{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


NS kekal kedudukan ketiga terbaik

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 20 Mac - Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan sebagai negeri ketiga terbaik dalam pencapaian calon bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 peringkat kebangsaan dengan mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) pada kadar 4.7 berbanding 4.86 tahun 2012.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid berkata, penurunan GPN sebanyak 0.16 mata itu secara tidak langsung melepasi sasaran ditetapkan iaitu 4.81 bagi pencapaian calon keseluruhan SPM 2013 di negeri ini.

"Kita juga kekal di tempat ketiga seperti tahun lalu bagi prestasi terbaik peperiksaan ini yang didahului Putrajaya diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat kedua bagi seluruh negara.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan serta komitmen khususnya kerajaan negeri, warga pendidik, pengurusan sekolah termasuk ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini hari ini.

Menurut Kalsom, seramai 693 calon diumumkan memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 27 calon sekolah kerajaan memperoleh pangkat A+ dalam semua mata pelajaran diambil di negeri ini.

"Berdasarkan statistik negeri ini, SMK King George V merupakan sekolah harian terbaik, Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir bagi sekolah berasrama penuh manakala bagi kategori sekolah agama adalah SMK Agama Sheikh Haji Mohd. Said," jelasnya.

Katanya, pencapaian keseluruhan calon di bandar dan luar bandar di negeri ini turut meningkat melalui nilai Gred Purata Sekolah (GPS).

"GPS bagi sekolah di bandar mencatatkan penurunan daripada 4.56 bagi 2012 kepada 4.48 bagi 2013 manakala GPS bagi sekolah luar bandar turut menurun iaitu 5.3 kepada 5.04.

"Perkembangan baik ini juga secara tidak langsung merapatkan jurang pencapaian sekolah yang ketara di dua kawasan terbabit sebanyak 0.56 berbanding 0.74 pada 2012," katanya.

Tambahnya lagi, seramai 15,090 calon di sekolah kerajaan mewakili 85.3 peratus yang layak mendapat sijil bagi SPM 2013.

"Seramai 17,684 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2013 dari 111 sekolah seluruh negeri yang turut menyaksikan peningkatan calon sebanyak 101 orang berbanding 17,583 calon bagi 2012," ujarnya.

SM Sains Muzaffar Shah, SB Integrasi Selandar kekal sekolah terbaik

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

MELAKA 20 Mac - Kejayaan mengekalkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.0 ke bawah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil kepada Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Shah apabila diumum sebagai antara sekolah terbaik yang bakal menerima dana RM10,000 daripada kerajaan negeri hari ini.

Pengetua SM Sains Muzaffar Shah, Hassan Topit berkata, keazaman pihak sekolah dan kesungguhan pelajarnya untuk mengekalkan kejayaan itu jelas dilihat apabila saban tahun mencatat antara sekolah cemerlang di negeri ini.

Menurutnya, pemberian dana itu disifatkan sebagai suntikan motivasi kepada pihak sekolah dan pelajarnya untuk terus mencatat kejayaan pada masa akan datang.

"Syukur sekolah ini sekali lagi berjaya mencatat kejayaan dengan kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 2.0.

"Pada peperiksaan SPM 2012, sekolah ini turut mencatat kejayaan dengan GPS 1.53 dan kejayaan mengekalkan kecemerlangan ini bukanlah sesuatu yang mudah jika tiada kerjasama antara guru dan pelajar.

"Pihak sekolah belum dimaklumkan oleh kerajaan negeri tentang aliran dana itu namun, kami bercadang untuk menggunakan dana itu untuk tujuan penambahbaikan kepada pelajar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seramai 142 orang calon SPM 2013 di sekolah itu layak menerima sijil atau lulus penuh dengan 37 orang daripadanya atau 26.06 peratus mencatat keputusan cemerlang.

Kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan dana bernilai RM80,000 kepada 14 buah sekolah yang memperoleh kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 hari ini.

Peruntukan itu termasuk RM10,000 masing-masing kepada dua sekolah terbaik iaitu SM Sains Muzaffar Shah dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar kerana memperoleh GPS bawah 2.25.

Sebanyak dua buah sekolah lagi masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM5,000.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan SBP Integrasi Selandar, Sharif Ebok pula berkata, sumbangan julung kali yang diberikan oleh kerajaan negeri atas kecemerlangan sekolah dalam peperiksaan itu disambut baik semua sekolah di negeri ini.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan ini dan dana yang dilihat sebagai suntikan semangat kepada pihak sekolah itu merupakan langkah yang baik untuk mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

"Kita akan gunakan dana itu nanti untuk menyokong pembelajaran pelajar termasuk membeli buku-buku tambahan serta memperbaiki kemudahan pelajar nanti," katanya.

Menurutnya, sekolah itu sentiasa membuat bengkel pendidikan pada setiap hujung minggu dan kolaborasi pelajaran dengan sekolah-sekolah lain sekitar negeri.

Kata Sharif, kesungguhan guru-guru mengajar secara sukarela secara bergilir-gilir pada hujung minggu antara faktor kejayaan sekolah itu.

Seramai 166 calon SPM 2013 di sekolah itu layak menerima sijil dengan 16 orang daripadanya iaitu 9.64 peratus mencatat keputusan cemerlang.

410 pelajar peroleh semua A di Melaka

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

MELAKA 20 Mac - Sebanyak 410 daripada 13,650 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh keputusan cemerlang semua A berbanding 409 orang yang dicatatkan pada 2012.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Md. Rashid Hussin berkata, daripada jumlah berkenaan, enam pelajar berjaya mencapai gred Cemerlang Tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki iaitu dua orang mendapat 10A+ dan empat orang 9A+.

Bagaimanapun katanya, peratusan pelajar yang layak mendapat sijil SPM menunjukkan penurunan iaitu hanya 11,913 orang atau 87.3 peratus berbanding 93.2 peratus pada 2012.

Menurutnya, sistem penggredan baru SPM yang diperkenalkan tahun lalu telah menaik taraf sistem gred dan mewajibkan setiap calon lulus Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai syarat memperoleh sijil SPM.

"Sistem baru ini telah memberikan sedikit impak terhadap peratusan kerana tahun sebelum ini mata pelajaran Sejarah tidak termasuk dalam syarat wajib lulus," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2013 negeri Melaka di Rumah Media, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Md. Rashid berkata, dalam peperiksaan itu, tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains mencatatkan peratusan lulus melebihi 79 peratus.

Katanya, secara keseluruhan keputusan peperiksaan SPM di negeri ini menunjukkan peningkatan yang membanggakan dan pihaknya akan berusaha memastikan kecemerlangan itu ditingkatkan serta ditambah baik pada masa hadapan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat