Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Cabaran baharu Remy, Faizal, Kamal
- Mawi selesa tidak terlalu popular
- Qard, Panik filem hebat Astro First Eksklusif
Cabaran baharu Remy, Faizal, Kamal Posted: Cabaran baharu Remy, Faizal, KamalMENDALAMI sesuatu watak yang telah diamanahkan oleh pengarah bukanlah perkara yang mudah bagi sebilangan pelakon. Biasanya, proses menjiwai karakter banyak melibatkan permainan emosi yang turut menuntut adaptasi drastik oleh mental dan fizikal. Ada segelintir pelakon yang sanggup mengubah bentuk fizikal mereka semata-mata mahu kelihatan serasi dengan watak yang diberikan. Kesungguhan ini bukan semata- mata mahu meraih perhatian khalayak tetapi ia turut menjadi lambang kejituan dan matlamat sebenar yang ingin dicapai oleh pelakon tersebut. Bagi pelakon Remy Ishak, perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon mungkin tidak sederas pelakon-pelakon lain. Justeru, apa yang sering ditekankan oleh jejaka berusia 32 tahun ini adalah dedikasi secara penuh yang harus diberikan terhadap setiap watak yang didukungnya. Ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama para pelakon drama bersiri, Jiwa di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur baru-baru ini, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak begitu tegas dalam mendisiplinkan diri apabila terikat dalam sesebuah penggambaran drama. Hubungan Remy dan Budi "Dalam drama Jiwa, saya memegang watak sebagai Iskandar, seorang petinju yang agresif. "Sepanjang dua bulan tempoh penggambaran Jiwa, saya terpaksa menjalani latihan secara intensif bagi mengekalkan bentuk badan. "Untuk merealisasikan watak tersebut, saya turut menjaga corak pemakanan agar bentuk fizikal yang digambarkan menerusi watak Iskandar bertepatan dengan apa yang saya persembahkan," ujar Remy yang banyak menghabiskan masa di gimnasium bagi menyediakan diri sebelum proses penggambaran bermula. REMY (kiri) dan Kamal Adli (tengah) dirakam ketika sedang berlatih sebelum memulakan penggambaran drama bersiri, Jiwa. Selain itu, anak kelahiran Negeri Sembilan ini turut menjadikan Jiwa sebagai platform baginya untuk mengembangkan bakat lakonan, lebih-lebih lagi dalam genre aksi. "Seperti semua sedia maklum, saya sering diberi peluang untuk memainkan peranan lelaki romantik menerusi beberapa buah drama dan filem sebelum ini. "Sebagai seorang pelakon, saya tidak mahu dikenali dengan hanya satu watak sahaja. Saya juga perlu mempelbagaikan watak yang ingin saya ketengahkan pada satu-satu masa. "Apabila diberi peluang untuk melakonkan watak sebagai seorang petinju menerusi sebuah drama bercorak aksi, saya terus menggunakan kesempatan ini untuk mempersembahkan yang terbaik," katanya yang banyak dibantu oleh koreografer seni mempertahankan diri ketika berada di lokasi. Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya sejurus selepas tamat penggambaran drama bersiri tersebut, pelakon yang pernah membintangi filem Cun! ini berkata, dia mahu berehat sepuas-puasnya sebelum menerima sebarang tawaran pada masa akan datang. "Setelah tamat proses penggambaran Jiwa bulan lalu, saya terlibat dengan sebuah telemovie untuk tayangan slot Cerekarama di TV3. Selepas itu, saya mengambil keputusan untuk berehat panjang. "Sampai bila, itu tidak pasti. Saya akan kembali berlakon jika saya betul-betul bersedia untuk beraksi di depan kamera," katanya yang masih akan melalui proses perbincangan bagi tawaran lakonan yang diterima sepanjang tempoh percutian tersebut. Akui Remy, walaupun tampak selektif, keputusannya mahu berehat dan berfikir panjang sebelum menerima sesebuah tawaran sedikit sebanyak dapat membantu mengembangkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi lagi. "Setiap pelakon tahu di mana letaknya tahap kemampuannya dalam bidang lakonan. Justeru, watak yang dipilih haruslah selari dengan pengalaman dan peningkatan kematangan diri sendiri," katanya lagi. Dalam pada itu, Remy dan kisah cintanya sering mendapat perhatian umum. Walaupun sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Tiz Zaqyah dan Maya Karin, malangnya hubungan cinta yang pernah terjalin sebelum itu terus hanyut dek arus waktu sebelum sempat ia mekar berkembang. Terbaharu, dia dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Budi Citawan, anak kepada pelakon berbakat besar, Wan Hanafi Su.
Tidak terus mengiyakan kenyataan tersebut, Remy memberitahu, dia dan Budi masih dalam proses mengenali antara satu dengan lain. Katanya: "Saya mula mengenali Budi kira-kira setahun yang lalu. Saya tidak mempunyai ramai kawan perempuan." "Justeru, apabila saya sering dilihat keluar bersama Budi, banyak spekulasi timbul sedangkan ketika itu kami hanya kawan biasa. "Saya selesa berkawan dengannya. Dia merupakan seorang wanita yang bijak dan baik. Lagipun, dia mahu berkawan dengan saya bukan kerana saya seorang pelakon. Dia mahu mengenali saya sebagai sebagai individu biasa," kata Remy yang kini lebih bersifat terbuka dalam berkongsi kisah peribadinya. Faizal letak syarat Melanjutkan bicara pada petang itu, pelakon berbakat besar, Faizal Hussein, 46, begitu teliti dalam menerima tawaran yang diberikan oleh produksi drama dan filem bagi memastikan kelangsungan hayatnya dalam bidang lakonan dapat dipanjangkan. "Sejujurnya, saya cukup teliti dalam menerima tawaran berlakon drama dan filem. Bagi penerbitan drama, saya akan menerima tawaran untuk memainkan watak utama sahaja. "Walaupun kenyataan ini nampak sedikit keterlaluan tetapi saya percaya industri penerbitan drama dan filem masih memerlukan khidmat dan bakat yang saya ada untuk menerajui watak-watak utama," katanya yang memegang watak sebagai bapa kepada Iskandar menerusi dalam Jiwa. Dalam pada itu, pelakon yang pernah popular dengan filem Gila-Gila Remaja ini memberitahu, dia hanya bersedia untuk memainkan watak yang menampilkan dirinya lebih berusia asalkan ia relevan serta berkembang mengikut jalan cerita. Dia bagaimanapun belum bersedia untuk melakonkan karakter bapa kepada anak yang sudah dewasa. "Seperti dalam Jiwa, saya melakonkan watak sebagai seorang bapa yang mana karakter anaknya turut serta membesar seiring dengan watak saya. "Jika saya bersetuju untuk melakonkan watak seorang bapa yang anaknya sudah sedia dewasa, saya akan membunuh peluang untuk memegang watak utama dalam penerbitan drama atau filem pada masa akan datang," jelas Faizal. REMY dan Kamal Adli merealisasikan karakter petinju dalam drama bersiri, Jiwa. Kamal gerun dengan diiet Jika hendak dibandingkan dari segi umur dan jumlah pengalaman, Kamal Adli, 28, merupakan pelakon paling muda antara dua nama besar yang bergandingan dengannya menerusi drama bersiri Jiwa. Meletakkan pelakon-pelakon itu sebagai penanda aras baginya untuk terus mempersembahkan yang terbaik kepada penonton, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli banyak mempelajari tentang selok-belok dunia lakonan serta proses menjiwai watak daripada mereka. "Saya berasa sangat beruntung kerana digandingkan dengan pelakon-pelakon yang hebat menerusi drama Jiwa. Tidak dinafikan, saya berasa sungguh kecil jika hendak dibandingkan dengan mereka. "Namun, pengalaman berlakon bersama mereka banyak memberikan inspirasi kepada saya untuk terus berusaha dalam mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi," katanya. Kamal turut memberitahu, salah satu cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang proses penggambaran drama tersebut berlangsung adalah apabila dia terpaksa mengikut jejak langkah Remy dan yang lain-lain dalam menjaga diet pemakanan kerana bimbang berat badannya akan meningkat. "Ketika berada di lokasi, kesemua pelakon yang terlibat begitu mengambil berat tentang jenis makanan yang mereka ambil. Paling menggerunkan, mereka hanya makan buah-buahan serta lauk sahaja. "Sebagai salah satu kesedaran untuk menjaga badan, saya turut mengikuti jejak langkah mereka dan sering ke gimnasium untuk mendapat berat badan yang ideal sepanjang terlibat dengan penggambaran," jelasnya lagi. | |
Mawi selesa tidak terlalu popular Posted: Mawi selesa tidak terlalu popular
KETIKA muncul sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3) pada tahun 2005, penyanyi Asmawi Ani atau Mawi pernah melalui zaman kegemilangannya dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada peminat sehingga mendapat gelaran 'Raja SMS'. Bagaimanapun, kegemilangan yang diraih oleh penyanyi yang popular menerusi lagu Aduh Saliha itu tidak bertahan lama di sebalik kemunculan ramai pendatang baharu yang mewarnai industri muzik tempatan sekarang. Menyedari auranya sebagai seorang penyanyi semakin tenggelam, Mawi yang ditemui semasa majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTop Era pada minggu lalu di The Zouk, Kuala Lumpur berkata, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi penyanyi. Dalam pada itu, penyanyi berkenaan juga meluahkan rasa terkejutnya apabila lagu duetnya bersama Datuk AC Mizal, Al Haq Yang Satu, mendapat sambutan hangat dan sekali gus menaikkan semula namanya dalam bidang seni suara. Kosmo!: Sebelum muncul dengan lagu Al Haq Yang Satu, Mawi dilihat tidak begitu aktif menyanyi. Apakah aktiviti yang anda lakukan? MAWI: Sebenarnya tumpuan saya kini lebih menjurus kepada bidang perniagaan menerusi produk jenama saya dan isteri iaitu UneQuein yang berasaskan produk kesihatan dan kecantikan. Pada tahun ini juga, saya akan melebarkan lagi sayap perniagaan dengan meneroka bidang fesyen pula. Kami menjual pakaian untuk lelaki dan wanita. Apakah cabaran paling hebat yang Mawi lalui selama setahun bergelar seorang ahli perniagaan? Sudah tentu perkara yang paling mencabar ialah mendapat keyakinan daripada orang ramai tentang produk yang dijual serta bukan mudah untuk memuaskan hati pelanggan. Namun begitu, saya anggap segala cabaran yang dilalui itu sebagai pengalaman paling bermakna. MAWI mengaku seronok berada dalam fasa popular sebelum ini, namun dia tidak mahu kembali ke zaman tersebut. Apabila perniagaan Mawi semakin maju serta lebih ramai artis baharu yang muncul sekarang, adakah anda tidak mahu berhenti menyanyi dan menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan sahaja? Selama ini saya tidak pernah terfikir mahu berhenti menyanyi kerana ia merupakan minat saya. Biarpun saya dilihat tidak begitu aktif tetapi tawaran membuat persembahan masih lagi diterima. Sebenarnya, pada tahun lalu saya pernah muncul dengan dua buah single iaitu Menanti Hikmah dan Termolek tetapi kedua-duanya kurang mendapat sambutan. Namun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan karier nyanyian yang sudah diceburi selama sembilan tahun. Dahulu Mawi pernah mencetuskan fenomena sehingga mempunyai jumlah peminat yang sangat ramai. Adakah anda selalu teringat saat-saat melalui zaman kegemilangan dahulu? Ia merupakan suatu perkara normal untuk mengingati zaman kejayaan yang pernah dinikmati sebelum ini. Lagipun hidup ini umpama pusingan roda dan tidak selama-lamanya kita sentiasa berada di atas. Sebenarnya, saya sendiri tidak kisah kalau sudah tidak popular seperti dahulu lagi dan berasa sangat selesa dengan keadaan sekarang. Kenangan lalu ternyata banyak mengajar saya untuk menjadi seorang anak seni. Apakah perancangan yang akan dilakukan Mawi pada tahun ini? Selepas lagu Al Haq Yang Satu mendapat sambutan baik daripada para pendengar, saya dan (Datuk) AC Mizal bakal melahirkan sebuah lagi single baharu. Selain itu, saya juga akan muncul dengan single solo saya dalam masa terdekat ini. – RONI HIDAYAT RIDWAN | |
Qard, Panik filem hebat Astro First Eksklusif Posted: Qard, Panik filem hebat Astro First EksklusifBARISAN karyawan Panik dan Qard bergambar bersama Penolong Naib Presiden Kanan Astro, Saniboey Mohd. Ismail (dua dari kanan) pada majlis sidang akhbar baru-baru ini.- JEFFRI IRAN SEDAR hakikat filem yang menggunakan intipati serius sukar mendapat sambutan di layar perak, namun masih ada banyak mata yang berminat untuk menontonnya, pihak Astro melalui Astro First Eksklusif (saluran 480) menampilkan dua filem bercorak thriller iaitu Qard dan Panik. "Filem sebegini (serius) sering diketepikan penonton tetapi kami berani bereksperimen menyiarkan dua karya bermutu ini untuk siaran Astro First Eksklusif," ungkap Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh mengenai filem arahan Faisal Ishak (Qard) dan Hanung Bramantyo (Panik) itu. Filem Qard telah memulakan tayangan pada 16 Januari lalu manakala filem Panik pula bakal ditayangkan pada 20 Mac 2014. Berpeluang menonton kedua-dua filem itu selama 20 minit di Golden Screen Cinema (GSC) Siqnature Garden, Kuala Lumpur, Kosmo! tertarik dengan jalan cerita yang diketengahkan oleh kedua-dua filem itu. Qard mengisahkan tentang enam watak utama yang ditakdirkan bertemu dalam sebuah kemalangan ngeri melibatkan sebuah bas terbalik di lebuh raya. Kehidupan watak-watak yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Shera Aiyob, Zain Hamid dan Beto Khusyairi itu dikupas dan diterokai daripada detik kemalangan yang mengorban sebilangan nyawa tersebut. Penonton kemudiannya dibawa menyelami kisah mereka sebelum kemalangan itu berlaku dan bagaimana mereka menjalani proses pemulihan selepas tragedi tersebut. Mengulas mengenai jalan cerita tersebut, salah seorang pelakonnya, Beto memberitahu, pengisian Qard berlainan dengan filem lain. "Biasanya kalau cerita kemalangan akan menceritakan selepas kemalangan tersebut tetapi pengisiannya lain dalam Qard. "Ia menceritakan kejadian sebelum kemalangan itu berlaku. Perkara itu yang cuba kami sampaikan kepada masyarakat," jelas Beto yang membawakan watak Mamat, hero misteri yang menyelamatkan mangsa kemalangan bas tersebut. Tiada watak utama dalam filem tersebut, pengarahnya, Faisal Ishak pula memberitahu, semua watak memainkan peranan yang penting dalam filem berdurasi satu jam 10 minit itu. Biarpun berdepan dengan kos yang tinggi untuk menterbalikkan bas, ujar Faisal, dia tidak kisah kerana ingin memberi kepuasan kepada penonton. "Kami ambil masa selama empat jam untuk terbalikkan rangka bas dan kos yang dikenakan lebih mahal daripada kos sewa bas tersebut," luahnya yang enggan mendedahkan kos sebenar. Hanung Bramantyo Lagi satu filem yang bakal ditayangkan menerusi Astro First Eksklusif adalah filem Panik. Ditayangkan pada 20 Mac 2014, filem tersebut merupakan arahan pengarah terkenal Indonesia, Hanung yang juga mengarahkan filem popular Ayat-Ayat Cinta dan Soekarno. Mendapat idea menghasilkan Panik dua setengah tahun lepas, jelas Penolong Naib Presiden Kanan Astro, Saniboey Mohd. Ismail, filem itu dihasil- kan melalui kes hilang anak yang pernah berlaku di Malaysia. "Dua setengah tahun yang lalu saya tengok banyak kes ibu bapa hilang anak. Timbul idea dari situ untuk menghasilkan filem Panik. "Kami duduk berbincang untuk menghasilkan filem yang boleh dijadikan satu teladan kepada orang ramai," ujar Saniboey mengenai filem yang dibintangi oleh Nadiya Nisaa, Zul Ariffin dan juga pelakon terkenal dari Indonesia, Dony Alamsyah itu. Menjalani seratus peratus penggambaran di Indonesia, Panik berkisar tentang seorang ibu bernama Ida (Nadiya Nisaa) yang panik apabila anak perempuannya yang berusia lapan tahun hilang di pusat beli-belah di Jakarta, Indonesia. Meskipun sedaya upaya meminta pertolongan daripada orang ramai, anaknya Fasha (Naomi Ivana) tetap tidak dijumpai. Boleh dianggap karya yang sangat baik hasil arahan Hanung, menurut tunjang utama Panik, Nadiya Nisaa, dia menganggap bekerja bersama pengarah itu seperti mimpi yang menjadi kenyataan. "Selama ini saya hanya menonton cerita-ceritanya. Ibarat mimpi jadi kenyataan, kali ini saya berpeluang pula berlakon di bawahnya. Saya juga berharap pelakon lain di Malaysia berpeluang berlakon di bawahnya kerana Hanung seorang yang sangat profesional dalam kerja. Dia juga pandai menarik mood pelakon-pelakonnya," luahnya yang turut mengagumi filem arahan Kabir Bhatia itu. Astro First Eksklusif yang mula diperkenalkan pada bulan Julai tahun lalu, banyak menerbitkan produk premium berkualiti setanding dengan filem-filem yang berada di pawagam. Antara filem-filem yang telah ditayangkan di Astro First Eksklusif termasuklah Anugerah Dendam Yang Terindah, New York Cinta dan filem Mandarin Spicy Killers. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |