Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- 135 penduduk dapat hak milik
- Muzium Diraja Perak perlu dibaik pulih segera
- Mahasiswa perlu tingkatkan kreativiti, inovasi
Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST Oleh AIN SAFRE BIDIN TAJUDDIN Abdul Rahman (dua dari kanan) menyampaikan hak milik tanah RPB dan RPT di Kompleks Pentadbiran Daerah Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak, semalam. PASIR SALAK 28 Feb. - Seramai 135 penduduk di Kampung Gajah di sini menerima hak milik tanah menerusi Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) hari ini. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pemberian hak milik tersebut melibatkan penduduk di mukim Kampung gajah, mukim Bandar dan juga mukim Pasir Panjang. Beliau berkata, penduduk-penduduk terlibat akan menerima tanah pertanian dan tanah RPB serta hak milik tanah tapak rumah menerusi program-program tersebut. "Keluasan tanah yang terlibat dalam projek ini adalah 80 hektar dan kami menganggarkan nilainya kira-kira RM5 juta. Selain itu tanah tapak perumahan untuk 50 peserta program adalah seluas 10 hektar. "Secara keseluruhannya, kami anggarkan peruntukan yang disalur kepada penduduk menerusi kedua-dua program ini sekitar RM6 juta," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan hak milik tanah kepada penduduk di Dewan Millennium Kompleks Pentadbiran Daerah Kampung Gajah. Mengulas lanjut, Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak menasihatkan penduduk-penduduk kampung yang menerima tanah tersebut supaya turut serta dalam program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "Kami mahu melihat penduduk di kawasan luar bandar ini sama-sama menanam pelbagai jenis sayuran yang boleh menambah bekalan sumber mentah itu kepada negara. Selain itu, kami juga menggalakkan mereka menternak pelbagai jenis haiwan seperti kambing, ayam, lembu dan sebagainya. "Pihak kementerian ada membantu golongan petani menerusi pelbagai skim serta program termasuklah dari aspek bantuan benih, teknikal, latihan, pemasaran serta modal. Kita juga ada agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang boleh membantu memasarkan produk tanaman mereka," jelasnya. Seorang penerima, Ahmad Taib Satin, 79, berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya mendapat hak milik ke atas tanah tempat dia bercucuk tanam dan tinggal. "Selama 20 tahun saya menanti untuk mendapatkan hak milik ini dan saya bersyukur kerana diberikan juga akhirnya. Kini kami boleh hidup dalam keadaan selesa," ujarnya. |
Muzium Diraja Perak perlu dibaik pulih segera Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST ISTANA Kenangan di Bukit Chandan di Kuala Kangsar, Perak yang kini dijadikan Muzium Diraja Perak masih ditutup buat pengunjung. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT KUALA KANGSAR 28 Feb. - Muzium Diraja Perak yang dahulunya merupakan Istana Kenangan, Bukit Chandan di sini, perlu dibuka segera untuk kunjungan orang ramai setelah ditutup sekian lama bagi tujuan baik pulih. Bangunan yang didirikan seawal tahun 1930-an itu pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Iskandar Shah sewaktu pembinaan Istana Iskandariah sedia ada ketika ini bagi menggantikan istana lama di tapak yang dikenali sebagai Changkat Negara. Muzium berdindingkan anyaman buluh dan beratapkan kayu papan jenis berlian itu dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 1986; malah pernah didiami oleh warisan kesultanan Perak sebelum ini. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesemua tingkap dan pintu bangunan tersebut tertutup, malah tiada sebarang kerja-kerja baik pulih dilakukan. Kesemua bahan yang dipamer tidak kelihatan melainkan sebuah meriam dan papan tanda yang hanya tinggal rangkanya sahaja selain terdapat beberapa kerosakan seperti dinding anyaman buluhnya telah tertanggal. Keseluruhan kawasan bangunan itu yang berpagar turut berkunci, malah di pintunya tertulis "Perhatian. Muzium ini ditutup buat sementara waktu kerana kerana kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Harap maaf. Pengarah Muzium Negeri Perak". Jawatankuasa Pelancongan, Kesihatan dan Kebudayaan negeri, Mohamad Kamil Shafie memberitahu, beliau telah mengemukakan perkara tersebut dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Kuala Kangsar baru-baru ini. Menurutnya, Pegawai Daerah yang mempengerusikan mesyuarat tersebut telah menghubungi pihak kurator muzium dan dimaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih tersebut tidak dapat dijalankan memandangkan belum lagi mendapat peruntukan. Sehubungan itu, Mohamad Kamil yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manong berkata, beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang supaya perkara berkenaan mendapat perhatian kerajaan negeri. "Bangunan yang mempunyai seni bina unik ini perlu dipertahankan. Namun, saya rasa mungkin peruntukannya terlalu tinggi kerana memerlukan khidmat kepakaran seni warisan lama," katanya. |
Mahasiswa perlu tingkatkan kreativiti, inovasi Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST SAMSUDDIN Abu Hassan (tengah) menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Md. Yusof Hamid untuk Tabung Inovasi UiTM Perak dalam Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Inovasi 2013 UiTM di Sri Iskandar, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin PARIT 28 Feb. - Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Seri Iskandar dekat sini, digesa meningkatkan tahap kreativiti dan inovasi, sekali gus mampu menyahut saranan kerajaan untuk lebih berdaya saing pada masa hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kebanyakan jawatan kosong yang ditawarkan pihak industri tidak dapat diisi sepenuhnya oleh para graduan pada masa kini disebabkan oleh kekurangan kemahiran tersebut. "Sehubungan itu, saya berharap bukan sahaja warga UiTM Perak, malah kita semua insaf bahawa kreativiti dan inovasi memainkan peranan penting menuju kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Bulan Inovasi UiTM Perak 2013 di Seri Iskandar dekat sini baru-baru ini. Yang turut hadir Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik mewakili Rektor UiTM Perak, Prof. Madya Dr. Md. Yusof Hamid dan Pengarah Kanan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Ab. Rahim Yusoff. Dalam majlis tersebut, Samsudin turut menyumbangkan RM10,000 untuk Tabung Inovasi UiTM Perak. Pelbagai aktiviti dianjurkan sebelum ini termasuklah pertandingan reka cipta, nasyid, jawi, fotografi serta poster inovasi. UiTM Perak juga berjaya tampil dengan sistem pengurusan bahan buangan kitar semula dalam talian yang dinamakan UPRS, bersifat interaktif, sekali gus mampu menarik minat warga universiti dalam menjayakan program kampus lestari. Sementara itu, Fakulti Seni Bina dan Seni Lukis pula dinobatkan sebagai juara keseluruhan diikuti Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (kedua) dan Bahagian Pentadbiran (ketiga). Selain itu, Jabatan Seni Bina Landskap UiTM Perak turut diberikan Anugerah Khas Rektor atas kejayaan mereka menganjurkan sembilan program sepanjang tahun lalu termasuklah Rimba dan Alam Sekitar Tanggungjawab Anda (RASTA 2013) yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mamit. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |