Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Graduan perlu ada nilai tambah
- Tinggalkan segera ajaran Syiah - Tengku Abdullah
- Wanita perlu bijak pilih pemimpin
Graduan perlu ada nilai tambah Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT Oleh SHAHRINNAHAR LATIB Adnan Yaakob menyampaikan Diploma Syariah Undang-undang kepada Nurul Atika Rosli dari Sekolah Pengajian Islam pada Majlis Konvokesyen Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah di Kuantan, semalam. KUANTAN 30 Sept. - Mahasiswa digesa melengkapkan diri dengan nilai tambah bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan selepas menghabiskan pengajian di universiti. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, nilai tambah pengetahuan amat berguna kepada para graduan sebagai kelebihan setelah tamat pengajian. "Contohnya bakal siswazah boleh melengkapkan diri mereka dengan belajar lebih dua bahasa seperti bahasa Mandarin dan Arab. "Nilai tambah ini mampu meletakkan mereka satu tingkat lebih tinggi berbanding graduan lain dalam kebolehpasaran pekerjaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen Ke-12 Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di sini hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ishak Muhamad. Majlis konvokesyen yang diadakan selama sehari itu melibatkan sebanyak 255 graduan yang menamatkan pengajian di peringkat diploma. Menurut Adnan, masalah utama graduan pada masa kini adalah kurang berkeyakinan ketika temuduga dan sukar menyatakan pendapat mereka dengan jelas. "Ini adalah disebabkan kemahiran komunikasi mereka tidak baik. Jadi, sebelum habis pengajian mereka mempelajari cara komunikasi yang baik," katanya. Katanya, beliau berharap setiap graduan perlu mempunyai cita-cita meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. "Diploma yang dimiliki tidak boleh dianggap sebagai noktah dalam penerokaan ilmu pengetahuan. "Kemahiran berkomunikasi dan personaliti yang menarik adalah penting untuk bersaing dalam sektor pekerjaan yang mencabar," katanya. |
Tinggalkan segera ajaran Syiah - Tengku Abdullah Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diberi penerangan oleh Pengurus Kawasan TM Salini Consortium, Leopoldo Carlesimo ketika melawat tapak Projek Hidroelektrik Ulu Jelai di Cameron Highlands, semalam. CAMERON HIGHLANDS 30 Sept. - Rakyat di negeri ini yang mengamalkan ajaran Syiah digesa supaya segera meninggalkan amalan tersebut dan kembali ke pangkalan jalan. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, mereka yang terlibat perlu sedar kesan ajaran itu yang bertentangan dengan agama Islam yang sebenarnya. Baginda yang merupakan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bertitah, kerajaan negeri perlu sentiasa memantau pergerakan rakyat yang dipercayai mengamalkan ajaran tersebut bagi mengelakkan umat Islam berpecah-belah. "Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana dipercayai terbabit dalam menyebarkan ajaran Syiah berdasarkan enakmen yang diwartakan oleh kerajaan negeri. "Saya tidak berani buat spekulasi terhadap individu terlibat. Ini bukan kes pertama berlaku dan mungkin banyak lagi dikesan dan berharap mereka harus sedar kesan ajaran tersebut," titah baginda. Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai di Kampung Susu di sini hari ini. Tengku Abdullah mengulas tangkapan seorang imam berusia 64 tahun dipercayai mengamalkan ajaran Syiah di kuarters kakitangan Ladang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pekoti Timur di Muadzam Shah, Rompin, Jumaat lalu. Dalam operasi itu, JAIP turut merampas beberapa buku disyaki berkaitan Syiah termasuk tasbih daripada tanah Karbala, sebungkus tanah Karbala, tiga biji batu turba dan sehelai kain kafan yang digunakan penganut ajaran itu. Lelaki itu yang berasal dari Kelantan itu ialah peneroka di Felda Selancar 1, dipercayai mengamalkan ajaran tersebut sejak enam tahun lalu dan menjadi imam di masjid ladang di situ lebih 20 tahun. |
Wanita perlu bijak pilih pemimpin Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT Zaharah Sulaiman KUANTAN 30 Sept. - Ahli Wanita UMNO perlu bijak memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan dalam menghadapi cabaran lebih besar terutama dalam pilihan raya umum akan datang. Calon Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman berkata, pemilihan parti yang akan bermula bulan depan membariskan calon berkaliber serta berpengalaman yang mampu membawa sayap UMNO itu mencipta kejayaan lebih besar. Sehubungan itu, katanya, ahli Wanita perlu memilih pemimpin terbaik demi masa depan sayap parti tersebut dalam membawa perubahan serta kekal relevan bagi membantu parti mengharungi cabaran mendatang. Ahli wanita perlu mempunyai pendirian dalam memilih calon yang layak menerajui kepimpinan Wanita sekali gus merealisasikan matlamat parti memberikan yang terbaik kepada rakyat. Bagi mengharungi cabaran akan datang perlu mempunyai barisan kepimpinan yang mantap supaya momentum tersebut dapat dikekalkan pada masa depan," katanya ketika ditemui di sini semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |