Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Jangan 'kotorkan' wanita - Sharifah Amani Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI JIWANYA resah, hatinya gelisah melihat persekitaran industri yang semakin tidak menentu. Ketidaktentuan industri hiburan tempatan secara amnya dilihat sebagai satu perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Tidak hanya melihatkan jumlah kutipan tiket wayang yang tidak memberangsangkan tetapi yang lebih dikesalkan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid adalah isu watak wanita tidak mengangkat martabat wanita. "Apa yang kita ada? Banyak drama atau pun filem hanya meletakkan wanita watak sebagai isteri teraniaya, hidup bermadu, kena rogol atau watak-watak pelacur yang hidup terumbang ambing. "Kebanyakan karya meletakkan wanita yang pada tahap paling rendah. Sampai bila wanita harus diletak sebagai 'penyedap' dalam sesebuah karya? "Padahal peranan wanita lebih daripada itu. Saya pasti kebanyakan wanita di luar sana pun tak ingin melihat kaum mereka digambarkan sebagai manusia yang lemah," katanya. Cukup mesra disapa dengan panggilan Nani, dia sedar isu ini sedikit sensitif memandangkan melibatkan beberapa pihak lain yang punya alasan tersendiri mengapa wanita harus digambarkan sedemikian. "Alasan mereka penonton mahu menonton dan karya begitu mendapat rating tinggi," tambahnya kesal. Menganggap wanita tidak semestinya digambarkan sebagai wanita yang lemah, Nani masih teringat karya-karya lalu saat dia terlibat dengan produksi Yasmin Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2009 yang lalu. "Cuba lihat beberapa tahun kebelakangan ini mana karya yang mengangkat kaum wanita? Boleh dikatakan wanita tetap digambarkan sebaliknya sampai hari ini. "Sampai bila kita nak terus mengajar penonton yang wanita hanya tempat melepas nafsu? Mungkin suara saya sedikit lantang tapi apa yang saya katakan adalah kebenaran. "Kalau saya tak perjuangkan nasib wanita siapa lagi? Dan isu yang paling besar adalah sampai bila?" soalnya. Rentetan daripada isu berkenaan, wanita yang menginjak usia 27 tahun itu enggan lagi terlibat dalam naskhah-naskhah yang merendahkan wanita. "Saya dengan rela hati menolak untuk terlibat dalam naskah sebegini. Tak ada masalah besar pun untuk menolak asalkan saya tidak menjatuhkan kami, kaum wanita. Kalau orang nak kata saya memilih pun saya tak ada masalah dengan gelaran itu," ujarnya. Filem tak laku, di mana silapnya? Menyorot kembali apa yang telah berlaku kepada industri sejak akhir-akhir ini jumlah kutipan filem tempatan di panggung sedikit menakutkan. Meskipun membariskan nama-nama besar dengan jalan cerita yang baik tetapi penonton enggan ke panggung dan ini tentunya merencatkan sedikit pertumbuhan industri perfileman, Paling dekat sudah pasti melihatkan filem Psiko Pencuri Hati yang meletakkan Nani sebagai tunjang utama karya arahan Namron itu. "Orang kita enggan ke panggung dan menonton filem tempatan. Mereka lebih gemar pada filem-filem antarabangsa dan langsung tidak memberikan ruang kepada karya sendiri. "Sejujurnya saya sangat takut dengan keadaan ini. Ini isu yang semakin meruncing tetapi sampai sekarang belum menunjukkan jalan penyelesaian. "Golongan urban bagi alasan tak mahu tengok filem tempatan tapi orang biasa pun tak mahu juga ke panggung? Habis macam mana?" katanya. Tidak mahu meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak, Nani menegaskan semua ini perlu berbalik kepada asas pendidikan di sekolah yang kurang menerapkan semangat untuk mencintai karya tempatan. Jika keseluruhan rakyat Malaysia mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi sudah pasti tidak akan menimbulkan isu yang lebih rumit seperti yang berlaku hari ini. "Lihat sahaja hasil seni kita seperti makyung, wayang kulit, menora, main puteri dan macam-macam lagi sudah semakin dilupakan oleh generasi hari ini. "Kalau kita tak ada semangat untuk mengambil tahu akar budaya dan seni sendiri tak mustahil pada masa akan datang tak ada apa yang boleh kita ceritakan pada anak cucu. "Sebab itu kita perlu usaha yang menyeluruh untuk mengatasi isu ini. Masalah depan mata kita buat tak nampak tapi kita sibuk dengan hal lain yang tak penting," katanya penuh sinis. Disayangi Pernah dilabel lantang dan panas baran satu ketika dahulu, Nani menganggap dia berjaya mengawal sikap tersebut sedikit demi sedikit seiring dengan peningkatan usia. "Saya dah kurangkan banyak sikap tersebut sejak beberapa tahun lalu. Dulu mungkin saya tak boleh dikutuk dan akan mempertahan diri saya. Tapi sekarang saya lebih rileks. "Tak ada guna nak melatah dengan isu yang sengaja digembar-gembur orang yang tak puas hati dengan kita. Selagi kita menjawab selagi itu sesuatu isu itu tak akan habis. "Saya ini jenis yang berterus terang dan jujur. Kalau tak elok pada mata saya pasti saya cakap yang benar. Tak guna nak jadi hipokrit, cakap pusing-pusing. "Cuma saya bersyukur kerana dikelilingi oleh mereka yang menyayangi saya seperti keluarga, teman-teman dan rakan-rakan artis yang menjadi guru terbaik buat saya. "Bila mereka ada sudah cukup untuk membuat saya selesa. Mereka bukan sahaja bagi semangat tetapi bagi inspirasi dan kekuatan pada saya menempuh hari-hari mendatang," katanya. Namun yang dirisaukan oleh Nani adalah apabila melihat keghairahan peminat menegur di laman sosial seperti Instagram sejak akhir-akhir ini. "Ada yang terlalu mahukan perhatian sehingga mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Ini bukan caranya untuk mereka bergaduh sesama sendiri atau tulis bukan-bukan. "Banyak lagi perkara lain yang lebih penting untuk diterokai daripada terus taksub kepada media sosial seperti itu," tegas Nani. Jadi pilihan Larut dalam emosi, Nani sebenarnya masih boleh tersenyum lebar apabila dia terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga besar jelas Akademi Fantasia 2013 (AF2013) bersama Roslan Aziz dan Edry Abdul Halim . Menganggap dirinya berupaya, dia sebenarnya mewakili golongan muda yang tahu apa 'ramuan dan rencah' untuk mencari bintang baru melalui AF2013. "Saya tidak boleh menilai diri sendiri tapi apa yang boleh saya katakan mungkin mereka melihat saya generasi muda yang cukup dekat dengan peserta AF2013 kali ini. "Jarak umur yang tak jauh ditambah dengan pengalaman saya sebagai anak seni membuatkan saya tahu peserta mana yang berbakat dan boleh dilahirkan sebagai bintang pada masa hadapan. "Saya mungkin tak tahu mendalam mengenai muzik tapi saya boleh mencari dan menilai orang lain dengan cara lain. Melihat mereka berjalan, bercakap dan aspek-aspek lain. "Kalau betul dengan caranya tak mustahil AF2013 melahirkan superstar seperti yang diharapkan semua," jelas pengkritik tetap AF2013 itu. Pun begitu, Nani cukup gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peminat yang teruja dengan kemunculannya bersama rancangan tersebut. "Ramai yang tweet dan hantar mesej menyatakan kegembiraan mereka melihat saya di kaca TV (televisyen). Saya pun tak selalu keluar TV sebab itu saya tahu ramai yang ternanti-nanti. "Setidak-tidaknya saya tahu masih ada peminat yang sayang dan rindu dengan saya," katanya tertawa. Bagi Nani, dia tidak pernah meletakkan perspektif buruk mengenai rancangan realiti TV meskipun ramai yang menganggap rancangan seperti itu sudah tidak relevan buat masa ini. Ujarnya, masih banyak program realiti yang bagus terutama membabitkan program antarabangsa yang boleh dikutip sebagai pelajaran. Dan kongsi Nani sebelum beredar, selepas hampir sedekad meninggalkan pentas teater, dia akan kembali, kali ini bermonolog untuk karya Namron berjudul Aku Nak Jadi Bintang. Bermula 29 Oktober hingga 3 November ini, antara artis yang terlibat sama adalah Sofia Jane, Vanidah Imran dan Aqasha. Teater itu bakal dipentaskan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor. |
Gabungan Awie-Erra, Isteri tak cemburu Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI PASTI ramai yang menanti-nantikan kemunculan Awie dan Erra Fazira di satu pentas dan rencana untuk menggabungkan mereka bakal terlaksana pada satu konsert tahun hadapan. Tentu sahaja ini satu berita yang mengujakan bagi peminat mereka apatah lagi gabungan itu turut melibatkan Ziana Zain. Apatah lagi tiga nama ini masih kekal berpengaruh sehingga kini selepas menggegarkan industri seni dengan kemunculan masing-masing sekitar tahun 1990-an dulu. Malah filem Sembilu lakonan mereka pernah menjadi antara filem pecah panggung ketika ditayangkan. "Kehebatan gabungan kami bertiga masih diingati sampai hari ini. Saya percaya peminat kami satu ketika dahulu masih ternanti-nanti kesinambungan apakah yang akan kami buat pada masa hadapan. "Rentetan daripada permintaan-permintaan tersebut akhirnya membuatkan saya terfikir kenapa tak gabungkan sahaja kami bertiga. Ini idea yang baik dan perlu diteruskan. "Sebab itu saya bercadang untuk buat satu persembahan yang melibatkan kami bertiga. Konsepnya, persembahan nyanyian dan lakonan yang akan diadakan di Istana Budaya," jelas Awie baru-baru ini. Sejak insiden putus cinta satu ketika dahulu, Awie dan Erra Fazira cukup jarang sekali digandingkan sama ada di dalam persembahan pentas atau mana-mana filem. Meskipun begitu, tidak ada isu yang harus dibangkitkan sementelah masing-masing sudah bahagia dengan kehidupan berkeluarga dan melupakan kisah yang terjadi antara mereka. Saat ditanya apakah isterinya, Rozana Misbun tidak cemburu melihat dirinya yang akan bergabung dengan Erra Fazira nanti, Awie tidak merasakan itu satu isu yang harus diperbesarkan. "Setiap kali ada majlis atau apa-apa persembahan yang melibatkan saya dan Erra pastinya dia akan saya beritahu dahulu. Masing-masing sudah ada keluarga dan tak ada apa yang harus dirisaukan. "Cuma saya berterima kasih kepadanya kerana selalu memahami saya. Tidak cemburu dan tak kisah memandangkan pertemuan saya dan Erra atas dasar kerja dan profesionalisme semata-mata. "Bila melibatkan hal-hal yang sensitif ini sudah pasti banyak hati yang perlu dijaga. Apa-apa pun setakat ini isteri tidak ada masalah untuk membenarkan saya bekerjasama dengan Erra," jelasnya. Teater muzikal yang diinspirasikan daripada kisah legenda bola sepak tanah air, Datuk Mokhtar Dahari yang digelar SuperMokh itu bakal digalas oleh Awie selaku tunjang utama. Meskipun begitu, vokalis kumpulan Wings ini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menghidupkan watak Mohktar Dahari di atas pentas teater. "Sebenarnya saya pernah berjanji untuk tidak terlibat dengan mana-mana teater muzikal. Tapi bila Hans Isaac menawarkan watak SuperMokh ini kepada saya, saya rasa tidak ada sebab untuk menolak. "Ini watak legenda dan sudah tentu cerita tentang Supermokh ini menjadi inspirasi kepada ramai peminatnya. Saya anggap pemilihan saya sebagai penghormatan saya kepada Supermokh yang dikenali di seluruh Asia. "Ini kisah yang menarik untuk ditonton. Walaupun wajah Supermokh nampak garang tetapi hatinya lembut dan dia memang lelaki yang baik. Banyak lagi kisah yang tidak diketahui umum bakal diceritakan melalui SuperMokh The Musical nanti," kata Awie. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |