{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Projek pembangunan dibeku

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin bersama (dari kiri) Obet Tawil, Frank Goon, Dr. Shahir Nasir, Abd. latif Bandi dan Md. Othman Yusof memegang glob kaca sebagai gimik pelancaran dalam Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Taman Molek dan Penempatan Semula Penduduk Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Kerajaan negeri akan membekukan segala kegiatan pembangunan yang dijalankan pihak pemaju sekiranya masih gagal menyediakan rumah mampu milik dan kos sederhana bagi projek perumahan yang diluluskan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu diambil selepas lebih 180,000 unit kediaman berkenaan di negeri ini gagal dibangunkan meskipun sudah menerima kelulusan sejak 1999.

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan antara pendekatan terbaik mengurangkan jurang pelaksanaan dan keputusan projek perumahan besar dalam negeri ini selain membantu merealisasikan impian rakyat memiliki kediaman mampu milik.

"Kita juga tidak berniat meminda dasar yang diguna pakai selama ini, berdasarkan kepada pekeliling sedia ada setiap projek perumahan yang dibangunkan perlu melibatkan pembinaan rumah mampu milik mengikut keluasan tapak.

"Bagi projek perumahan berkeluasan kurang dua hektar, pemaju perlu menggunakan 20 peratus daripada kawasan keseluruhan untuk pembinaan rumah mampu milik dan kadar 40 peratus digunakan bagi projek berkeluasan melebihi dua hektar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik di Taman Molek dan Penempatan Semula Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Latif Bandi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Pengerusi Tanjung Bintang Sdn. Bhd., Datuk Shahrir Nasir dan Pengarah Urusan Kumpulan Tanjung Bintang, Frank Goon.

Sebanyak 113,000 unit rumah mampu milik di Johor Bahru, 40,000 unit di Kulaijaya, 11,000 unit di Batu Pahat dan beberapa unit di daerah lain di negeri ini dikategorikan sebagai gagal disiapkan.

Mohamed Khaled berkata, berdasarkan klausa yang termaktub di dalam Kanun Tanah Negara, kerajaan negeri juga akan meneliti tindakan-tindakan lain termasuk mendenda atau mengambil semula tanah daripada pemaju yang sudah menerima kelulusan menjalankan projek perumahan.

Beliau berkata, bagi menguatkuasakan tindakan itu, kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas perumahan di peringkat negeri dan daerah bagi memantau segala aspek berkaitan perumahan.

"Jawatankuasa ini juga akan mengesan semua kawasan setinggan dan membincangkan kaedah penyelesaian terbaik bagi setiap kawasan selain hasil perbincangan itu akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk diselesaikan. Kita percaya setiap kawasan memerlukan jalan penyelesaian yang berbeza.

"Saya yakin dengan tindakan tegas dan pemantauan oleh jawatankuasa khas ini dapat menyelesaikan banyak masalah projek perumahan dalam usaha mencapai status setinggan sifar dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Penduduk ditempatkan semula

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

JOHOR BAHRU 29 Sept. - Kerajaan negeri akan melaksana projek penempatan semula bagi 260 keluarga yang tinggal di Kampung Melayu Pandan di sini, sebagai usaha mengatasi masalah setinggan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek penempatan semula itu akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 7.6 hektar melibatkan penduduk Kampung Melayu Pandan yang diberi Sijil Kelayakan Memiliki sejak Mac tahun ini.

Beliau berkata, projek berkenaan akan menggunakan konsep 'in-situ' dengan penduduk yang terlibat akan ditawarkan rumah teres dua tingkat dengan keluasan 1,170 kaki persegi.

"Kawasan penempatan semula ini juga akan dilengkapi kemudahan seperti tapak surau, tapak gerai dan kawasan lapang untuk kemudahan penduduk.

"Projek penempatan semula ini akan melibatkan kos pembangunan sebanyak RM68 juta dan kerajaan juga bersetuju menjual setiap unit tersebut pada harga RM25,000. Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2016," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik di Taman Molek dan Penempatan Semula Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.

Kampung Melayu Pandan yang berkeluasan 20.7 hektar terletak di atas tanah milik Province Treasure Sdn. Bhd. iaitu syarikat usaha sama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Kuok Group serta Pandan Baru Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat usaha sama antara Perbadanan Islam Johor dan Kuok Group.

Mohamed Khaled berkata, projek penempatan semula itu merupakan sebahagian langkah kerajaan negeri menyelesaikan isu penduduk setinggan di Kampung Melayu Pandan.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan itu juga merupakan berpatutan dan merupakan aku janji kerajaan negeri bagi memastikan setiap penduduk di kawasan berkenaan dapat menikmati kehidupan dalam keadaan selesa.

SWM digesa segera bekal tong sampah beroda

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

PAGOH 29 Sept. - Pertubuhan Kami Organisasi Gabungan Anak Pagoh (KOGAP) menggesa pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) segera menyedia tong sampah beroda di Taman Dato Haji Abd. Rahman Mahmud di sini, seperti yang sudah dijanjikan sebelum ini.

Penasihat KOGAP, Abdul Aziz Dahari berkata, kira-kira 500 penduduk di taman tersebut masih ternanti-nanti janji SWM kerana kawasan taman itu termasuk di bawah kawasan pentadbiran dan percukaian pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sepatutnya taman ini yang merupakan taman pertama wujud di Pagoh diberi keutamaan. Agak pelik kawasan di sekitar antaranya pekan Pagoh, Taman Sri Pagoh, Taman Pagoh Indah dan Taman Pagoh Jaya sudah pun dibekalkan tong sampah beroda.

"Penduduk taman ini sudah melakukan semua yang dikehendaki termasuk menghantar borang permohonan tepat pada masanya tetapi sehingga kini pihak SWM senyap sahaja," katanya ketika ditemui dalam program gotong-royong di taman itu, di sini semalam.

Program itu dianjurkan KOGAP bersama persatuan penduduk taman tersebut dengan diselaraskan Pejabat Belia dan Sukan Muar.

Antara aktiviti dilakukan adalah membersihkan kawasan taman, surau, stor, tepi jalan dan mencantas dahan pokok.

Selain itu, program yang disertai kira-kira 30 ahli KOGAP dan 20 penduduk itu turut memindahkan semua peralatan dan barang-barang seperti pinggan mangkuk, periuk, kerusi dan meja dari stor lama ke ke stor baharu tidak jauh dari situ.

Abdul Aziz berkata, SWM memberi alasan meragukan selepas menyatakan punca tong sampah tidak diberi kerana keliru dengan nama taman itu yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Rakyat Pagoh 1 dan 2.

Menurutnya, kawasan tersebut sebelum ini dipanggil sebagai Rumah Rakyat Pagoh 1 dengan 48 buah rumah dan Rumah Rakyat Pagoh 2 dengan 55 buah rumah namun alasan itu sukar diterima.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat