Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
PATI sembunyi dalam timbunan barang kitar semula Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST Seorang PATI cuba menyorok di dalam tangki air bagi mengelak ditahan pegawai Imigresen dalam serbuan di sebuah kilang kitar semula di Pekan Nanas, Pontian, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 25 Jan. - Cubaan segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di dalam timbunan barang kitar semula dan tangki air gagal apabila mereka ditahan penguat kuasa jabatan imigresen awal pagi kelmarin. Dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi di kilang kitar semula di Pekan Nanas, Pontian, seramai 13 PATI warga Indonesia termasuk tiga wanita berusia 21 hingga 40 tahun ditahan. Jabatan Imigresen negeri dalam satu kenyataan memberitahu, dalam serbuan yang berakhir pukul 3.30 pagi dan disertai 20 pegawai serta anggota penguat kuasa itu, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai majikan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun turut ditahan. "Semasa serbuan, ada yang melarikan diri ke dalam semak-samun berhampiran lokasi serbuan. Malah, ada yang melompat ke dalam timbunan barang kitar semula dan menyorok di dalam guni serta tangki air bagi mengelak daripada ditahan. "Biarpun begitu, usaha mereka sia-sia kerana kita sudah mengepung kawasan tersebut dan akhirnya mereka berjaya ditangkap," demikian menurut kenyataan berkenaan. Kenyataan itu memberitahu, ada PATI yang mengaku kehilangan pasport dan majikan mengambil mereka bekerja dengan gaji yang rendah kerana tiada dokumen pengenalan diri. "Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(10(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan," katanya. |
Posted: 25 Jan 2014 10:24 AM PST Oleh FARIK SALLEH KOTA TINGGI 25 Jan. - Sebanyak 250 poster dan risalah ceti haram atau ah long diturunkan di sekitar kawasan bandar ini termasuk di Taman Ria, Taman Medan Jaya serta Taman Ahmad Perang dalam Op Cantas Khas Ah Long, di sini kelmarin. Operasi khas itu diketuai Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman dan disertai Timbalannya, Deputi Supritendan Low Han Seng dan Ketua Penguat Kuasa Majlis Daerah Kota Tinggi, Mokhtar Bahari serta 20 anggotanya. Rahmat berkata, operasi bersepadu selama kira-kira dua jam itu bertujuan mencegah kegiatan ah long di daerah ini di samping memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya mendapatkan pinjaman daripada mereka yang turut menimbulkan masalah sosial dan konflik keluarga. "Malah risalah dan poster serta pelekat yang ditampal sesuka hati itu juga secara tidak langsung telah merosakkan pemandangan di sekitar bandar ini dan tidak mengikut peraturan pengiklanan dan kebenaran yang digariskan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya. Jelas Rahmat, sindiket ah long itu akan membuat ugutan jenayah, kekasaran, menampal salinan kad pengenalan mangsa dan menyimbah cat ke kediaman bagi tujuan memalukan mangsa sekiranya peminjam gagal membayar pinjaman mereka. "Terdapat juga kes melibatkan penipuan pemberian pinjaman wang yang tidak wujud. Dalam kes ini mangsa tidak mendapat wang pinjaman dijanjikan setelah wang pemprosesan pinjaman dibayar kepada ceti haram itu," katanya. Rahmat berkata, sebanyak 35 kes berkaitan ah long telah dilaporkan dan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29A Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 (Pindaan 2011). "Sebanyak 18 kes telah dituduh di mahkamah, manakala sebanyak 23 tangkapan telah dibuat dalam tempoh tiga tahun itu," katanya. Tinjauan mendapati kebanyakan poster dan risalah pinjaman ah Long ditampal dan digantung di tiang papan tanda jalan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |