{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Keunikan bujang berselasar

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Oleh ROSALINDA MD. SAID
utusanterengganu.@utusan.com.my

PETUGAS melakukan kerja-kerja membuka rumah tradisional Terengganu untuk dipindahkan ke Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia.

KUALA TERENGGANU 19 Mac - Seni bina rumah tradisional merupakan sebahagian daripada gambaran sejarah perkembangan ketamadunan bangsa yang dikaitkan dengan sifat kreatif dan inovatif masyarakat Melayu silam.

Melalui reka bentuk dan cara pembuatannya, warisan itu yang dilanda arus kehidupan moden hampir lenyap bersama ketinggian ilmu seni pertukangan dengan setiap ciptaan membawa maksud tersendiri dalam kehidupan selain keindahannya.

Ia disesuaikan pula fungsinya dengan pegangan agama dan kepercayaan, hubungan kemasyarakatan, cuaca dan persekitaran yang boleh dilihat mencapai titik kesempurnaan melalui rumah bujang beselasar (berserambi).

Rumah jenis itu merupakan antara bentuk terawal dibina dan paling popular dalam sejarah pembuatan rumah tradisional di negeri ini selain rumah bujang berpeleh, rumah tele dan rumah limas potong Belanda.

Salah satu warisan terakhir itu masih boleh dilihat dalam bentuk asalnya merupakan milik Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah, 57, di Kampung Tanjong Pasar dekat di sini, namun dalam keadaan uzur dan menunggu masa diruntuhkan bagi memberikan laluan kepada projek pembangunan kawasan itu.

Ia bakal menjadi tidak lebih sebagai satu longgokan kayu buruk dan terbuang. Namun Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat itu suatu khazanah yang berharga dan peluang memilikinya tidak dilepaskan begitu sahaja.

Kewujudan rumah bujang berselasar di muzium itu yang akan dibangunkan semula dalam bentuk asal bakal melengkapkan penempatan rumah tradisional yang dikategorikan mengikut tiga zon selain rumah kutai Perak (zon utara) dan rumah minang (zon selatan).

Rumah berusia hampir 150 tahun dibina sendiri oleh pemiliknya, Wan Muda Wan Hassan, seorang pembuat perahu serta barangan tembaga itu memperlihatkan ciri-ciri unik yang tidak terdapat pada kebanyakan rumah tradisional lain di sekitar Semenanjung.

Wan Ahmad Hassan yang mewarisinya, menyerahkan secara rasmi kepada pengarah muzium berkenaan, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif baru-baru ini sebelum kerja-kerja menanggalkan rumah itu dilakukan untuk dibawa ke muzium.

Menurut Dr. Muhammad

Pauzi, pihaknya berusaha mencari rumah sebegitu sejak tahun lalu dan berasa bertuah berpeluang mendapatkannya, bukan sahaja untuk koleksi pameran dan diabadikan tetapi sebagai bahan pengajian dan penyelidikan serta pemuliharaan.

"Dalam catatan pengkaji barat ada menyatakan rumah bujang berselasar berusia hampir 150 tahun dan dengan ciri papan dinding kembung yang terdapat pada rumah ini secara tidak langsung membuktikan usianya yang lebih satu abad.

"UPM sangat berminat dengan rumah yang didirikan oleh Allahyarham Wan Muda Wan Hassan kerana ia mempunyai ciri yang tidak ada pada kebanyakan rumah Melayu lain di Semenanjung.

"Bagi saya, rumah ini mempunyai banyak keunikan selain tanpa elemen paku, seperti diperbuat daripada kayu cengal yang berlantaikan kayu seraya serta bertiang 12 selain lantainya berpasak dan berselak," katanya.

Rumah bujang berselasar lazimnya berbumbung panjang dengan papan pemeleh dan beralas atap singgora memberi tekstur menarik selain identitinya turut terletak pada struktur tiang dan ruang selasar, rumah ibu dan dapur.

Sesuai dengan namanya bujang, rumah ini tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya mempunyai ruang luas (rumah ibu) kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul untuk majlis keramaian dan keagamaan.

Aras paling tinggi adalah rumah ibu yang boleh dilalui di bawahnya dengan pelbagai aktiviti harian boleh dijalankan atau untuk teduhan barangan kelengkapan manakala selasar hanya setinggi paras pinggang orang dewasa.

Selasar berfungsi sebagai ruang untuk mengajar mengaji, menjahit pukat atau jala dan aktiviti santai yang banyak melibatkan kaum lelaki.

Bercerita lebih lanjut mengenai butiran rumah itu, Dr. Muhammad Pauzi berkata, rasional di sebalik lantai jarang adalah untuk memenuhi keperluan seperti membasuh lantai, memandikan mayat, menyapu menyapu habuk, selain menyejukkan.

Salur angin yang menghiasi dinding rumah bagi menggantikan tingkap pula berfungsi untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik di ruang rumah ibu.

"Elemen tangga juga penting dalam rumah bujang berselasar dan terdapat sebuah tangga yang menghubungkan selasar dengan tanah dan selasar dan ruang ibu.

"Binaan bumbung yang rendah pada pintu sekali gus menuntut posisi menunduk ketika memasuki rumah ibu sebagai tanda hormat kepada tuan rumah," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Hassan berkata, dia terharu dengan inisiatif UPM dan tidak sangka rumah pusaka berkenaan mempunyai nilai begitu tinggi sehingga dibeli untuk terus dibangunkan semula.

"Menurut cerita ayah, selepas datuk meninggal pada 1937, semua anak-anaknya berpindah. Rumah itu kemudian disewakan sampai kini. Jadi boleh dikatakan kesemua generasi cucu termasuk saya tidak pernah tinggal di rumah itu.

Wan Ahmad Hassan melahirkan rasa terharu dan bangga apabila pihak UPM mengambil inisiatif mengambil rumah berkenaan untuk dijadikan sebagai bahan sejarah.

"Sekiranya mereka tidak mengambil rumah ini, ia akan dirobohkan begitu sahaja kerana kampung ini akan dimajukan.

"Dengan terpeliharanya rumah ini, ia juga mengekalkan sejarah kepada keluarga kami kerana arwah datuk yang membina rumah ini dan kami adik-beradik akan dapat terus melihat warisan itu di muzium kelak," katanya.

Keputusan bertambah baik

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Oleh radhuan hussain
utusanterengganu@utusan.com.my

MOHAMAD Syukri Muda (lima dari kanan) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan setelah keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia diumumkan di SMK Panji Alam, Kuala Terengganu, semalam.- UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 19 Mac - Terengganu mencatat keputusan memberangsangkan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 apabila 23 buah sekolah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) melebihi 2.60 berbanding sembilan sekolah pada tahun sebelumnya.

Ini menyaksikan peningkatan GPS negeri daripada 2.40 pada tahun 2012 kepada 2.54 tahun lalu yang mana GPS melebihi minimum GPS nasional sebanyak 0.01.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Hashim Mohd. Zin berkata, Terengganu juga mencatat pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 2.54 tahun lalu berbanding 2.40 (2012) dengan perbezaan 0.14 peratus.

Menurutnya, keputusan calon lulus penuh pula mencatatkan 97.47 peratus berbanding 96.00 peratus tahun sebelumnya iaitu meningkat 1.46 peratus.

Katanya, jumlah calon yang lulus penuh empat prinsipal turut meningkat daripada 41.46 peratus pada tahun 2012 kepada 58.53 peratus (2013).

"Berdasarkan analisis lulus penuh lima mata pelajaran, sedikit menurun berbanding tahun lalu. Bagaimanapun ini tidak menggugat pelajar memohon melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Ini kerana syarat permohonan kemasukan adalah lulus penuh empat mata pelajaran saja termasuk Pengajian Am. Peningkatan lulus empat subjek iaitu 17.07 peratus melibatkan 1,757 calon berbanding 1,236 calon pada tahun 2012," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar keputusan STPM 2013 bagi sekolah-sekolah di negeri ini di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini hari ini.

Jelasnya, 23 sekolah yang mendapat GPS 2.60 ialah SMK Chung Hwa Wei Sin; SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, SMK Bukit Payong, SMK Putra, SMK Chukai, SMK Tengku Ibrahim, SMK Sultan Ahmad, SMK Tengku Bariah, SMKA Nurul Ittifaq, SMK Cheneh Baru, SMK Kuala Telemong dan SMK (Agama) Sheikh Abdul Malek.

Lain-lain ialah SMK (Agama) Durian Guling, SMK Kuala Besut, SMK Nasiruddin Shah, SMK Badrul Alam Shah, SMK Merchang, SMK Manir, SMK Tengku Lela Segara, SMK Sultan Ismail, SMK Renek, SMK Tengku Intan Zaharah dan SMK Bukit Besar.

Sebanyak 23 sekolah yang lulus penuh 100 peratus ialah SMK (Agama) Nurul Ittifaq, SM (Agama) (Atas) Sultan Zainal Abidin, SM (Agama) Maarif, SMK Tengku Ibrahim, SMK Chung Hwa Wei Sin, SMK Bukit Payong dan SMK Sultan Ahmad.

Begitu juga SMK Merchang, SMK Cheneh Baru, SMK Sultan Sulaiman, SMK Belara, SMK Seri Nilam, SM Teknik Terengganu, SMK Bukit Nenas, SMK Padang Midin, SMK Menerong, SMK Landas, SMK Putra, SMK Nasiruddin Shah, SMK Kuala Besut, SMK Kuala Telemong, SMK Renek dan SMK Seri Nering.

Dalam pada itu, Hashim turut mengumumkan tujuh pelajar terbaik STPM 2013 di Terengganu yang memperoleh PNGK 4.00 dengan mendapat 4 prinsipal A dalam semua mata pelajaran.

Mereka ialah Mohamad Shukri Muda (SMK Panji Alam), Wee Ying Ni (SMK Chung Hwa Wei Sin), Seeh Ti Whan (SMK Tengku Bariah), Nor Hasnita Shamsudin (SMK Putra), Leong Yuan Yi (SMK Tengku Intah Zaharah, Nurul Syahirah Muhamad (SMK Paka) dan Phang Kean Lap (SMK Sultan Ismail).

YDSM peruntuk RM2 juta bantu golongan miskin

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

KUALA TERENGGANU 19 Mac - Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) memperuntukkan kira-kira RM2 juta setahun untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini menceburi bidang perniagaan kecil.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, dana di bawah program galakan perniagaan yang digerakkan sejak lima tahun lalu telah memberi manfaat kepada 600 orang.

"Bantuan lebih tertumpu dalam bentuk pemberian peralatan berbanding bantuan wang tunai dan kita berkonsepkan memberi joran daripada memberi ikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kem Kecemerlangan Insan anjuran YDSM di Hotel Prinzpark di sini semalam yang disertai lebih 40 orang penerima bantuan YDSM.

Katanya, sebahagian besar penerima telah berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing dan kebanyakannya mengusahakan tanaman cendawan, makanan, jahitan, ternakan dan pertanian.

"Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, YDSM menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan sebagai pemegang amanah, kita akan pastikan hanya mereka yang layak berpeluang mendapat kemudahan tersebut," katanya.

Menurutnya, pihak yayasan mengadakan pemantauan dan lawatan sekurang-kurang dua bulan sekali untuk meninjau kemajuan perusahaan yang dijalankan di samping memberi bimbingan agar terus berkembang.

Mengenai Program Kem Kecemerlangan Insan yang pertama kali diadakan itu, beliau berkata, program itu memberi motivasi kepada usahawan dalam usaha meningkatkan perniagaan mereka di samping mengenal pasti masalah yang dihadapi.

Rata-rata pengusaha yang ditemui mengucapkan terima kasih dan berbangga dengan peranan YDSM yang mendorong mereka untuk mengubah kehidupan melalui bidang perniagaan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, YDSM turut menyediakan bantuan khidmat guaman syariah terutama untuk membantu golongan wanita yang menghadapi masalah rumah tangga.

"Bagi tujuan itu pihak kami akan berkerjasama dengan jawatankuasa peguam negeri untuk mendapatkan khidmat guaman bagi membantu," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat