Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Sampai bila merisikokan si kecil Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT Pandangan IKIM BARU-BARU ini negara dikejutkan lagi dengan kematian bayi berusia 7 bulan di pusat asuhan di ibu negara. Bahkan lebih malang doktor mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia dua jam sebelum diambil bapanya dan hasil bedah siasat menunjukkan kematian itu akibat tersedak susu. Kejadian menyayat hati ini berlaku ketika bayi ini masih di bawah penjagaan pusat asuhan yang sepatutnya disedari oleh pengasuh yang bertanggungjawab menjaga bayi tersebut. Kejadian ini bukanlah yang pertama terjadi bahkan kita sering dipaparkan dengan kematian tragis bayi, penderaan bayi dan kanak-kanak sama ada di pusat asuhan ataupun di rumah pengasuh mereka. Walaupun tiada data khas berhubung dengan kematian bayi dan kanak-kanak yang diletakkan di bawah penjagaan pengasuh ketika ibu bapa bekerja, namun hakikatnya kematian walau seorangpun anak-anak kecil ini amatlah mendukacitakan kita. Apatah lagi jika kejadian itu dapat dielakkan sekiranya ada pemantauan yang baik oleh penjaga yang diberi amanah menjaga anak-anak tersebut. Hakikat peristiwa ini membawa kepada persoalan sama ada bayi dan anak-anak kecil tidak dipantau, kurang latihan penjagaan kanak-kanak dalam kalangan pengasuh atau bayi tersebut sememangnya mempunyai masalah kesihatan. Bagi ketiga-tiga sebab ini langkah pencegahan sebenarnya boleh mengurangkan risiko yang mengancam nyawa anak-anak kecil. Pemantauan bayi dan mempunyai pengasuh yang terlatih sememangnya isu lama yang banyak kali diperdebatkan. Bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menetapkan syarat kelulusan penubuhan pusat asuhan antara lain mendapatkan pengasuh yang mempunyai sijil asuhan awal kanak-kanak. Terdapat juga pusat asuhan yang mengambil pendekatan enggan menerima kanak-kanak sakit (seperti demam) bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Walau bagaimanapun terdapat kekangan kepada syarat dan peraturan begini sungguhpun ia dilakukan sebagai langkah keselamatan. Sebagai contoh, kekurangan pengasuh terlatih menyebabkan ada pemilik pusat asuhan mengambil pekerja secara sebarangan disebabkan oleh jumlah kanak-kanak semakin lama semakin ramai. Keengganan pusat asuhan menerima kanak-kanak yang sakit seperti demam dan selesema yang ringan menimbulkan masalah kepada ibu bapa lantaran gejala kesihatan seperti ini sering dialami bayi dan kanak-kanak dan ibu bapa tidak dapat bercuti setiap kali anak mengalaminya disebabkan oleh cuti tahunan yang terhad. Kedua-dua situasi ini sebenarnya memberi perspektif bahawa permintaan kepada pusat asuhan berdaftar dan pengasuh terlatih adalah sangat kronik di dalam negara. Permintaan ini sebenarnya berkembang seiring dengan perkembangan kerjaya wanita di Malaysia. Suasana tradisional yang ideal sesebuah keluarga ialah apabila si ayah keluar bekerja manakala si ibu mengasuh anak-anak di rumah. Namun, perkembangan yang berlaku dalam persekitaran dunia hari ini menyebabkan wanita bekerja demi menambah pendapatan keluarga, membayar pinjaman pendidikan, memenuhi cita-cita dan kerana kepakaran dan kemahiran wanita tersebut diperlukan oleh masyarakat. Kita telah lama mendengar cadangan agar majikan menyediakan pusat asuhan di tempat kerja bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka pada waktu kerja. Malah kerajaan juga menyediakan insentif dan memberikan pengecualian cukai kepada majikan sekiranya menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja. Malangnya saranan ini hanya diambil sambil lewa disebabkan tiada penguatkuasaan, kurang pertimbangan kemanusiaan dan lebih mementingkan keuntungan. Hakikatnya pertimbangan kemanusiaan adalah punca utama mengapa majikan enggan menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja. Ini termasuklah kerana zaman mempunyai anak-anak kecil mereka telah berlalu atau mempunyai isteri, saudara terdekat atau pembantu rumah yang boleh menjaga anak- anak mereka dengan baik. Selain itu, melihat kepada ketenangan emosi pekerja sebagai liabiliti dan kerugian kepada organisasi berbanding melihatnya sebagai insentif kepada pekerja untuk meningkatkan produktiviti menjadikan saranan penubuhan pusat asuhan di tempat kerja ini dipandang sepi. Sedarkah kita bahawa penubuhan pusat asuhan di tempat kerja sebenarnya membenarkan ibu bapa untuk sama-sama memantau kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka. Sebagai contoh, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, ibu bapa boleh dihubungi segera dan bertindak pantas memberi bantuan kecemasan ataupun menghantar anak ke hospital. Selain itu juga, keadaan ini boleh memupuk sifat bertanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak apabila mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tugas menjaga anak-anak kepada pengasuh apabila bekerja. Tambahan pula, penubuhan pusat asuhan di tempat kerja boleh memupuk amalan penyusuan susu ibu di kalangan wanita bekerja. Amalan ini membolehkan bayi mendapat khasiat susu yang terbaik bahkan memberi pelindungan dan manfaat emosi kepada ibu dan bayi walaupun ibu bekerja. Penyusuan eksklusif selama enam bulan pertama dan diteruskan hingga dua tahun memberi kesan perkembangan fizikal dan mental yang baik kepada bayi. Justeru, antara cadangan-cadangan yang boleh menambah baik permasalahan ini adalah dengan menguatkuasakan penubuhan pusat asuhan di organisasi yang berkemampuan setelah saranan sebelumnya tidak disahut. Selain itu, kerajaan diharap dapat mengeluarkan panduan ringkas penjagaan bayi dan anak-anak kecil beserta garis panduan apabila berlaku kemalangan dan langkah-langkah bantuan kecemasan agar dapat dimanfaatkan oleh pengasuh yang terdiri daripada suri rumah bagi meminimumkan kehilangan nyawa di kalangan bayi dan anak-anak kecil. Selain itu juga, kerajaan disaran untuk mempertimbangkan cuti tanpa rekod kepada pekerja yang menjaga anak sakit yang disahkan oleh pegawai perubatan bagi menyelesaikan masalah cuti tahunan mereka yang terhad. Sesungguhnya, hubungan pekerja dan majikan adalah ibarat kuku dan isi yang tidak dapat dipisahkan. Bahkan majikan dan tempat kerja adalah rumah kedua bagi individu yang berkerjaya. Walaupun kita mendambakan produktiviti dan keuntungan yang maksimum diberi oleh setiap individu dalam organisasi, namun hakikat pekerja sebagai manusia dan mempunyai keluarga hendaklah sentiasa diambil kira. Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhamad SAW bersabda dengan maksudnya, Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin kedukaan dunia dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan dari segala kedukaan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan atas orang yang susah nescaya Allah akan memudahkan atasnya dalam dunia dan di akhirat" Nursyahidah Abdul Jalil ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam (IKIM). |
Tiada kejutan dalam pemilihan ulangan CEC Parti Tindakan Demokratik Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT Oleh Hassan Mohd. Noor SEMALAM, Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi. Semalam juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Begitulah bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit. Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti. Jika sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan UMNO. Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika diselak sejak hari penamaan calon baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen. Pihak yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen, bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media. Keadaan ini berbeza bagi mereka yang mempunyai jawatan sama ada dalam kerajaan pusat atau kerajaan negeri atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai aktiviti untuk tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mungkin jika ini tidak ditangani akan timbul pelbagai isu yang boleh menjejaskan proses pemilihan. Bukan mudah untuk memantau corak kempen ini. Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah politik wang dan kempen memburukkan orang lain. Seperti dibangkitkan dalam Selak sebelum ini, apa yang penting elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Berdasarkan simulasi semalam, dijangkakan tidak timbul masalah dalam kaedah pemilihan kali ini. Berbalik kepada pemilihan DAP, jumlah calon yang bertanding semalam berkurangan berbanding pemilihan yang diadakan pada Disember lalu. Jumlah kali ini berkurangan sebanyak 19 orang, iaitu 17 menarik diri dan dua lagi keluar parti. Menyelak kembali di sebalik pemilihan semula ini, kongres khas terpaksa diadakan semula atas permintaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana banyak persoalan timbul pada pemilihan lalu. DAP terpaksa akur dengan kecuaian manusia yang melibatkan keputusan terhadap tujuh orang calon. Dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini, beberapa fakta menarik perhatian banyak pihak. Pertamanya, lapan orang Melayu yang bertanding tersingkir menyebabkan parti yang mendakwa mewakili pelbagai kaum itu dikritik hebat. Keduanya berlaku pembetulan keputusan selepas 19 hari pemilihan apabila parti itu tampil memperbetulkan kesilapan undi yang diterima oleh tujuh calon. Hasil pembetulan itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menduduki tangga ke-39 melonjak ke tangga 20 (terakhir dalam senarai) sekaligus meletakkannya sebagai seorang anggota CEC yang dipilih. Undi asalnya 305 meningkat kepada 803 manakala Wu Him Ven yang menduduki tempat ke-6 menjunam ke kedudukan 26 menyebabkannya terkeluar daripada senarai anggota CEC yang dipilih. Undi baru yang diperolehnya adalah 669 undi berbanding 1,202 undi. Beliau kemudiannya menganggotai CEC sebagai anggota yang dilantik. Lima lagi turut mengalami perubahan jumlah undi iaitu Wong Sai Hoong 23 (asal 448), Wong Sze Phin 643 (761), Zulkifli Mohd Noor 249 (216), Roseli Abdul Gani 69 (39) dan Tan Boon Peng 40 (407). Semalam, semua 20 anggota yang dipilih adalah anggota CEC yang terpilih selepas pembetulan dilakukan pada pemilihan lalu. Jelaslah, perwakilan tetap memilih orang yang sama, cuma corak undi yang diterima berubah. Pada masa yang sama, perwakilan tetap menolak calon-calon Melayu yang turut menawarkan diri bertanding termasuklah Senator Ariffin SM Omar yang dilantik sebagai Naib Pengerusi selepas pemilihan lalu. Benarkah kenyataan seorang calon CEC Melayu, Zulkifli Mohd Noor bahawa nilai orang Melayu dalam DAP ibarat mata wang bernilai lima kupang atau 50 sen? KARPAL TETAP GAGAH Walaupun pemilihan semula diadakan, Karpal Singh, 73 tetap gagah sebagai Pengerusi DAP. Semalam, beliau menegaskan tidak akan berundur dari politik selagi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan Pusat. Karpal pernah jatuh dalam pilihan raya umum (PRU) apabila beliau kalah di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada 1999. Bagaimanapun beliau berikrar untuk bangkit semula dan kata-kata itu terbukti apabila beliau menang semula pada PRU 2004 diikuti 2008 dan 2012. Begitulah keazaman veteran DAP itu yang tidak menolak kemungkinan akan terus kekal sebagai calon PRU akan datang. Beliau sememangnya berhasrat untuk menyerahkan kepemimpinan kepada generasi muda. Katanya: Kita semakin tua dan orang (pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti. Saya akan bersara dalam masa munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda,. Maknanya, peranan orang lama masih tetap diperlukan. Kenapa Karpal Singh yang sudah begitu lama berkecimpung dalam politik masih tetap gagah dan diterima ramai? Semalam, Karpal Singh mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, sama seperti pada pemilihan Disember lalu. Jumlah undinya meningkat daripada 1,411 kepada 1,421 undi. Penasihat parti, Lim Kit Siang pula jatuh ke nombor dua dengan undi merosot iaitu daripada 1,607 kepada 1,436 undi, kehilangan 171 undi. Anaknya, Lim Guan Eng pula menduduki tempat ke lima dengan 1,304 undi, merosot 272 undi berbanding kedudukan No.2 pada 2012 dengan 1,576 undi. Apakah ada sesuatu di sebalik keputusan semalam? Yang pasti tiada kejutan! |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |