Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Polis rampas 801 pil kuda RM7,200
- 3 lelaki bersenjatakan parang samun dua beranak
- Isteri wakil rakyat perlu sedia jadi galang-ganti suami - Ahmad
Polis rampas 801 pil kuda RM7,200 Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT Oleh JAZALY AMRY JAAFAR Anggota polis menunjukkan pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki di salah sebuah kolej di Gua Musang, kelmarin. GUA MUSANG 28 Mac - Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebanyak 801 biji pil kuda yang dianggarkan berharga RM7,200 dalam satu serbuan ke atas sebuah pondok pengawal keselamatan di sebuah kolej, di sini semalam. Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, semasa serbuan dibuat kira-kira pukul 10.45 malam, suspek berumur 22 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap. "Hasil pemeriksaan ke atas suspek, kami menjumpai satu beg kecil berwarna perak di dalam seluar dalamnya yang mengandungi empat paket plastik dipercayai pil kuda. "Daripada siasatan awal, kita percaya suspek merupakan pengedar di kawasan sekitar Gua Musang dan mendapatkan sendiri bekalan pil kuda jenis WY itu dari Rantau Panjang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Saiful Bahri berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah. "Suspek mempunyai rekod lampau dan pernah ditangkap kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. |
3 lelaki bersenjatakan parang samun dua beranak Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT KOTA BHARU 28 Mac - Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya berdepan detik cemas apabila disamun tiga lelaki bersenjata parang di rumah mereka di Taman Guru, Jalan Kubor, di sini semalam. Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.40 malam itu, Lee Hwa Chen, 65, yang diacu parang di leher mengalami luka kecil di jari manis akibat terpegang senjata tajam itu manakala anaknya yang merupakan seorang guru, Wong Chia Wun, 34, diikat di dapur. Mangsa kerugian RM8,000 apabila wang tunai dan rantai emasnya dilarikan kumpulan penjenayah itu. Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abd. Aziz Mahmud berkata, kejadian berlaku ketika Chia Wun dan ibunya baru pulang ke rumah dengan menaiki kereta. "Ketika Chia Wun turun daripada kereta untuk membuka pagar rumah, tiga lelaki bersenjatakan parang terus meluru ke arahnya. "Suspek mengarahkan mangsa membuka pintu rumah sebelum mengikat Chia Wun di dapur dan mengarahkan ibunya naik ke tingkat atas untuk mencari barangan berharga. "Selepas mendapat wang tunai RM4,000 dan seutas rantai emas bernilai RM4,000, suspek melarikan diri dengan sebuah kereta berwarna perak yang nombor pendaftaran yang tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurut Abd. Aziz, maklumat awal yang diperolehi kesemua suspek berketurunan Cina dalam anggaran umur 30-an dan mereka meninggalkan topeng muka yang dipakai di rumah mangsa. "Topeng muka itu telah diambil untuk dianalisis bersama empat kesan cap jari yang ditemui di tempat kejadian. "Hebahan maklumat juga telah dibuat bagi mengesan kereta yang digunakan suspek dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 395 atau Seksyen 397 Kanun Keseksaan," ujarnya. |
Isteri wakil rakyat perlu sedia jadi galang-ganti suami - Ahmad Posted: 28 Mar 2014 12:28 PM PDT HULU TERENGGANU 28 Mac - Isteri-isteri kepada wakil rakyat disaran supaya terus memberi sokongan kepada suami masing-masing dalam menabur bakti kepada rakyat. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, mereka juga perlu bersedia memainkan peranan sebagai galang-ganti dalam membantu suami dalam apa juga keadaan. "Sebenarnya, dalam hal ini, kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan yang dicurahkan oleh isteri-isteri kepada wakil rakyat ini. "Selain membantu meringankan beban suami, mereka juga perlulah sama-sama berusaha untuk meningkatkan imej BN (Barisan Nasional) di mata rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) Ke-27 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang, di sini hari ini. Yang hadir sama, isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Serikandi, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta beberapa kenamaan lain. Turut diadakan pada majlis itu adalah penyerahan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir penghujung tahun lalu khususnya kepada penduduk di sekitar daerah ini. Dalam pada itu, Norliza berkata, Serikandi banyak membantu membawa perubahan positif dalam masyarakat sejak ditubuhkan. "Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana badan amal lain jika perlu dalam membantu masyarakat khusus di Terengganu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |