Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Interaksi pikat peminat
DALAM usaha untuk menembusi pasaran muzik arus perdana tempatan, setiap band yang bergerak secara sendiri mempunyai resipi dan cara masing-masing untuk memperkenalkan muzik garapan mereka kepada para peminat. Tidak hanya tertumpu pada satu saluran atau cabang sahaja, mempromosikan karya yang telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) sebelum ia dilancarkan merupakan satu usaha yang unik dan mampu untuk menarik perhatian umum. Lebih istimewa, promosi tersebut berlangsung secara berterusan menerusi penganjuran konsert jelajah yang membawa band tersebut hampir ke seluruh negara bagi bertemu dengan para peminat. Itulah yang dilakukan oleh enam orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Oh Chentaku (OCK) sejak bulan Januari yang lalu Ketika ditemui usai melakukan persembahan kemuncak konsert jelajah Younghearts Tour 2014 yang berlangsung di Blackbox, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini, OCK yang terdiri daripada Myo, Jimmy, Amber, Wawa, Naem dan Jack mempunyai sebab yang tersendiri memilih cara promosi album sedemikian. Tembusi arus perdana "Kebanyakan artis atau band-band terkenal bertindak melancarkan album mereka terlebih dulu sebelum mengadakan sebarang konsert jelajah. Tetapi bagi OCK, kami lebih mengutamakan para peminat dengan mengadakan konsert jelajah sebelum melancarkan album. "Ia bertujuan bagi memberikan mereka masa untuk membiasakan diri dengan lagu-lagu kami sebelum datang ke konsert yang terakhir ini," kata Myo, atau nama sebenarnya Mior Luqman Mior Mohd. Zain, 27, selaku vokalis OCK yang mewakili kumpulan tersebut. Menurut Myo, selain aktif mempromosikan album ketiga mereka yang berjudul Younghearts itu dalam penganjuran konsert jelajah, OCK turut tidak melepaskan peluang untuk turut serta berinteraksi bersama para peminat di alam maya menerusi platform media sosial yang kini menjadi kegilaan ramai golongan muda. "OCK banyak berinteraksi dengan para peminat menerusi akaun rasmi Facebook, Twitter serta Instagram. Akaun ini akan dikemas kini pada setiap masa bagi membolehkan peminat mengikuti perkembangan karier kami. "Selain itu, kami juga turut memuat naik video belakang tabir konsert jelajah yang dirakam pada setiap negeri di laman perkongsian video YouTube. "Dalam usaha untuk menembusi pasaran arus perdana, pendekatan yang digunakan haruslah selari dengan trend semasa. "Setiap kemas kini yang dipaparkan di lama sosial dapat mendekatkan lagi kumpulan kami dengan para peminat," ujarnya lagi. Inspirasi Mahsuri Dalam pembikinan sesebuah album, tema yang unik sering diangkat sebagai sumber inspirasi utama bagi memberi kelainan serta perbezaan dengan band-band yang lain. Justeru, pada penghasilan album Younghearts, Myo banyak menyuntik elemen Melayu serta adat tradisi nenek moyang untuk diketengahkan dalam beberapa buah lagu. "Menerusi album ini, banyak perubahan yang boleh dilihat antaranya, termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama penulisan lirik dalam Younghearts. POPULARITI Oh Chentaku kini semakin meningkat dalam kalangan peminat muzik tempatan. "Selain itu, saya cuba untuk mempamerkan kekuatan bahasa ibunda kita dengan menggunakan kosa kata serta frasa Melayu klasik dalam penghasilan lagu-lagu seperti Seriputeh dan Semangat Satria," ujarnya. Melanjutkan perbualan, Myo memberitahu, lagu Seriputeh yang menampilkan rapper Altimet sebagai artis jemputan diinspirasikan daripada legenda pembunuhan Mahsuri yang pernah berlaku suatu ketika dahulu di Pulau Langkawi. "Ketika dalam proses menghasilkan album ini, saya begitu tertarik dengan kisah yang berlaku disebalik lagenda Mahsuri. "Justeru, saya mengambil keputusan untuk menyelitkan kisah tersebut dalam lagu Seriputeh," ujar Myo yang menyifatkan album ini banyak melalui proses eksperimen bagi mendapat hasil yang terbaik. Impak Versus Walaupun OCK telah bertapak dalam senario muzik indie sejak tahun 2007. Namun nama kumpulan itu mula dikenali setelah mereka mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan Versus musim kedua yang bersiaran di TV9 pada awal tahun lalu. Menyedari hakikat itu, OCK berpendapat bahawa sokongan yang mereka perolehi banyak diterima menerusi pertandingan tersebut. Kata Myo: "Tidak dinafikan, penyertaan OCK dalam pertandingan Versus musim kedua banyak membuka peluang untuk kami melebarkan sayap dalam industri muzik arus perdana. "Jadi tidak hairanlah, jumlah peminat kami semakin bertambah dengan banyaknya sejak kami menyertai pertandingan tersebut. Bermula dengan 9,000 peminat yang mengikuti akaun Facebook kami, sekarang jumlah tersebut telah melonjak sehingga 85,000 orang," ujarnya sambil tersenyum. Selain itu, ujar Myo, penglibatan OCK menerusi konsert jelajah juga turut membantu mereka untuk dikenali ramai. "Younghearts Tour 2014 merupakan konsert jelajah terbesar yang pernah kami sertai. Walaupun kami pernah mengadakan konsert yang serupa sekitar tahun 2007, tetapi impaknya tidak sebesar sekarang. "Kami juga amat berterima kasih kepada peminat kerana tidak jemu-jemu memberikan sokongan walaupun selepas tamat rancangan tersebut," katanya yang menyifatkan program seumpama itu merupakan peluang terbaik untuk band-band indie di Malaysia untuk menonjolkan bakat. Elak sengketa Dalam meniti puncak populariti dan usaha menempa nama di peringkat yang lebih tinggi, OCK percaya dengan semangat setiakawan serta sikap bantu-membantu antara satu dengan yang lain. "Kami bermula sebagai sebuah band tanpa mengenali antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, ikatan yang terjalin selepas mengenali diri masing-masing menguatkan lagi persahabatan kami. "Dari situ, kami mula berkerjasama dengan baik dan hasil kerjasama itu boleh didengar melalui penghasilan album ini," kata Myo yang turut menganggap tiada sebarang perlumbaan dalam kalangan band-band yang ada di Malaysia. | ||
Dayang kembali dengan diri sendiri Posted: Dayang kembali dengan diri sendiriOleh MOHD. IZUAN ROSELI DAYANG NURFAIZAH bersama sidang video bersama Marcell sambil diperhatikan R. James Alexander (dua dari kanan) dan Juhari. SETELAH sekian lama menyepi dalam industri seni hiburan tanah air, nama Dayang Nurfaizah kini kembali meniti di bibir peminat apabila lagu hitnya, Di Pintu Syurga yang menjadi lagu tema drama, Ariana Rose menjadi siulan peminat pada masa sekarang. | ||
Posted: Shuhaimi dekati Mak YongOleh IZWAN MOHD. ISA
SUATU ketika dahulu, nama pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba cukup sinonim dengan filem-filem bertemakan seram. Sejak menghasilkan filem Pontianak Harum Sundal Malam pada tahun 2004, genre tersebut seperti sudah melekat kuat dalam jiwanya. Bagaimanapun, selepas muncul dengan filem Waris Jari Hantu, sutradara yang berasal dari Negeri Sembilan ini dilihat telah berubah angin dan lebih senang untuk tampil dengan filem-filem bercorak sejarah. Ia dibuktikan menerusi dua buah filem arahannya iaitu 1957: Hati Malaya dan Tanda Putera. Ketika berkesempatan menghadiri majlis tayangan enam filem pendek Ikal Mayang anjuran pertubuhan WOMEN: Girls di GSC Signature The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, Shuhaimi hadir dengan sebuah naskhah bertemakan teater tradisional Mak Yong berjudul Forgotten. Mempunyai sebab tersendiri mengapa dia memilih tema sedemikian, Shuhaimi turut bercerita mengenai cita-citanya yang mahu mengangkat filem pendek tersebut menjadi sebuah filem panjang untuk tontonan umum. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Shuhaimi Baba. Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan anda menerusi penghasilan filem pendek Forgotten? SHUHAIMI: Pada penganjuran Ikal Mayang tahun ini, pihak WOMEN: Girls mahu mengetengahkan isu Unspoken Truths yang banyak berkisar tentang kaum wanita. Ketika diminta untuk menghasilkan filem pendek, saya terus terfikir untuk mengarahkan sebuah karya yang berlatarkan tentang kehidupan seorang pengamal teater tradisional Mak Yong bernama Mek Sah. Ada sebab mengapa anda memilih untuk mengetengahkan Mak Yong? Saya sememangnya minat dengan bidang kesenian lebih-lebih lagi apa yang ditampilkan melalui persembahan Mak Yong. Tetapi, sejak negeri Kelantan telah mengharamkan persembahannya pada tahun 1991, pengamal-pengamal teater tradisional itu seperti hilang mata pencarian. Jadi, itulah antara sebab saya ingin mengembalikan zaman kegemilangan Mak Yong. Adakah jalan cerita Forgotten diadaptasi daripada kisah benar? Ya, filem pendek ini ada kena mengena dengan beberapa pengamal Mak Yong yang dahulunya cukup popular dalam kalangan penggemar teater tradisional tersebut. Ada antara mereka yang pernah ke luar negara bagi mewakili Malaysia untuk membuat persembahan. Tetapi, sejak diharamkan, mereka tidak mampu untuk beraksi di atas pentas dan menurunkan ilmu tersebut pada generasi muda. Jadi, hidup mereka dihabiskan di rumah dengan membuat pekerjaan-pekerjaan biasa seperti menoreh getah. Adakah Mak Yong menepati tema Unspoken Truth yang diketengahkan pada edisi Ikal Mayang kali ini? Pada pendapat saya, filem pendek ini bersesuaian dengan tema Ikal Mayang kerana ia mengetengahkan kecekalan hati seorang wanita yang harus meninggalkan pekerjaannya atas dasar undang-undang. Selain itu, ia turut dapat menceritakan sedikit sebanyak tentang zaman kegemilangan teater tradisional Mak Yong kepada generasi masa kini. Tiada sebarang perancangan untuk mengangkat filem pendek ini untuk tontonan komersial? Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya menonton Forgotten di layar perak. Saya begitu terkejut kerana hasilnya sungguh bagus sekali. Tidak mustahil saya akan hadir dengan sebuah filem komersial bertemakan Mak Yong. Anda cukup terkenal dengan filem bergenre seram tetapi sejak akhir-akhir ini, anda hadir dengan karya bercorak sejarah. Mengapa anda menukar haluan? Bagi saya, sudah tibanya masa untuk mencuba sesuatu yang baharu. Lebih-lebih lagi apabila industri perfileman masakini banyak menghasilkan filem bergenre seram. Apakah perancangan terbaharu anda? Saya sedang dalam proses untuk mengarah sebuah filem berjudul Regalia. Filem ini turut mengetengahkan tema sejarah yang menampilkan epik peperangan kerajaan Kesultanan Johor dengan negara Belanda. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |