Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Posted: 23 Jan 2014 10:52 PM PST Oleh GARRET DAWUM HARI ini Sabhi tidak lagi menyembunyikan status dirinya sebagai suami dan bapa kepada seorang anak. RASANYA tak luak kalau seseorang artis itu berkongsi sedikit cerita tentang perkahwinan. Perkara baik seumpama itu sepatutnya tidak perlu disorok walaupun kita faham ia adalah bersifat peribadi. Artis itu kan milik umum. Ke mana sahaja pergi, apa mereka buat pasti ingin diketahui orang. Tambahan pula dalam soal kahwin kerana ia melibatkan hari bahagia seseorang individu yang popular. Setiap kali pernikahan yang cuba disembunyikan itu, pastinya akan terbongkar jua. Sebenarnya, seseorang artis tak perlulah beria-ia menafikan sudah berkahwin kalau itu benar. Berita perkahwinan senyap artis ini bukanlah baharu. Sekitar Jun tahun lalu, penyanyi Sabhi Saddi, 30, turut terpalit dengan kontroversi seumpama itu. Dia didakwa sudah berkahwin bersama wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan, Rosi Aswani Abdul Razak, 28. Pecahnya rahsia itu apabila ada yang terpandang dia membawa seorang bayi iaitu anaknya sendiri, Sofia Reesya yang kini sudah berusia setahun ke majlis perkahwinan rakan baiknya. "Masa itu orang tanya, siapa bayi yang dibawa oleh isteri saya. Terpaksalah saya beritahu itu anak kami. Di situ juga, kami mengaku sudah pun berkahwin. "Pada mulanya, saya memang ingin merahsiakan perkara ini (perkahwinan) kerana ia merupakan hal peribadi. "Jadi, saya tak mahu hebohkan kepada umum mengenainya kerana saya rasa tak perlu," katanya ketika hadir ke sesi fotografi bersama Utusan bagi mempromosikan single baharu, Cinta Sesungguhnya. Jejaka kelahiran Sandakan, Sabah ini turut memaklumkan alasan perkahwinannya disorok kerana kurangnya populariti. Populariti single berjudul Nadiku sahaja tidak berjaya menempatkan namanya sebagai salah seorang penyanyi lelaki baharu yang cukup berpotensi. Itu yang dirasakan Shabi sendiri. "Saya bukan nak menyorok dan enggan beritahu kepada umum tetapi berasa sangat segan. Siapalah saya ini. Nama saya tidaklah sehebat penyanyi-penyanyi lain pun. "Harapan saya adalah agar semua peminat akan terima semua yang berlaku ini. Sekarang saya ingin fokus kepada kerjaya, bukan sahaja dalam bidang nyanyian malah dalam bidang lakonan," ujarnya. Cuba bidang lakonan Percaturan terus dibuat oleh pelakon drama Aku Ada Wali ini dalam memantapkan perjalanannya dalam bidang seni. Dia kembali untuk menempa nama dan bangun daripada kesilapan lalu. Dia tidak mahu lagi langkah seni dalam nyanyian tertinggal di belakang. Buat masa ini akui Sabhi, banyak perubahan dalam kehidupannya. Tawaran demi tawaran diterimanya tanpa putus-putus. Mahupun dalam bidang nyanyian ataupun bidang lakonan yang baru diceburinya sekitar tahun lalu. Katanya, biarpun dia terpaksa balik lewat malam tetapi dia menganggap semua itu sebagai satu rezeki yang ikhlas dikurniakan kepadanya. "Dulu, masa bujang saya tidak kisah untuk pulang lewat. Kini, saya sudah berkahwin. Lain pula kisahnya. Fikiran ini sentiasa teringatkan anak walau ke mana sahaja saya pergi. "Tetapi saya tidaklah risau semua itu. Demi anak dan isteri, saya akan bekerja keras untuk mereka," katanya yang agak sepi sepanjang tahun lalu dalam bidang nyanyian. Menyepinya Sabhi daripada dunia nyanyian bukan disebabkan kecewa dengan lagu-lagunya yang tiada impak. Tambahan, bukannya tiada aktiviti dan undangan nyanyian. Malah akuinya, paling kurang dia akan menerima dua undangan nyanyian dalam masa sebulan, cumanya tiada produk baharu. Selidik punya selidik, rupa-rupanya jejaka kacak ini mempunyai perancangan yang sempurna. Jelasnya, dia cuba menempatkan dirinya dalam bidang lakonan pula. "Saya buat percubaan untuk masuk ke dunia lakonan menyebabkan fokus saya terbahagi dua, lebih kepada lakonan sebenarnya. "Jadi, saya akan mulakan langkah awal untuk terjun ke dalam bidang lakonan secara mendalam. Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Klip 3GP. Berlakon telefilem dan drama berbeza pengalamannya dan saya ingin merasai bidang tersebut," katanya. Biarpun ingin ceburi bidang lakonan, Sabhi tetap dengan prioritinya dalam bidang nyanyian. Dia akan buat kerja satu persatu biar kerjayanya seimbang dalam kedua-dua bidang. |
Posted: 23 Jan 2014 10:52 PM PST Oleh ABD. AZIZ ITAR SALAH satu majlis ceramah yang disertai oleh Ali (tiga dari kiri) di surau Apartment Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. ANTARA wang, kepuasan dan memenuhi tuntutan agama, Ali nampaknya lebih memilih faktor yang ketiga itu. Bekas penyanyi kumpulan rock Terra Rossa dan XPDC ini bukan lagi seperti yang dikenali dulu. Dia sudah banyak berubah daripada segi penampilan luaran dan juga dalaman. Apabila bercakap tentang kerjaya sebagai penyanyi misalnya, Ali atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail sentiasa berusaha keras bagi memenuhi tuntutan agama dalam bidang tersebut. Justeru, tidak hairanlah bapa kepada lima orang anak ini sentiasa mengambil kira daripada pelbagai aspek tawaran menyanyi yang diterimanya sejak akhir-akhir ini. Angin perubahan itu dilihat semakin kuat menderu sejak 5 November tahun lalu. Menurut vokalis berusia 45 tahun ini, dia bertekad untuk melakukan perubahan itu juga seiring dengan ketibaan tarikh 1 Muharam 1435 yang lepas. Mulai saat itu, dia mahu dikenali sebagai Ali yang lebih jelas hala tuju dan matlamat kehidupannya di dunia ini. "Saya memilih tarikh 1 Muharam untuk saya berubah. Itu adalah azam saya. Saya mahu berubah zahir dan batin. Pada tarikh itulah saya telah memotong rambut saya yang panjang. Begitu juga dengan lagu-lagu nyanyian saya lebih ke arah lagu-lagu berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan. "Sengaja saya pilih tarikh itu bagi mendapatkan keberkatan dan semangat. Sebenarnya, saya sudah lama mahu berhijrah tetapi ini adalah masa yang sesuai. Mudah-mudahan saya akan terus istiqamah dengan apa yang saya lakukan ini sampai bila-bila," katanya kepada Hits semasa ditemui di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Dia yang berasal dari Klang, Selangor ditemui sebelum terbabit menjayakan program sambutan Maulid Nabi di surau Apartment Harmoni, Damansara Damai yang membicarakan topik bertajuk Maksud Hidup Nabi.. Maksud Hidupku. Majlis itu turut dijayakan oleh Ustaz Muhammad Yusup Dzulkifli, Pengetua Maahad Tahfiz Ar-Rafiq, Kota Damansara selaku moderator dan Ustaz Cik Wan Hilmy Wan Mohammed, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Husainiah, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang sebagai penceramah utamanya. Kesungguhan dan komitmen Ali dalam melalui jalan penghijrahannya itu bukan setakat di lidah semata-mata. Sebaliknya, dia mengotakan janjinya untuk berdiri di landasan yang mengikuti jalan-jalan yang diredai Allah. Bagi penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bunga Angkasa sewaktu mencipta nama bersama kumpulan Terra Rossa pada tahun 1990-an ini contohnya pernah menolak tawaran menyanyi di sebuah kelab malam atas nasihat seorang ustaz. "Baru-baru ini saya mendapat tawaran menyanyi di sebuah kelab malam terkemuka di Pulau Pinang dengan bayaran yang lumayan. Pada mulanya saya mahu terima kerana mungkin saya boleh berdakwah di situ. "Tetapi saya kemudiannya meminta pendapat seorang ustaz tentang tawaran itu dan dia menasihati saya supaya menolaknya. Ustaz tersebut tidak mahu saya bersubahat mengadakan persembahan di situ yang turut menyediakan minuman keras. "Secara tidak langsung duit yang saya dapat daripada bayaran persembahan itu nanti ada unsur-unsur subahat. Jadi saya terima nasihat itu dan tidak menyesal menolaknya kerana biarlah saya dapat bayaran yang sedikit tetapi daripada sumber yang halal dan diberkati oleh Allah," ujarnya. Kongsi pengalaman lampau Sejak November tahun lalu, Ali mula terbabit dalam banyak program seperti motivasi dan juga ceramah agama di surau-surau dan masjid-masjid di seluruh negara. Namun, sebagai penyanyi dia tahu kapasitinya dalam program-program seumpama itu. Malah, dia menolak apabila ada pihak yang melabelkannya sebagai penceramah agama, sebaliknya dia sekadar mahu berkongsi pengalamannya sebagai artis untuk dijadikan iktibar kepada para hadirin. Pada majlis ceramah sempena memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad pada 12 Rabiulawal 1435 hijrah atau 14 Januari lalu, Ali banyak menceritakan pengalaman silamnya sebagai artis yang sebelum itu jarang diketahui oleh para peminatnya. "Dalam ceramah yang saya sertai yang diberi nama Sembang Santai itu, saya bukan bercakap tentang hukum-hakam agama Islam. Tetapi saya seperti penceramah motivasi dan saya bercakap atas kapasiti saya sebagai seorang artis. "Saya mahu berkongsi pengalaman itu agar ia dijadikan iktibar. Saya sebelum ini misalnya tidak mendapat ketenangan jiwa kerana terlalu mengejar keduniaan. Semasa menyanyi dulu bayaran yang saya terima bersama XPDC memang banyak, contohnya konsert kami di Shah Alam beberapa tahun lepas yang ditonton lebih 10,000 penonton. "Tetapi bak kata orang duit banyak pun kalau hati tidak tenteram tidak guna juga. Saya juga pernah buat perniagaan penyediaan sistem bunyi untuk majlis-majlis tetapi kena tipu dan akhirnya ia tidak ke mana. Daripada situlah saya mula terfikir akan soal keberkatan perlu ada dalam kerja-kerja yang kita lakukan," jelasnya penuh mendalam. Sungguhpun semakin terarah kepada bidang motivasi tetapi itu tidak bermakna dia begitu mudah untuk melupakan bidang nyanyian yang seperti sudah sebati dengan jiwanya. Perkara itu dapat dilihat apabila Ali tetap akan menyanyi berdasarkan perminataan para hadirin dalam sesi ceramah yang disertainya. Namun, pastinya cara nyanyian dan inti pati dalam lirik lagu-lagu nyanyiannya juga tidak sama seperti dulu. Pada masa sama, Ali juga tidak ketinggalan mempromosikan album solonya berjudul Maghfirah Mu yang mengandungi enam buah lagu bertajuk Langkah Terakhir, Hanya Kamu, Doa dan Lagu Perjuangan, Kita Hamba-Nya, Kehendaknya serta Palestine. "Selain berceramah, saya juga akan menyanyi satu atau dua lagu sebagai selingan dalam majlis yang saya sertai itu. Saya contohnya menyanyikan lagu seperti Bunga Angkasa dan Semangat Yang Hilang tetapi saya ubah sedikit lirik-lirik lagu yang saya nyanyikan agar lebih positif. "Saya juga menjual sendiri CD (cakera padat) album Maghfirah Mu dengan harga RM20 pada majlis-majlis ceramah yang saya sertai. Album itu saya terbitkan sendiri dan diedarkan oleh syarikat Al-Mughni yang mana sejak berada di pasaran ia telah dijual hampir 2,000 unit," katanya. Ternyata rezeki Ali dalam bidang nyanyian dan ceramah motivasi semakin mencurah-curah sejak penghijrahannya tidak sampai tiga bulan lalu. Buktinya dia menerima undangan berceramah dalam membicarakan topik makanan halal anjuran syarikat pengeluar daging burger iaitu Ramly Burger yang akan diadakan di banyak tempat di seluruh negara tidak lama lagi. "Saya telah dijemput sebagai salah seorang ahli panel dalam kempen ceramah itu yang akan diadakan di hampir 60 tempat seluruh negara bersama beberapa orang penceramah terkenal seperti Ustaz Fauzi Mustafa dan Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood. "Inilah cara saya berbakti kepada masyarakat mengikut kapasiti saya sebagai artis. Saya mahu berubah dan itu jugalah yang saya harapkan kepada orang lain. Saya juga telah memulakannya dalam keluarga saya. "Saya mahu kita semua kembali ke jalan Allah. Baru-baru ini saya telah menghantar anak sulung saya yang berusia 18 tahun mengikuti kelas tahfiz al-Quran di Maahad Tahfiz Al-Husainiah, Pulau Tawar, Jerantut selepas dia habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). "Mudah-mudahan dia (anak), saya dan orang lain juga akan mendapat manfaat daripada pembelajarannya itu nanti," jelasnya lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |