{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Awanama

Utusan Online - Timur


Sultan hargai usaha ECERDC

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusan@utusan.com.my

Sultan Mizan Zainal Abidin diberi penerangan oleh Jebasingam Issace John (kiri) mengenai kawasan Agropolitan Besut-Setiu selepas menyempurnakan perasmian projek itu di Setiu, Terengganu, semalam.

SETIU 29 Sept. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menghargai usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menggerakkan projek Agropolitan Besut-Setiu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Pancur Bederu, Mukim Chalok, di sini.

Baginda menyifatkan pelaksanaan projek itu sebagai usaha murni Kerajaan Pusat melalui ECERDC dengan kerjasama kerajaan negeri mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di kawasan sasaran.

Sehubungan itu, baginda berharap para peserta projek akan terus komited dan bekerja keras dalam menjayakan projek ini sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negeri yang tercinta.

Dalam masa sama, Sultan Mizan melahirkan rasa sukacita melihat semangat dan kesungguhan tinggi peserta yang nyata membawa perubahan kepada diri sendiri dan keluarga masing-masing melalui projek itu dalam masa singkat.

"Beta ingin mengucapkan tahniah kepada pihak ECERDC yang telah melaksanakan banyak projek di negeri ini yang menjadikan Pantai Timur sebuah wilayah maju menjelang 2020," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian projek bernilai RM60 juta itu di tapak projek hari ini sempena sambutan ulang tahun kelima penubuhan ECER tahun ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zubir Embong, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John dan Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Faiizol Ahmad.

Sebanyak 100 keluarga miskin menyertai projek Agropolitan Besut-Setiu yang merupakan salah satu daripada tiga projek Agropolitan yang dijalankan ECERDC di wilayah ini dan Felda dilantik sebagai agensi pelaksana termasuk melatih dan membimbing mereka.

Bermula pada Jun lalu, peserta-peserta berpindah ke rumah-rumah baharu yang dibina ECERDC dan mereka kini terlibat dalam penternakan biri-biri Dorper sebagai aktiviti ekonomi utama.

ECERDC membina sebanyak 52 unit pengeluaran ternakan (APU) dan memperuntuk kawasan seluas 104 hektar untuk penanaman rumput napier sebagai bahan makanan untuk sejumlah 4,680 biri-biri yang diternak kini.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, ECERDC membawa transformasi ke dalam kehidupan peserta-peserta projek dan keluarga serta memperkasakan mereka.

"Sebelum menyertai program ini, pendapatan mereka tidak menentu. Hari ini mereka mampu meraih pendapatan purata lebih RM1,000 sebulan dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat kepada RM5,000 sebulan menjelang 2020," jelas beliau.

Orang kampung sasaran sindiket gores dan menang

Posted: 29 Sep 2013 11:42 AM PDT

KOTA BHARU 29 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengesan taktik terbaharu sindiket gores dan menang yang kini bergerak secara berkumpulan ke kawasan kampung untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Ab. Ghani Harun (gambar) berkata, taktik itu dikesan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai serta hasil pemantauan pihaknya mengenai kegiatan tersebut.

"Setakat ini, kedai yang terlibat dengan kegiatan ini terutamanya di kawasan bandar ditutup sepenuhnya menyebabkan mereka menukar taktik bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Kini mereka bergerak ke kawasan kampung secara berkumpulan untuk mendekati penduduk dengan menawarkan pelbagai pakej hadiah," katanya di sini semalam.

Ab. Ghani memberitahu, setakat ini sebanyak lapan kes dilaporkan kepada pihaknya berhubung kegiatan itu melibatkan nilai rampasan hampir RM251,000.

Daripada kes tersebut, tambahnya, empat kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 manakala empat kes lagi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata, bentuk penipuan yang dibuat golongan yang tidak bertanggungjawab itu adalah memerangkap pengguna dengan nilai harga yang cukup tinggi.

"Modus operandi yang digunakan tetap sama dengan menipu orang ramai melalui tawaran pelbagai hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau sampul sebagai umpan.

"Pegawai PPDNKK akan sentiasa mengawasi kes penipuan ini dan kami akan turun ke kawasan kampung bagi menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna lebih peka dengan poster dan risalah yang diedar sindiket berkenaan berhubung kegiatan penipuan tersebut.

Dalam masa sama, beliau menyarankan masyarakat bertegas dan tidak mudah terpedaya dengan hadiah lumayan yang ditawarkan sindiket berkenaan.

"Orang ramai yang menghadapi masalah ini boleh terus berhubung dengan PDNKK supaya kami dapat membanteras individu yang terlibat untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah," katanya.

UMK buka klinik veterinar termoden di Pantai Timur bernilai RM7 juta

Posted: 29 Sep 2013 11:43 AM PDT

KOTA BHARU 29 Sept. - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah selepas berjaya membuka klinik veterinar termoden di pantai timur bernilai hampir RM7 juta.

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, penubuhan klinik yang dilengkapi fasiliti terkini itu bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan dan rawatan haiwan terbaik khususnya kepada penduduk negeri ini selain negeri jiran seperti Pahang dan Terengganu.

Raduan berkata, selain menjadi pusat rujukan yang ditunjangi barisan pakar perunding veterinar daripada tenaga akademik UMK, klinik itu juga berfungsi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran siswa Fakulti Perubatan Veterinar (FBV) universiti itu sebagaimana syarat ditetapkan Majlis Veterinar Malaysia (MVC).

"Klinik pengajaran adalah komponen penting bagi sesebuah fakulti veterinar kerana selain menangani kes-kes perubatan, kewujudannya perlu untuk program latihan praktikal pelajar.

"Namun, berbeza dengan klinik veterinar biasa, kami membuka akses untuk masyarakat kepada kepakaran 17 tenaga akademik FPV UMK yang sentiasa bersedia jika timbul kes-kes yang memerlukan rujukan mereka selain dua orang pegawai perubatan veterinar yang bertugas sepenuh masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Veterinar UMK di Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pendaftar UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak; Dekan FPV UMK, Prof. Dr. Mohd Azam Khan Goriman Khan dan Ketua Jabatan Klinik Veterinar UMK, Prof. Datin Dr. Kalthum Hashim.

Menurut Raduan, klinik yang mula beroperasi sejak awal Julai lalu itu dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari bekerja dan menawarkan rawatan kepada pelbagai spesies haiwan termasuk haiwan kesayangan, haiwan besar, ternakan serta haiwan eksotik.

Katanya, klinik itu dilengkapi peralatan canggih bernilai RM4.08 juta termasuk bilik bedah yang mampu mengendalikan prosedur kecil dan besar serta perkhidmatan pengimejan diagnostik bagi pemeriksaan radiologi seperti sinar-X, ultrabunyi, ekokardiogram dan endoskopi.

"Setakat ini walaupun belum mempunyai ambulans sendiri kami sudah memulakan perkhidmatan klinik bergerak menggunakan kenderaan yang disewa khas selepas terdapat permintaan merawat haiwan di ladang.

"Kami kini dalam perancangan membuka sebuah lagi klinik veterinar di Kampus Bachok khusus untuk haiwan ternakan," katanya.

Tambah Raduan, FPV UMK kini mempunyai kira-kira 200 penuntut yang mana 37 daripadanya adalah mahasiswa tahun lima yang bakal menjadi graduan sulung FPV UMK tahun hadapan.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar