Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Terengganu sasar juarai bidang sastera Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT Oleh ROSALINDA MD.SAID Mohd. Zubir Embong (kanan) menyampaikan hadiah Tokoh Sastera kepada Tuan Sharif Tuan Putera (dua dari kiri) sambil diperhatikan Ghazali Taib (dua dari kanan) ketika majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman 2013 di Kuala Terengganu, semalam. - MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD NOR KUALA TERENGGANU 22 Mac - Terengganu menyasarkan untuk menjadi juara baharu dalam memperkenalkan bidang sastera selepas kejayaan negeri ini muncul sebagai pusat pertumbuhan ilmu yang subur. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong berkata, perkara itu selaras dengan kebangkitan luar biasa sasterawan dalam kalangan anak negeri ini menerusi pelbagai bidang karya yang mendapat pengiktirafan di peringkat setempat dan nasional. "Di Terengganu, sejak tahun 1960-an, kita dapati ramai sasterawan muncul dan antara nama besar yang merintis denai sastera di negeri ini termasuk seniman orang kurang upaya (OKU), Datuk JM Aziz; Datuk Abdul Rashid Ngah, Datuk Alias Ali, Datuk Ahmad Kassim Endut dan Aziz Afkar. "Kemudian muncul pula penulis gelombang kedua yang juga besar pencapaiannya diikuti gelombang ketiga sasterawan di Terengganu yang terdiri daripada penulis yang berpendidikan tinggi dan profesional, malah saya difahamkan mereka ini merupakan guru, doktor, jurutera dan juga pensyarah institusi pengajian tinggi. "Melihat kepada perkembangan positif ini, saya amat berharap Terengganu boleh menjuarai bidang sastera pada masa akan datang," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (Hasdi) 2013 di sini malam tadi. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib dan Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Syed Mohammad Nor Tuan Long. Hasdi 2013 yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan sasterawan, penulis dan pengarang anak negeri yang telah menghasilkan karya yang bermutu serta prolifik bagi tahun 2011 dan 2012. Dalam majlis itu, penulis Sharif Putera atau nama sebenarnya Tuan Sharif Tuan Putera memenangi Hadiah Tokoh Sastera (Sasterawan Negeri Terengganu) selain muncul pemenang bagi Hadiah Karya Sastera (Buku) menerusi karya himpunan cerpennya yang bertajuk Memburu Rentak dan Biografi/Autobiografi-Razali Ismail Arkitek Pendidikan Negara. Pemenang lain termasuk Mohd. Abdullah atau Hilmi Rindu yang memenangi Hadiah Cekal Sastera (Sasterawan Harapan Negeri); Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy, Ghazali Ngah Azia dan Mohamad Jusoh, Wan Ahmad Ismail dan Kamariah Kamaruddin (Hadiah Karya Sastera-Buku); Husna Nazri, Ahmad Muziru Adhma Adnan, Tuah Sujana, Aishah Yazid dan Mazelan Manan (Hadiah Karya Sastera-Eceran) serta Nur Akmaliah Alias (Hadiah Karya Sastera-Penulis Muda). Menurut Mohd. Zubir, kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap peranan sasterawan, malah beberapa kali pernah menunjangi program seumpama itu termasuk Hari Sastera 1978 dengan kehadiran ratusan peserta termasuk dari Indonesia, Anugerah Sastera Darul Iman termasuk yang terbaharu Hasdi 2013. "Ini adalah antara bukti kerajaan negeri sangat menghargai mereka, golongan insan yang boleh disifatkan sebagai pengembara yang mencari erti kehidupan berasaskan apa yang dilihat, diamati dalam kembara jasad dan batinnya. "Dalam hal ini, kita perlu menyingkap tabir yang selama ini menutup jasa bakti sasterawan. Kita harus meneliti secara serius sumbangan mereka dalam wacana yang lebih besar bagi mengenang jasa mereka," katanya. |
Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT PASIR PUTEH 22 Mac - Semua pihak diminta berganding bahu bagi membantu mengembang dan mempertahankan seni warisan dan kebudayaan yang menjadi khazanah di negeri ini. Pengerusi Yayasan Fatimah Kelantan, Azmi Mohd. Noor (gambar) berkata, dalam arus pembangunan moden serta pengaruh budaya Barat yang semakin menular di negara ini menyebabkan semakin ramai sudah tidak meminati lagi seni dan kebudayaan turun-temurun itu. Katanya, ditambah pula dengan kekurangan tenaga penggiat seni yang tidak mendapat pembelaan mana-mana pihak menyukarkan lagi seni dan kebudayaan ini dikembangkan. "Sebagai contoh, seni mempertahankan diri seperti kemahiran persilatan juga sukar untuk dipelajari oleh generasi baharu khususnya di kampung-kampung akibat kekurangan tenaga pengajar yang sepatutnya dikumpulkan semula dan diberi bantuan yang sewajarnya. "Kalau dahulu waktu malam digunakan untuk mengajar remaja-remaja ini seni mempertahankan diri seperti bersilat atau tomoi di kampung-kampung, kini keadaan banyak berubah apabila aktiviti sedemikian semakin berkurangan," katanya selepas menyampaikan bantuan peralatan tomoi kepada Persatuan Seni Kebudayaan Kampung Jeram, dekat sini malam tadi. Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Kelantan, Che Kassim Mahmud. Tambah Azmi, tanpa sokongan dan dokongan pihak yang berkeupayaan dari segi teknikal dan material akan menyebabkan penggiat seni terpaksa mengabaikan usaha mereka dalam mengembangkan seni warisan dan kebudayaan ini. "Saya khuatir Kelantan yang dikenali sebagai lubuk budaya akan menghadapi krisis kekeringan khazanah. Kajian semula perlu dilakukan untuk menghidupkan semua kesenian di peringkat kampung. "Biarlah serlahan seni dan kebudayaan yang diperjuangkan menjadi penghubung mantapnya perpaduan rakyat. Kemeriahan malam pula diperhebatkan dengan usaha memperkasakan remaja daripada dipengaruhi penagihan dadah dan kegiatan merempit," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |