Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Buka semula maahad tahfiz
- Azizon bersara selepas 33 tahun tabur bakti
- AIM, Takaful Ikhlas sumbang RM20,000 bantu bina surau sekolah agama
Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT Oleh TOREK SULONG Sebahagian bangunan Maahad Tahfiz al-Quran Nurul Hidayah yang terbiar selepas operasi persekolahannya dihentikan sejak tujuh tahun lalu di Kampung Tualang Tinggi, Pasir Puteh. - UTUSAN/Torek Sulong PASIR PUTEH 26 Mac - Penduduk Kampung Tualang Tinggi, dekat sini mendesak Kerajaan Pas Kelantan membangunkan semula Maahad Tahfiz al-Quran Nurul Hidayah di kampung itu yang ditutup sejak tujuh tahun lalu selepas bangunan asramanya musnah dalam kebakaran. Seorang penduduk, Aziz Yakob, 54, berkata, selepas kejadian kebakaran pada Oktober 2007 yang melibatkan kerugian mencecah RM500,000, kesemua 96 pelajar berkenaan dipindahkan ke sekolah agama kendalian Yayasan Islam Kelantan (YIK) berhampiran. Sejak itu katanya, tapak asal maahad itu termasuk bangunan pentadbiran, bilik guru, stor dan bilik mesyuarat yang tidak terbakar ditinggalkan begitu sahaja. Sebahagian besar tapak maahad diwakafkan oleh penduduk, termasuk saya pada Januari 2006 kerana kami mahu melihat wujudnya pembangunan syiar Islam di kampung ini. Maahad ini dibina hasil sumbangan dan derma orang ramai. Ia tidak seharusnya terbiar begitu sahaja tanpa dibaik pulih dan dimanfaatkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tualang Tinggi baru-baru ini. Aziz menambah, kebanyakan bahagian bangunan yang terselamat daripada kebakaran kini mereput dimakan anai-anai manakala bilik darjah, tandas dan ruang tersorok pula dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian. Lebih menyedihkan apabila melihat naskhah al-Quran bertaburan di merata-rata tempat termasuk di tangga dan pelbagai perkakas besi diumpil penagih dadah untuk dijual," katanya. Menurut Aziz, sama ada ditutup atau tidak, kerajaan negeri dan agensinya, YIK tidak sepatutnya mengabaikan premis yang dibina hasil sumbangan orang ramai tersebut. Dengan reputasi kerajaan negeri yang sentiasa menegakkan syiar Islam di Kelantan, ketiadaan pelajar atau tenaga pengajar bukan alasan munasabah untuk mereka biarkan maahad ini. Kita harap pihak YIK bertindak segera mengutip al-Quran yang bersepah. Selain itu, kawasan ini perlu dibersihkan kerana turut didiami pelbagai jenis haiwan berbisa seperti ular," katanya. Seorang lagi penduduk, Ismail Abdullah, 44, berkata, ada pihak mencadangkan supaya bangunan yang masih ada dijadikan sebagai pusat pengajian al-Quran untuk golongan dewasa. Struktur bangunan di situ juga boleh dijadikan lokasi aktiviti Rukun Tetangga (KRT) dan pusat komuniti. Usaha ini jauh lebih baik daripada membiarkan sahaja tapak lama maahad menjadi sarang penagih dadah," katanya. |
Azizon bersara selepas 33 tahun tabur bakti Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT Azizon Abdullah diarak menggunakan kereta kuda pada hari persaraannya di pekarangan SK Datuk Hashim (1) Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/Hapizah Aziz KOTA BHARU 26 Mac - Setelah berkhidmat selama 17 tahun sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim (1), Pengkalan Chepa di sini, Azizon Abdullah, 58, menerima penghargaan istimewa apabila diarak menaiki kereta kuda pada hari terakhir beliau bertugas. Terdahulu, wanita yang telah berkecimpung dalam bidang perguruan selama 33 tahun itu dirai kira-kira 1,000 warga sekolah dengan paluan kompang serta bunga manggar selain dihiburkan dengan persembahan oleh guru dan murid. Azizon yang ditemui pada majlis persaraan wajib itu memberitahu, dia akan merindui rutin yang dijalani sepanjang menjadi guru besar. Bersuamikan seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Zohari Muda, Azizon mengakui, bidang pendidikan sudah sebati dengan jiwanya. Sebelum ini, setiap hari saya akan pergi ke sekolah seawal pukul tujuh pagi dan hanya pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang dan itulah masa untuk merehatkan diri. Selepas bersara ini, saya pasti akan mempunyai lebih banyak masa untuk bersama keluarga. Namun pada masa sama, saya pasti akan merindui rutin harian termasuk ragam murid-murid," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Terdahulu dalam ucapan perpisahan, Azizon melahirkan rasa syukur kerana dapat memberi sumbangan di sekolah tersebut. Katanya, semua pencapaian untuk mengharumkan nama sekolah tidak mungkin tercapai andainya dia tidak dibantu oleh kumpulan guru yang komited dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Sepanjang menjadi guru besar di sekolah tersebut, Azizon berjaya membawa pelbagai kejayaan seperti terpilih menjadi Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 7, Kementerian Pendidikan; Johan Pasukan Badan Beruniform Cemerlang Sekolah Rendah dan Johan Sains, Matematik dan Teknologi Sekolah Rendah Peringkat Kelantan pada tahun lalu. Sekolah (SK) Dato Hashim (1) juga pernah terpilih sebagai Sekolah Lima Bintang dalam Penarafan Smart School Qualification Standard (SSQS) Peringkat Kebangsaan pada 2008. |
AIM, Takaful Ikhlas sumbang RM20,000 bantu bina surau sekolah agama Posted: 26 Mar 2014 12:17 PM PDT ROZHAN Yusof (kanan) bersama Zawahir Abdullah (tengah) menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Mohd. Shamsuddin Dollah di Gua Musang, kelmarin. GUA MUSANG 26 Mac - Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM20,000 untuk membantu menyiapkan surau sekolah agama, Madrasah Tarbiah Al-Aulad, Kampung Sungai Kenerong dekat sini semalam. Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Operasi Keluarga Takaful Ikhlas, Rozhan Yusof kepada mudir madrasah, Mohd. Samsuddin Dollah yang turut disaksikan Presiden IAM, Zawahir Abdullah dalam majlis ringkas. Sementara itu, Zawahir berkata, pihaknya bersama kira-kira 100 pelajar menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan membersihkan kawasan sekitar dan mengecat surau sekolah tersebut. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, IAM memainkan peranan sebagai pengantara antara individu mahupun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan. Konsep membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan dilaksanakan IAM adalah lebih bersistematik dan telus dengan golongan memerlukan khususnya di kawasan luar bandar menjadi agenda utama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, semalam. Rozhan pula berkata, pihaknya telah mengatur beberapa aktiviti tanggungjawab sosial korporat di bawah bumbung Takaful Ikhlas untuk komuniti. Selain itu, aktiviti di Kelantan ini diadakan bersempena dengan ketibaan Minggu Saham Amanah Malaysia 2014 pada bulan depan. Kami berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak meningkatkan taraf hidup penerima manfaat tanggungjawab sosial korporat kami di negeri Kelantan. Sebagai sebuah organisasi korporat, kami sedia membantu di mana yang bersesuaian kerana kami sedar setiap keuntungan dan kejayaan yang dicapai terdapat bahagian orang lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |