Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 15 Mar 2014 11:14 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA PEMAIN Johor Darul Tazim, Mahalli Jasuli (tengah) cuba merembat bola ke gawang Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam tadi. KUALA TERENGGANU - Skuad Penyu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri apabila membenam cabaran pasukan berstatus bintang, Johor Darul Tazim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam. Biarpun dilihat sedikit tempang di bahagian tengah tanpa kehadiran dua pemain tonggak, Ashaari Shamsudin dan Zairo Anuar Zailani, namun ia tidak mengganggu corak permainan pasukan tersebut secara keseluruhannya. Beraksi di hadapan lebih 12,000 penyokong, tuan rumah terlebih dahulu mengasak dengan beberapa percubaan berbahaya namun gagal disudahkan oleh jentera serangan yang diketuai Norfarhan Mohamad. Pelawat turut berpeluang mendahului pada minit ke-11 apabila Hariss Harun membuat satu lorongan bola yang cantik kepada Liciano Gabriel namun rembatan pemain itu sekadar menggegar tiang gol. Terengganu kemudian menggandakan asakan dalam usaha untuk memburu gol awal dan hasilnya, tonggak pertahanan mereka, Vincent Bikana mudah menolak masuk bola tendangan sudut seorang lagi pemain import, Marcio Souza lima minit berselang. Tertekan dengan jaringan tersebut, anak-anak buah Cesar Fernando Giminez mula memperkemaskan jentera serangan mereka namun masih buntu untuk menyamakan kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama. Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan kembali mempamerkan aksi lebih agresif untuk terus memburu jaringan. JDT beroleh beberapa percubaan bahaya di depan pintu gol tuan rumah namun kekentalan benteng pertahanan Terengganu yang diketuai oleh Bikana merencatkan hasrat skuad dari selatan tanah air itu untuk menjaringkan gol. Biarpun kerap diasak terutamanya menjelang 15 minit terakhir perlawanan, tuan rumah terus ampuh bertahan sehingga ke minit-minit akhir perlawanan sekaligus memastikan hajat JDT untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Johor Bahru tidak kesampaian. Beberapa kekecohan kecil turut berlaku akibat rasa tidak puas hati penyokong dengan keputusan pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed namun, tiada sebarang insiden buruk berlaku sehingga wisel penamat ditiupkan. |
Posted: 15 Mar 2014 11:14 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB KUALA LUMPUR - Hasrat Kelantan untuk kekal di tangga teratas Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Pahang di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, semalam. The Red Warriors (TRW) dipintas oleh pasukan jiran, Terengganu yang menang 1-0 ke atas Johor Darul Tazim. Beraksi di depan lebih 12, 000 penyokong setia, Kelantan membuka jaringan menerusi sepakan percuma kapten, Mohd. Badri Radzi yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid. Tok Gajah bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Saiful Nizam Miswan yang bijak menyudahkan hantaran hasil sepakan penjuru. Bersambung babak kedua, Kelantan terus melakukan beberapa asakan bahaya menerusi Francis Forkey Doe dan Fakri Saarani, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan pasukan pelawat. Pada minit ke-70 Kelantan dikejutkan dengan jaringan kedua Pahang menerusi Mohd. Faizol Hussain yang tenang menyudahkan hantaran Dickson Nwakame. Kelantan bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Khairul Izwan Rosli berjaya menjaringkan gol pada minit ke-80 menerusi rembatan kencang yang menuju tepat ke arah kanan pintu gol Pahang. Dalam pada itu, di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan Sarawak memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas LionsXII. Tiga gol Sarawak diperolehi hasil jaringan S. Chanthuru pada minit keenam dan ke-40, manakala satu lagi jaringan tuan rumah menerusi Mohamad Rashid Aya minit ke-75. Gol tunggal LionsXII dijaringkan Muhammad Nazrul Ahmad Nazari minit ke-35. Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah Perak tewas 0-2 kepada Sime Darby, yang tidak menghadapi masalah untuk menguasai perlawanan di tempat lawan. Pemain Sime Darby, Fazrul Hazli beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut apabila berupaya menyumbang dua gol pada minit ke-16 dan ke-40. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |