{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Hadapi 52 tuduhan palsukan dokumen

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh ZAAIN ZIN
utusankelantan@utusan.com.my

Abdullah @ Mohamed Sulaiman ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam. - Utusan/Zuharman Mohamad Nor

KOTA BHARU 9 Mac - Seorang bekas penghulu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 52 pertuduhan memalsukan dokumen, dua tahun lalu.

Abdullah @ Mohamed Sulaiman, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua 52 pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Adli Abd. Ghalib.

Bagi pertuduhan pertama, Abdullah didakwa memalsukan dokumen borang permohonan bekalan baja menggunakan nama Ab. Rahman Abas, namun meletakkan cap jari sendiri untuk mendapatkan baja padi dengan harga subsidi RM1 setiap beg daripada kerajaan Pas Kelantan.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh pada 21 Mei 2012.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-52, dia didakwa melakukan perbuatan sama, namun menggunakan nama 51 lagi individu berbeza pada tarikh dan tempat yang sama.

Untuk setiap pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd. Rashid serta Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahidah Muslimah Roslan.

Selepas ditawarkan jaminan RM5,000 oleh pihak pendakwa raya, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM3,000 atas alasan dia kini tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 10 April depan.

UMK sedia jadi orang tengah hidupkan makyung

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Rahmah Bujang
Farok Zakaria (tengah) turut membuat persembahan sempena Syarahan Perdana Profesor UMK Bil. 1/2014 di UMK Kampus Kota, Kota Bharu, semalam. - Utusan/Asma Hanim Mahmood

KOTA BHARU 9 Mac - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersedia mengatur pertemuan antara penggiat makyung dengan kerajaan Pas Kelantan bagi mencari jalan agar larangan terhadap warisan itu daripada dipersembahkan di khalayak umum dapat dipertimbangkan semula.

Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PPBPI) UMK, Prof. Dr. Farok Zakaria berkata, tidak ada cara yang lebih baik untuk menghidupkan kembali warisan itu di negeri asalnya melainkan pengharaman persembahan makyung ditarik balik.

Katanya, rundingan itu sangat penting supaya kedua-dua pihak dapat memahami sama ada garis panduan kerajaan ataupun nilai estetika warisan yang mahu dipertahankan penggiat seni.

"Makyung adalah satu persembahan lengkap yang ada unsur lagu, nyanyian, lakonan, komedi dan tarian yang diselitkan dengan cerita orang yang baik menang melawan kumpulan yang jahat.

"Namun keaslian makyung tidak akan hilang jika kerajaan mahu ia dipersembahkan sepenuhnya oleh kaum lelaki malah makyung pada asalnya dimainkan oleh lelaki sahaja.

"Kita boleh membuang unsur perbomohan dan memasukkan nilai agama. UMK bersedia membuat kertas cadangan tentang pemain, jalan cerita dan konsep yang selari dengan batas yang ditentukan kerajaan. Kita boleh berubah, kerajaan berilah kebenaran dan jangan tangkap orang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Syarahan Perdana Profesor UMK Bil. 1/2014 bertajuk Makyung - Menghidupkan Semula Mahakarya Mistikal di Dewan Terbuka Keusahawanan UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Dalam syarahan tersebut, Farok menyenaraikan pelbagai faktor yang menyebabkan kesenian tradisional di negeri ini semakin 'tenat' termasuk makyung .

Antaranya, kekangan undang-undang daripada kerajaan negeri, bilangan penggiat yang semakin berkurangan dan hilangnya minat generasi muda kepada warisan mereka sendiri.

Sementara itu, pakar kesenian Melayu, Profesor Datin Dr. Rahmah Bujang dari Universiti Malaya (UM) berkata, kerjasama yang utuh daripada kerajaan negeri adalah sangat penting untuk survival makyung bagi memastikan warisan yang mendapat pengiktirafan dunia ini tidak pupus.

Dalam masa sama, beliau yang merupakan bekas Ketua Jabatan Kesenian Melayu di Akademi Pengajian Melayu UM berkata, golongan kreatif juga perlu bersedia dengan sebarang perubahan yang mesti dilakukan contohnya pengasingan antara lelaki dan wanita dalam persembahan makyung.

"Jika tidak dapat buat persembahan secara keseluruhan maka kita ambillah semangat persembahan, yang penting kita pelihara ragam makyung.

"Kalau kerajaan mahu semua perempuan maka perempuanlah, kalau nak lelaki maka semua lelaki, tetapi pihak orang berkarya kena bersedia untuk itu dan jangan cepat kata tidak boleh," katanya.

YGMB peruntuk RM200,000 bantu ahli terjejas akibat banjir

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Alimuddin Mohd. Dom (tiga dari kanan) dan Norliza Mahmud (tengah) bersama sebahagian penerima semasa majlis penyampaian sumbangan kebajikan bencana banjir kepada ahli YGMB di Kemaman, semalam. - Utusan/Shaifudin Mohd. Nor

KEMAMAN 9 Mac - Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) memperuntukkan sumbangan RM200,0000 untuk diagihkan kepada kira-kira 300 ahlinya yang turut menjadi mangsa banjir pada penghujung tahun lepas.

Melalui program kebajikannya itu, sebanyak RM52,000 diagihkan kepada 104 penerima di negeri ini dengan masing-masing akan menerima sebanyak RM500 manakala selebihnya diberi kepada ahli YGMB di Pahang.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak YGMB dalam mengurangkan bebanan ahli khususnya guru bagi memulihkan suasana kehidupan setelah teruk terjejas.

"Secara keseluruhan, YGMB telah menyumbang lebih RM10 juta untuk pelbagai program berbentuk kebajikan kepada hampir 100,000 ahlinya termasuk program seperti ini sejak penubuhannya kira-kira 20 tahun yang lalu.

"Bagaimanapun, tidak ramai ahli kita yang mengetahui perkara ini termasuk faedah yang diperoleh dengan menyertai YGMB.

"Sehubungan itu, kita akan terus perluaskan maklumat semasa mengenai YGMB selain merekrut lebih ramai ahli," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kebajikan mangsa banjir kepada ahli YGMB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Raof Hussin; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Husin serta beberapa kenamaan lain.

Sementara itu, Norliza dalam ucapannya mahu badan lain mencontohi tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh YGMB yang menjurus kepada pembelaan nasib ahli.

Katanya, YGMB menggerakkan pelbagai program untuk kepentingan ahli termasuk ketika berdepan dengan bencana yang menyulitkan kehidupan.

"Justeru, saya menyeru kepada guru yang belum menyertai YGMB agar dapat bersama-sama bagi mengukuhkan lagi peranan YGMB di samping dapat pelbagai manfaat yang disediakan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat