{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


SeSMA terbaik SPM tiga tahun berturut-turut

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud meraikan pencapaian mereka selaku sekolah terbaik SPM Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam. - utusan/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 21 Mac - Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SeSMA) di sini muncul sebagai sekolah terbaik pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini untuk tiga tahun berturut-turut dengan 64 daripada 124 calonnya memperoleh semua A bagi semua mata pelajaran.

Penolong Kanan Pentadbirannya, Zulkeflee Abd. Rahman berkata, peratusan keputusan gred cemerlang semua A bagi keseluruhan calon di sekolah itu meningkat dua kali ganda kepada 50.81 peratus berbanding 29.08 pada 2012 dan 27.06 pada 2011.

Prestasi memberangsangkan itu meletakkan sekolah berkenaan di tangga teratas dalam senarai 10 Sekolah Berpencapaian Cemerlang Terengganu apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.12.

"Kejayaan ini hasil pelaksanaan berterusan program-program khas termasuk SSR (Searching, Scan & Rescue) bagi mengesan dan membantu pelajar lemah melalui peranan rakan-rakan mereka yang cemerlang sebagai mentor.

"Selain itu, program pengukuhan kerohanian iaitu Kasihi Ilahi yang mana pengisiannya termasuk ibadah qiamulail, solat hajat, solat Duha dan bacaan Yasin digerakkan dan pelajar digalakkan berpuasa sunat menjelang peperiksaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2013 bagi Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia negeri Terengganu di SeSMA di sini hari ini yang dilakukan oleh Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Hussin.

Sebanyak 10 sekolah di negeri ini disenaraikan sebagai Sekolah Berpencapaian Cemerlang SPM 2013 apabila mencatatkan GPS 2.25 dan ke bawah berbanding hanya enam buah sekolah pada 2012.

Sekolah itu termasuk SM Sains Kuala Terengganu, SBP Integrasi Batu Rakit, SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, SM Imtiaz Besut, SM Sains Dungun, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Imtiaz Dungun, SM Imtiaz Kuala Berang dan SMKA Sheikh Abdul Malek.

Dalam perkembangan sama, salah seorang pelajar SeSMA, Ahmad Zulkarnain Mohd. Azemi, 18, yang mendapat 9A+ turut diumumkan sebagai antara lima pelajar cemerlang SPM negeri ini.

"Saya tidak sangka apabila diberitahu cikgu tentang keputusan ini. Saya ucapkan terima kasih pada ibu bapa dan cikgu atas doa serta usaha yang tidak pernah jemu-jemu membantu kami.

"Insya-Allah selepas ini saya akan meneruskan pelajaran ke India dalam bidang perubatan dan merealisasikan cita-cita sebagai pakar bedah," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Berkongsi resipi kejayaannya, Ahmad Zulkurnain yang juga merupakan pengawas pusat sumber dan menjadi anggoata pasukan pancaragam sekolah itu berkata, aktiviti perbincangan dalam kumpulan bersama rakan-rakan menjadi amalannya sejak dulu lagi.

Nelayan bakal disenaraihitam

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Oleh Radhuan Hussain
utusanterengganu@utusan.com.my

A. Latiff Awang
Pengerusi Jawatankuasa Transformasi, Komunikasi dan Multimedia negeri

MARANG 21 Mac - Kerajaan akan bertindak tegas termasuk menyenaraihitamkan nelayan di negeri ini yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyalahgunakan bantuan dan subsidi yang diberikan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang menegaskan, sekiranya ada kalangan nelayan yang bertindak menjual diesel, enjin bot dan sebagainya, mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.

"Saya nak ingatkan kepada para nelayan supaya memanfaatkan bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan dengan sebaik mungkin.

"Jangan ada yang cuba jual diesel, enjin bot dan sebagainya, jika ada antara mereka (nelayan) yang selewengkan bantuan ini, mereka akan disenaraihitamkan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Berangan menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Daerah Marang di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Mohd. Zaid Mohd. Nor.

Dalam ucapannya, A. Latiff turut menggesa Persatuan Nelayan Daerah Marang memainkan peranan untuk membantu isteri-isteri nelayan di kawasan itu menceburi industri kecil dalam usaha menambah pendapatan mereka.

Beliau menjelaskan, inisiatif itu perlu dilakukan menerusi kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dalam menjayakan projek industri kecil untuk golongan tersebut.

"Persatuan nelayan boleh bantu isteri nelayan mengusahakan perniagaan antaranya kerepek ubi, keropok, selain buka bengkel jahitan dan sebagainya. Usaha ini sekurang-kurangnya membolehkan mereka menambah pendapatan keluarga," katanya.

Majikan perlu beri peluang pekerjaan kepada golongan sindrom Down

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

KOTA BHARU 21 Mac - Para majikan di negara ini diminta membuka peluang lebih luas kepada golongan sindrom Down untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Pengerusi Pusat Sindrom Down Lion Club Kota Bharu, Dr. Ezanee Isahak berkata, walaupun golongan tersebut tidak sempurna seperti insan lain tetapi mereka mempunyai keupayaan masing-masing untuk melakukan kerja-kerja mudah.

Beliau berkata, peluang pekerjaan itu bukan sahaja dapat membantu mereka menjana pendapatan tetapi sekali gus menggalakkan golongan terbabit untuk berdikari dan terasa terabai.

"Golongan sindrom down ini mempunyai keupayaan yang berbeza-beza dan mereka mampu melakukan pelbagai kerja ringan jika diberi peluang oleh mana-mana majikan.

"Golongan ini perlu diberi peluang supaya mereka mampu berdikari dan menjamin masa depan masing-masing tanpa perlu bergantung kepada keluarga sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sindrom Down Sedunia di Pusat Sindrom Down Lion Club Kota Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Sindrom Down, Rosnazli Amin.

Pada majlis tersebut, pelbagai acara sukaneka telah diadakan dengan penglibatan kira-kira 100 orang yang terdiri daripada kanak-kanak serta ibu bapa.

Dalam pada itu, Ezanee berkata, pusat tersebut juga telah mengambil langkah menyediakan bengkel latihan secara percuma kepada golongan tersebut yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk melaksanakan kerja-kerja pembungkusan.

"Melalui bengkel ini, mereka akan dilatih oleh tenaga pengajar untuk melakukan tugas-tugas seperti mengitar semula bahan buangan serta melaksanakan kerja-kerja pembungkusan.

"Walau bagaimanapun, pusat ini hanya mampu membantu sebilangan kecil sahaja berikutan penganjuran bengkel tersebut memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi iaitu kira-kira RM100,000 setahun," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat