Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST Oleh Zulhisham Isahak OMAR Saad menunjukkan saki baki pisang tanduk dipercayai dicuri oleh pekerja asing di Kampung Parit Lanjut dekat Pagoh, Muar, Johor, kelmarin. PAGOH 10 Jan. - Segelintir daripada 20,000 pekerja asing di tiga kampung berhampiran Kawasan Perindustrian Bukit Pasir di Sungai Terap dekat sini yang sebelum ini menimbulkan masalah sosial, terutamanya maksiat kini semakin tidak terkawal. Kehadiran mereka semakin merimaskan kira-kira 1,500 penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Pergam, Parit Lanjut dan Kampung Jalan Raja kerana sudah mula mencuri hasil tanaman penduduk setempat. Pekerja asing berkenaan berlagak seperti berada di 'kampung sendiri' apabila mencuri apa sahaja buah-buahan seperti rambutan, pisang, durian atau sayur-sayuran milik penduduk. Seorang petani, Omar Saad, 57, dari Kampung Parit Lanjut yang mengusahakan tanaman pisang tanduk di kawasan terletak kurang 100 meter dari asrama penginapan pekerja asing itu mendakwa tanamannya sering dicuri tanpa mengira musim. Dia berkata, sejak adanya asrama penempatan pekerja asing berhampiran kebun tanamannya yang seluas kira-kira 0.5 hektar, pendapatannya terjejas teruk. "Ini kerana hasil tanaman tidak sempat dikutip atau dijual kerana kebanyakannya lesap dicuri. Sebelum kehadiran ribuan pekerja asing di sini, saya mampu meraih pendapatan sehingga RM1,000 hasil jualan tanaman pisang. "Namun kini jumlah itu jauh berkurangan. Ini adalah sumber pendapatan utama keluarga dan saya sangat sedih kerana mereka (pekerja asing) sewenang-wenangnya mencuri hasil tanaman," katanya ketika ditemui di kebunnya di sini semalam. Walaupun kawasan itu dipagar, keadaan tersebut tetap tidak dapat membendung kecurian malah sejak akhir-akhir ini semakin kerap terutama ketika pisang di kebunnya berbuah. Dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan pekerja asing kerana jarak kebun pisangnya dengan asrama mereka agak hampir selain beberapa penduduk kampung pernah terserempak sekumpulan pekerja asing merayau-rayau di kebun mereka dengan membawa parang. "Mereka menjadikan kampung ini seperti kampung mereka. Kelakuan mereka yang tidak terkawal bukan sahaja menakutkan masyarakat setempat, malah menjejaskan pendapatan penduduk yang kebanyakannya bergantung hidup dengan hasil pertanian," katanya. Bapa kepada enam anak itu berkata, kejadian mencuri hasil tanaman bukan sesuatu yang baharu di beberapa perkampungan sekitar kawasan perindustrian berkenaan. "Adakah ini yang mereka balas dengan kebaikan kami selama ini? Saya harap pihak majikan atau pemilik kilang peka dengan masalah berkenaan dan segera menasihati pekerja mereka kerana kesabaran penduduk kampung juga ada batasannya," katanya. |
Kampung Tembioh bakal dimaju medan ikan bakar Posted: 10 Jan 2014 12:10 PM PST KOTA TINGGI 10 Jan. - Kampung Tembioh, perkampungan tradisional Melayu pinggiran bandar di sini bakal dimaju sebagai pusat tumpuan ekonomi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut. Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman berkata, perkampungan yang kini didiami kira-kira 20 keluarga itu perlu 'keluar' daripada stigma banjir yang sering melanda kawasan tersebut. Menurutnya, perkampungan tersebut perlu dibangunkan kerana mempunyai potensi sebagai medan ikan bakar seperti di Muar. "Saya juga telah berbincang dengan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan wakil rakyat untuk mencari peruntukan atau cara pembiayaan mahupun menerusi penswastaan bagi menjadikan perancangan ini sebagai realiti," katanya ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke kampung ini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengerusi Badan Amal Al-Insan Kota Tinggi, Mohd. Zain Arif. Noorazam berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk membina jambatan gantung bagi menghubungkan kampung tersebut dengan kawasan bandar. Beliau berkata, dengan pembinaan jambatan gantung itu juga secara tidak langsung dapat membantu penduduk terutamanya nelayan meningkatkan ekonomi mereka. "Kita juga mahu melaksanakan perkara sama di Kampung Makam agar selain tempat tumpuan sejarah, kawasan itu juga akan menjadi tumpuan ekonomi. "Usaha tersebut bagaimanapun bukan dapat dilakukan dalam sekelip mata. Justeru, saya telah meminta pihak MDKT untuk membuat satu pelan bagi merealisasikan usaha itu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |