Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Tiga pelajar cipta jaket keselamatan
- 5 pelajar ke Jerman ikuti kejuruteraan automotif
- RM1 juta baik pulih masjid, surau
Tiga pelajar cipta jaket keselamatan Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI Mohd. Fawwaz Abbas (kanan) bersama dua lagi rakannya, Mohd. Rozee Mat Azmi (dua dari kanan) dan Tan Heeng Yon (dua dari kiri) menunjukkan jaket keselamatan LED yang mereka hasilkan di PKB, Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI KOTA BHARU 18 Mac - Kebimbangan terhadap kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal di negeri ini mencetuskan inspirasi untuk tiga pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) mencipta jaket lampu diod pemancar cahaya (LED). Usaha tiga pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi itu tidak sia-sia apabila projek ciptaan mereka, Safety Riders Protection meraih Anugerah Projek Terbaik dalam Majlis Konvokesyen Politeknik ke-27 baru-baru ini. Ketiga-tiga pelajar tersebut ialah Mohd. Fawwaz Abbas, Mohd. Rozee Mat Azmi dan Tan Heeng Yon. Kesemuanya berusia 22 tahun. Sementara itu, Mohd. Fawwaz berkata, idea untuk mencipta alat tersebut tercetus apabila melihat keselamatan penunggang motosikal berada pada tahap membimbangkan. "Memandangkan kami juga penunggang motosikal dan faham bahaya menunggang, jadi kami mahu mencipta satu alat yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya. "Kami menginovasi jaket keselamatan biasa dengan memasang LED bagi membolehkan pemakainya dilihat dalam situasi gelap, waktu siang mahupun hujan. "Lampu LED yang dipasang pada jaket akan menyala apabila brek ditekan dan seterusnya berfungsi sebagai alat sokongan kepada lampu belakang pada motosikal berkenaan sekiranya rosak," katanya. Mohd. Fawwaz berkata, projek yang diselia oleh seorang pensyarah, Salwati Mohamed itu mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dengan kos kira-kira RM200. Katanya, lampu LED itu dipasang tanpa menggunakan wayar pada jaket keselamatan dan boleh dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain dalam jarak maksimum 400 meter. "Oleh itu, kami berharap inovasi jaket keselamatan LED ini dapat menjadi salah satu produk alternatif buat penunggang motosikal untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya. |
5 pelajar ke Jerman ikuti kejuruteraan automotif Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT Ghazali Taib (empat dari kanan) beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang mendapat pembiayaan kerajaan negeri bagi mengikuti kursus kejuruteraan automotif di Jerman di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/Tengku Fauziah Ngah KUALA TERENGGANU 18 Mac - Lima pelajar kumpulan pertama anak negeri berlepas ke Jerman Jumaat lalu untuk mengikuti kursus kejuruteraan automotif yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Melalui program yang dirintis oleh kerajaan negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai anak negeri menguasai pelbagai bidang kemahiran tinggi itu, sejumlah RM290,000 diperuntukkan oleh Yayasan Terengganu (YT) bagi setiap pelajar. Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata, mereka yang bakal mengikuti kursus selama empat tahun itu dipilih daripada ratusan pelajar cemerlang berdasarkan kelayakan dan saringan melalui temuduga. "Sebelum ini mereka telah menuntut di German-Malaysia Institute (GMI) selain berusaha menguasai bahasa negara itu," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan wang pendahuluan diri kepada mereka di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah YT, Azmi Razik. Dalam majlis itu, setiap pelajar menerima sejumlah RM34,685 sebagai permulaan untuk mengikuti kursus kemahiran tinggi di negara yang terkenal dengan tradisi pembuatan kereta ternama dunia di samping menjalani latihan industri dengan syarikat pengeluar di bandar Leipzig dan Ingolstadt. Mereka terdiri daripada Sayyid Abdul Halim Syed Omar, Wan Muhammad Syakiran Wan Mazlan, Wong Foo Siang, Ahmad Ahsan Yusof dan Nurhidayati Za'im, masing-masing berusia 20 tahun. Ghazali berkata, kerajaan negeri sudah lama merancang supaya anak negeri dapat menguasai kejuruteraan automotif, suatu keperluan kritikal dalam industri automotif yang pesat berkembang dan membuka peluang kerjaya di serata dunia. Sementara itu seorang penerima, Sayyid Abdul Halim Syed Omar berasa bertuah dan berbangga kerana berpeluang menjalani kursus di negara yang terkenal dengan kehebatan dalam industri berkenaan dan sukar disaingi. "Peluang yang diberikan itu tidak akan disia-siakan kerana bidang pemotoran merupakan minat saya dan berharap menjadi jurutera dalam bidang berkenaan kelak," kata anak kelahiran Kampung Tok Ku di sini. Nurhidayati Za'im dari Paka, Dungun turut berbangga dengan peluang yang diperoleh dan yakin mampu bersaing untuk menguasai kemahiran dalam bidang yang kebanyakan dimonopoli oleh golongan lelaki. "Sebagai wanita, ini merupakan cabaran bagi saya dan akan mengikuti latihan dengan tekun untuk berjaya agar tidak menghampakan harapan tinggi kerajaan," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang ini. |
RM1 juta baik pulih masjid, surau Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI Ikmal Hisham Abdul Aziz (tiga dari kiri) menyampaikan cek RM100,000 untuk kerja-kerja baik pulih Masjid Kampung Panjang Mukim Gobek, Gual Ipoh di Tanah Merah, baru-baru ini. TANAH MERAH 18 Mac - UMNO Bahagian Tanah Merah akan menyediakan peruntukan lebih RM1 juta tahun ini bagi membantu membaik pulih masjid serta surau dalam kawasan Parlimen tersebut. Ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz memberitahu, peruntukan tersebut akan melibatkan kerja-kerja baik pulih lebih 50 buah surau serta masjid di kawasan ini. "Kita akan membaiki kira-kira tujuh buah masjid serta lebih 50 buah surau termasuk membaik pulih Masjid Besar Tanah Merah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek kepada Masjid Kampung Panjang Mukim Gobek,Gual Ipoh di sini kelmarin. Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Mohd. Bakri Mustapha dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid. Pada majlis tersebut, Ikmal Hisham menyampaikan cek bernilai RM100,000 bagi membantu melaksanakan kerja-kerja baik pulih masjid berkenaan. Tambah Ikmal Hisham, pihaknya juga akan sentiasa berusaha membantu menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk Tanah Merah bagi menunaikan ibadat. "Masjid serta surau di kawasan ini perlu dibantu kerana ia adalah rumah ibadat kepada kira-kira 95 peratus penduduk di sini beragama Islam. "Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita akan menyediakan kelengkapan serta membina bangunan tambahan mengikut keperluan dalam memastikan keselesaan rakyat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |