{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Kerajaan negeri tarik balik arahan catuan air Sabtu ini

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

MELAKA 26 Mac - Kerajaan negeri mengumumkan menarik semula arahan bagi melaksanakan catuan bekalan air di seluruh negeri ini yang sepatutnya bermula Sabtu ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, keputusan tersebut diambil selepas mesyuarat kerajaan negeri dimaklumkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bahawa paras air di empangan utama Durian Tunggal kembali ke paras normal.

Menurutnya, paras air di empangan dan semua kawasan tadahan air di negeri ini turut mengalami peningkatan mendadak ekoran hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

''Keputusan menarik balik pelaksanaan catuan air Sabtu ini adalah bersifat sementara kerana bergantung kepada keadaan cuaca panas dalam tempoh dua minggu ini.

''Jika cuaca panas masih berterusan untuk satu tempoh yang lama hingga menyebabkan paras air di empangan dan kawasan tadahan menurun, kerajaan negeri akan melihat kembali perlu atau tidak pelaksanaan catuan air,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Idris berkata, paras air di empangan Durian Tunggal serta beberapa empangan lain naik sebanyak empat peratus daripada 54 peratus naik kepada 58 peratus untuk kembali ke paras normal.

Bagaimanapun katanya, paras air kembali menyusut sedikit apabila hujan yang diramalkan turun sejak tiga hari lalu tidak berlaku.

''Jika keadaan berterusan, kerajaan negeri akan memaklumkan semula kepada seluruh rakyat di negeri ini mengenai pelaksanaan catuan air kepada satu tarikh lain tetapi pada masa yang sama saya mengharapkan dalam tempoh tiga hari ini hujan dijangka turun,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta SAMB tidak membuka semua pam air yang digunakan bagi menyedut air dari beberapa buah tasik sewaktu musim panas yang melanda negeri ini.

Katanya, semua petugas SAMB perlu berada dalam keadaan siap sedia untuk melaksanakan usaha mengepam air jika cuaca panas masih berterusan dalam tempoh beberapa hari ini.

Kutipan zakat RM11.24 juta

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

MELAKA 26 Mac - Jumlah kutipan zakat di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM2.67 juta atau 30.69 peratus menjadikannya RM11.24 juta berbanding RM8.6 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengurus Besar Pusat Zakat Melaka (PZM), Ismail Hasim berkata, jumlah tersebut merangkumi 23,261 pembayar iaitu meningkat seramai 2,211 orang (10.5 peratus) berbanding 21,050 orang pada tahun lalu.

"Daripada jumlah tersebut, zakat pendapatan memperoleh kutipan tertinggi iaitu RM5.3 juta (47.18 peratus) manakala zakat ternakan pula kutipan terendah berjumlah RM10,850.

"Selain itu zakat wang simpanan mencatat kutipan RM3.72 juta, zakat perniagaan (RM1.22 juta), zakat emas perak (RM118,804.81), zakat saham (RM829,806.43) dan zakat pertanian (RM34,944)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismail, sehingga 28 Februari lalu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah mengagihkan sejumlah RM4.36 juta zakat kepada golongan yang berkelayakan di negeri ini.

Katanya, jumlah tersebut menyusut sebanyak RM312,346.53 atau 28.10 peratus daripada jumlah RM4.67 juta zakat bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, asnaf miskin mencatat perbelanjaan tertinggi dengan RM1.66 juta atau 38.06 peratus manakala asnaf Ibnu Sabil mencatat perbelanjaan terendah dengan RM1,460.

Agihan turut diberikan kepada asnaf fakir sebanyak RM327,689.75, asnaf amil (RM660,644.95), mualaf (RM304,103.99), riqab (RM500,000), fisabilillah (RM881,620.74) dan gharimin (RM22,500).

NS isytihar perang judi haram

Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT

SEREMBAN 26 Mac - Kegiatan judi haram siber yang menjadi ancaman keselamatan masyarakat akan diperangi habis-habisan dalam apa cara sekalipun bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terjamin.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kegiatan judi siber haram ini yang dikategori sebagai ancaman keselamatan dalam negeri ini melibatkan segelintir masyarakat dilihat sebagai kronik dan perlu dihentikan dengan segera kerana ia boleh membawa kepada masalah sosial lain.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, Pasukan Pengurusan Krisis yang telah dibentuk bagi menangani isu perjudian haram akan digerakkan dengan lebih jitu menerusi pembabitan semua pihak termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi penguatkuasaan lain.

''Malah segala kuasa yang ada akan kita turunkan kepada pasukan ini bagi memastikan segala bentuk kesalahan yang dilakukan akan diambil tindakan secara terus. Jika ada umat Islam yang berjudi atau berada di dalam premis itu pun kita akan tahan apatah lagi mereka yang mengendalikan premis itu.

''Apa yang menjadi masalah dahulu, apabila sesebuah agensi yang melakukan serbuan ke sebuah lokasi kuasa untuk mengenakan tindakan agak terhad jadi dengan pasukan ini nanti kita akan pastikan apa juga kesalahan akan dikenakan hukuman,'' katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada pengusaha premis judi di negeri ini tindakan kali ini jauh lebih tegas berbanding sebelum ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat