Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri SEREMBAN 27 Mac - Seramai 42 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam pemeriksaan di empat buah lokasi di sekitar Lenggeng, dekat sini malam tadi. Operasi oleh Jabatan Imigresen negeri yang bermula pada pukul 12.05 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian itu menyaksikan seramai 95 orang warga asing daripada pelbagai negara diperiksa. Pengarahnya, Faizal Fazri Othman memberitahu, mereka yang ditahan berusia antara 16 tahun hingga 45 tahun dan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal serta Myanmar. Dalam serbuan pertama di rumah kongsi sebuah tapak pembinaan di Bandar Mahkota Hill, Lenggeng, kita menahan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an kerana memiliki kad Penduduk Tetap (PR) palsu. Kita juga menahan empat warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia di lokasi berhampiran atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita di sini. Tambah Faizal Fazri, operasi berkenaan turut diperluaskan di kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Beranang dekat Lenggeng yang menyaksikan lima warga Indonesia ditahan atas kesalahan yang sama. Serbuan terakhir pula ujarnya, dilakukan di sebuah kilang papan di lokasi berdekatan yang menyaksikan 20 warga Bangladesh, Nepal (4), Myanmar (4) dan Indonesia (3) ditahan. Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen dan Seksyen 15 (1) (c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa," katanya. Menurut Faizal Fazri lagi, semua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Lenggeng untuk tindakan lanjut. |
Melaka mahu jadi hab aktiviti seni Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT IDRIS Haron (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu mengenai karya pelukis Mohd. Yusof Ahmad (kanan) dalam pameran solo beliau bertajuk garis, Alor dan Bentuk di Bastion House, Banda Hilir, Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel MELAKA 27 Mac - Kerajaan negeri sentiasa berusaha menjadikan Melaka bukan sahaja sebagai pusat pelancongan terkemuka tetapi hab perkembangan pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha menjadikan Melaka sebagai hab kesenian dan kebudayaan itu adalah seiring dengan keunikan negeri ini yang terkenal sebagai Bandar Raya Warisan Dunia. Penganjuran pelbagai pameran seni yang berkualiti tinggi mampu menjadi tarikan kepada para pelancong. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri yang menyasarkan seramai 15 juta pelancong melawat negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014)," kata- nya. Beliau berucap merasmikan Pameran Solo Datuk Mohd. Yusof Ahmad berjudul Garis, Alor dan Bentuk, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Hamdin Abdollah. Menurut Idris, Perzim sentiasa berusaha gigih mendukung pelbagai aktiviti dan perkembangan seni khususnya seni visual menerusi pelbagai pameran lukisan. Kelebihan dalam dunia seni visual sedikit sebanyak membantu menaikkan sosioekonomi masyarakat kita terutamanya dari segi pelancongan serta industri kecil dan sederhana malah, kita sedar betapa karya-karya seni memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat," katanya. |
Penarik kereta nafi berkelakuan samseng Posted: 27 Mar 2014 12:20 PM PDT MELAKA 27 Mac - Seorang penarik kereta menafikan dakwaan sepasang suami isteri yang dia dan rakan-rakannya berkelakuan samseng ketika menarik kereta milik mereka, pada 5 Mac lalu. Saharin Dawood, 42, yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai penarik kereta sebaliknya berkata, mereka melakukan kerja itu mengikut prosedur operasi tetap (SOP). Malah katanya, pihaknya mempunyai lesen sah serta permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Dakwaan pasangan itu adalah tidak benar, termasuklah tuduhan kami tidak membenarkan mereka mengambil barangan dalam kereta," katanya. Saharin berkata demikian ketika bertemu Pengarah Pembela Barisan Nasional (BN), Amir Hamzah Ab. Aziz di Pejabat Pembela BN, Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini semalam. Utusan Malaysia pada 9 Mac lalu melaporkan kisah pasangan berkenaan dalam berita bertajuk Suami isteri rugi, penarik kereta bertindak seperti samseng. Dalam laporan berkenaan, pasangan tersebut mendakwa dikasari dua penarik kereta berusia 20-an yang bertindak seperti samseng apabila melanggar kereta mereka jenis Proton Persona sebelum merampasnya. Pasangan tersebut turut mendakwa tidak dibenarkan mengambil barangan berharga milik mereka termasuklah kunci rumah, kunci sebuah lagi kereta, kelengkapan sekolah anak-anak serta dokumen kerja termasuk tender projek bernilai RM3 juta. Akibat dakwaan itu, Saharin berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru pada 9 Mac lalu. Saharin memberitahu, kereta pasangan yang didakwa gagal membayar ansuran tertunggak selama empat bulan itu sebenarnya telah tiga kali ditarik oleh pihak bank. Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, pihaknya akan mengatur pertemuan antara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan kemelut tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |