tragedi yang sangat misteri ini. Tetapi hasilnya agak menghampakan. Harapan saudara, harapan warga seluruh dunia belum terzahir untuk dikhabarkan berita yang pasti, sekalipun mungkin yang tersayang tiada lagi di depan mata. Siapa yang tidak pilu dan hiba anak yang dilepaskan di pangkalan baru sebentar tadi dikejutkan dengan berita di luar jangka. Isteri mana yang mampu menahan air mata apabila suami yang dilepaskan pergi demi tugas, dibekal dengan juadah enak sebagai tanda mata masih kabur nasibnya. Tetapi saudara-saudara, orang yang arif agama selalu berkata, Tuhan tidak akan memberikan ujian yang melampaui batas kekuatan manusia, dan ketika Dia mahu ujian getir itu berlaku, saat itu pulalah Dia telah memberikan jalan keluar dari setiap kedukaan yang ada. Kami yakin jalan keluar itu ada cuma tertangguh untuk kita sebagai umat membaca isyarat-Nya. Maka kami percaya saudara-saudara adalah insan yang cukup tabah menempuh ujian yang sangat getir ini. Saudara-saudara dipilih kerana Tuhan percaya saudara memiliki kekuatan yang luar biasa mendepaninya. Tentu sahaja kami tidak sekuat dan setabah saudara seandai diuji setragis ini. Itulah kelebihan saudara-saudara, tidak patah kata mempersoalkan takdir yang tidak pernah tersilap dalam aturannya. Daripada tragedi yang menimpa keluarga saudara-saudara, insan kembali kepada Tuhan dan memohon pertolongan-Nya. Masjid, surau, dewan dan kamar basah dengan doa daripada sembahyang hajat. Mereka memohon dipermudahkan segala usaha murni menyuraikan bencana ini. Saudara-saudara, itulah kelebihan kita yang punya Dia, dalam suka mahupun duka. Saudara-saudara, anggaplah ini masa untuk saudara, masa kami dan yang lain belum tiba lagi untuk diuji seberat ini. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengalungkan rasa bangga kepada teraju DCA, Azharuddin Abdul Rahman, teraju MAS, Ahmad Jauhari Yahya, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein dan lain-lain lagi di atas usaha yang sangat luar biasa. Tuan-tuan semua telah membuktikan kesungguhan dan keikhlasan daripada air muka yang tanpa lelah dan putus asa. Semoga Tuhan membalasnya di atas keikhlasan yang tuan-tuan lakukan. Kami percaya sekiranya tuan-tuan rapuh secara mental dan fizikal mendepani tragedi sehebat ini, kesannya sangat buruk kepada keluarga yang menanti dan memujuk hati dengan harapan. Datuk Azaharuddin, Datuk Ahmad Jauhari, serta Datuk Seri Hishamuddin, tuan-tuan semua telah melaksanakan tanggungjawab melampaui sempadannya. Terima kasih. Doa kami tidak kering untuk semua. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |