Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Penduduk alami masalah kesihatan
- Kolej Komuniti sasar lahir 1,000 graduan pelancongan 2020
- Bantu anak tingkat potensi diri
Penduduk alami masalah kesihatan Posted: 29 Sep 2013 11:43 AM PDT Oleh OTHMAN YAHAYA Penduduk menunjukkan longgokan habuk besi yang didakwa menjadi punca pencemaran dan masalah kesihatan penduduk Kampung Padang Lalang, Simpang Ampat, Nibong Tebal, semalam. NIBONG TEBAL 29 Sept - Kira-kira 200 penduduk diancam masalah kesihatan apabila setiap hari terpaksa menyedut habuk besi dari sebuah kilang yang beroperasi berdekatan Kampung Padang Lalang, Jalan Kebun Petai, Simpang Ampat di sini sejak puluhan tahun lalu. Penduduk mendakwa, operasi kilang yang didakwa haram itu menyebabkan mereka mengalami gatal kulit, lelah dan batuk serta menimbulkan pencemaran bunyi. Menurut mereka, masalah itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil hingga mengganggu kehidupan seharian mereka. Bagi mengelak masalah itu berlarutan, sekumpulan penduduk kampung berkenaan mengadakan bantahan aman di hadapan kilang itu di sini pagi ini. Bantahan secara aman itu berlangsung lebih kurang satu jam dan selepas perbincangan melibatkan kedua-dua belah pihak, pemilik kilang itu bersetuju menutup sementara operasi kilangnya. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Komuniti Kampung Negeri (JKKKKN) Padang Lalang, Abu Bakar Rashid, 51, berkata, sepanjang pengetahuan mereka, kilang itu beroperasi tanpa kebenaran kerana pernah diroboh pihak berkuasa tempatan. "Sepatutnya pemilik kilang berkenaan menjalankan operasi itu di kawasan perindustrian yang dikhaskan berbanding di kawasan berhampiran kediaman penduduk. "Tambahan lagi kilang ini tidak mempunyai peralatan khas untuk mengawal habuk besi yang diayak menyebabkan ia mudah diterbangkan angin hingga melekat di rumah penduduk," katanya. Seorang penduduk, Nizwan Aeazin, 29, berkata, habuk besi itu mengotorkan rumah hingga memaksa pemilik memasang jaring mengelak habuk memasuki rumah dan mencemar makanan. "Saya tidak mampu membersihkannya setiap hari kerana habuk semakin tebal apabila kilang ini beroperasi terutamanya ketika musim panas dan berangin. "Nizwan berkata, dia dan beberapa penduduk pernah mengemukakan masalah itu kepada pentadbiran daerah tetapi hingga kini belum ada tindakan diambil," katanya. Menurutnya, kilang haram itu juga menimbulkan masalah bunyi bising kerana menggunakan generator untuk mengayak habuk besi. Seorang lagi penduduk, Rosli Sahid, 52, berkata, pencemaran habuk besi berkenaan menyebabkan dia menghidap penyakit gatal kulit dan bintik merah seluruh badan. "Isteri dan dua anak saya turut mula mengalami masalah berkaitan kegatalan sejak dua minggu lalu. Ketika mendapat rawatan, doktor mengesahkan penyakit ini berpunca daripada habuk besi," katanya. |
Kolej Komuniti sasar lahir 1,000 graduan pelancongan 2020 Posted: 29 Sep 2013 11:43 AM PDT Penerima Anugerah Khas Pelajar Cemerlang Kolej Komuniti Zon Utara bagi Jurusan Sijil Operasi Hotel, Ooi Chian Jian (dua dari kanan) bersama pelajar cemerlang Kolej Komuniti Baling, Azri Yom (dua dari kiri), pelajar cemerlang Kolej Komuniti Sungai Petani, Nur Farihah Abdullah (kanan) dan pelajar cemerlang Kolej Komuniti Kulim, Heng Hooi Yen dalam Majlis Konvokesyen Ke-10 Kolej Komuniti Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di Kubang Pasu, semalam. KUBANG PASU 29 Sept. - Sebanyak 1,000 graduan bidang pelancongan bakal dilahirkan Kolej Komuniti menjelang 2020 sekali gus berpeluang bekerja di 19 buah hotel bertaraf lima bintang di Pulau Langkawi. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Amir Md. Noor berkata, kursus yang ditawarkan di Langkawi Tourism Academy itu mendapat kerjasama Universiti Taylor. Menurutnya, sebanyak 200 pelajar akan mendaftar mengikuti kursus tersebut setiap tahun bermula Julai lalu. "Pelajar di bawah bidang ini akan menjalani tempoh pengajian selama 16 bulan dan mereka akan ke hotel yang terpilih untuk mengikuti latihan setiap petang. "Kursus yang ditawarkan ini lebih tertumpu kepada pelajar tempatan atau pelajar dari Pulau Langkawi dan Kedah supaya mereka dapat memperkenalkan pulau tersebut dengan lebih mudah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang kali ke-10 di sini hari ini. Sijil kepada 873 graduan kolej itu disampaikan Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Pembangunan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Datuk Mohd. Johari Baharum merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu. Dalam majlis tersebut pihak pengurusan kolej turut mengedar sebanyak 1,000 naskah akhbar Mingguan Malaysia kepada pengunjung. Amir berkata, kursus yang ditawarkan itu mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Tambahnya, selain di Pulau Langkawi, Kolej Komuniti Sungai Petani, Nibong Tebal dan Baling turut menawarkan kursus sama. Sementara itu, Mohd. Johari berkata, kursus perhotelan dan pelancongan amat baik terutama dalam sektor pelancongan di Pulau Langkawi. "Kolej Komuniti mampu menjamin masa depan pelajar lebih cerah dan mungkin dapat melahirkan pemandu pelancong yang baik seperti mana dilakukan di luar negara dan mereka mempunyai pendapatan lumayan. "Mungkin bidang ini masih baharu jadi latihan yang diberikan mestilah yang bersesuaian," katanya. |
Bantu anak tingkat potensi diri Posted: 29 Sep 2013 11:43 AM PDT JERLUN 29 Sept. - Semua pihak bertanggungjawab membimbing dan menggilap potensi kanak-kanak yang merupakan permata negara sehingga berkembang dengan baik dan mencapai tahap membanggakan. Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, potensi dimaksudkan ialah kemampuan mereka bagi mencapai, menghasil atau melakukan sesuatu yang banyak bergantung kepada kebolehan, bakat, kekuatan, kesanggupan dan keupayaan untuk berkembang maju. "Potensi diri mereka juga berkait rapat dengan kebolehan dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan bakat. "Semua ini boleh dikembangkan menerusi interaksi dengan persekitaran dan pendidikan berkualiti di rumah serta sekolah," katanya ketika berucap merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat peringkat negeri di Alor Biak, di sini semalam. Mukhriz berkata, usaha untuk mencungkil, memupuk, mengembang dan meningkatkan bakat kanak-kanak yang sedang membesar sukar dilakukan tanpa pendidikan bermutu. Berikutan itu, katanya, ibu bapa dan guru seharusnya memahami kecerdasan serta potensi murid sejak awal lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |