Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST Oleh HASHNAN ABDULLAH PERCERAIAN merupakan satu perkataan yang paling ditakuti oleh pasangan yang berkahwin, apa lagi sekiranya rumah tangga yang dibina telah lama terbina atau pasangan tersebut berkahwin atas dasar suka sama suka. Sungguhpun bercerai itu dibenarkan di dalam Islam, namun ia dibenci oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Perbuatan halal yang teramat dibenci Allah, ialah talak." (riwayat Abu Daud) Begitu pun, bercerai atau talak ialah satu pendekatan terbaik apabila tiada lagi persefahaman di dalam melayari bahtera perkahwinan. Sayangnya, perceraian ini seringkali diambil remeh oleh individu yang bercerai, terutamanya di pihak lelaki kerana beranggapan berakhirnya episod perkahwinan itu, ia sekali gus menandakan mereka bebas daripada menunaikan tanggungjawab yang digalas selama ini iaitu pemberian nafkah kepada anak-anak yang telah menjadi mangsa keadaan. Meskipun ia melibatkan anak-anak tetapi sebenarnya bebanan ini terpikul di bahu bekas isteri yang terpaksa mengambil hak memelihara dan menjaga anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka berdua. Berbalik kepada dua kes di atas di mana ia adalah segelintir daripada puluhan ribu kes yang melibatkan bekas suami ingkar bayar nafkah, walaupun telah mendapat perintah mahkamah. Menurut Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Dr. Mohd. Naim Mokhtar, jumlah itu turut berpunca daripada kegagalan para bekas isteri memaklumkan perkara tersebut kepada mahkamah. "Inilah menjadi antara faktor utama kerajaan melalui JKSM mewujudkan BSK pada 2007. Tetapi kami juga tidak menolak kemungkinan kegagalan bekas isteri itu disebabkan oleh faktor kewangan." Bukan hanya dari segi kos pengangkutan dan penginapan jika kesnya disebut di negeri lain tetapi bayaran untuk peguam syarie yang pastinya bukan murah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini. Perkhidmatan BSK adalah percuma dengan syarat bekas isteri telah mendapat surat perintah bayaran saraan dan nafkah untuk anak-anak daripada mahkamah syariah. Percuma itu bermula sebaik kes itu difailkan di BSK negeri hingga usaha mengesan bekas suami, peringkat runding cara dan proses perbicaraan di mahkamah. 'Kuasa' BKS Malah, Dr. Mohd. Na'im berkata, pihak BSK turut menjalin kerjasama strategik dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan peranan BSK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Terbaharu sekali dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan pihaknya mengesan bekas suami yang ingkar itu," tegasnya. Apa yang lebih menarik adalah disebabkan BSK sebahagian daripada JKSM, maka BSK mampu memainkan peranan dengan lebih berkesan, khususnya terhadap bekas suami yang ingkar dengan perintah mahkamah. Dengan kata lain, 'kuasa' BSK bukan hanya dapat dilihat tetapi dirasai oleh orang ramai walaupun BSK hanyalah satu bahagian dalam JKSM sahaja. Kuasa itu turut hadir kerana kami juga mempunyai jalinan hubungan strategik dengan agensi pihak berkuasa dan lain-lain agensi yang akan menjadikan orang ramai atau bekas suami yang ingkar itu mematuhi arahan surat kami," katanya. Menurut Dr. Mohd. Naim lagi, para pegawai BSK mempunyai kelulusan dan pengalaman dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah. Kelebihan itu bukan hanya membolehkan mereka mewakili mangsa di mahkamah tetapi khidmat nasihat mereka setaraf peguam syarie di luar sana. "Sebab itulah, saya kini dalam usaha untuk memastikan semua pegawai BSK memiliki Sijil Guaman Syarie Negeri. Kini hanya dua negeri sahaja yang belum berbuat demikian" katanya. |
Posted: 22 Jan 2014 09:50 PM PST Antara motosikal rekaan Oma yang dianggap luar biasa. Kini Omar atau yang lebih dikenali ramai dengan nama Oma Eastern Bobber melangkah lebih jauh dalam dunia mereka cipta dan membina motosikal. Berbekalkan wang simpanan hasil titik peluh selama ini dan lelongan barangan yang terdapat di kedainya yang beralamat Lot 1898, Jalan Sungai Kantan, Kajang, Selangor, Oma berazam membawa jenama yang diasaskannya, Eastern Bobber (EB), ke Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman. Baginya usaha tidak akan sia-sia kerana bukan saja langkahnya semakin panjang, bahkan bintangnya mungkin semakin terang untuk muncul sebagai pereka dan pembina motosikal dengan cara tersendiri biarpun tidak memiliki sebarang sijil rasmi. Walau jalan yang dilalui anak muda berasal dari Klang, Selangor, ini lebih sukar berbanding idolanya, Roland Sands, pereka motosikal buatan sendiri yang juga pengasas Roland Sands Design, dari California, ia bukan sesuatu yang mematahkan semangat. Malah kisah Oma mungkin lebih menarik kerana dia yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya menempatkan 'karyanya' bukan sahaja di dalam negara, malah hingga ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. Bagi Oma, pengembaraan yang dilaluinya itu bagi mencari kepuasan berkarya dengan jiwa yang lebih segar. Dia mengembara sambil menjual hasil seni motosikal buatan sendiri di seluruh pelusuk negara sehinggalah mengambil keputusan untuk berhijrah. Bagi Oma, tahun 2014 merupakan tahun terbaik memulakan pengembaraan melebarkan sayapnya ke AS. Apa pun peristiwa dia ditahan pegawai penguatkuasa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lima tahun lalu menjadi pemangkin semangat untuknya melangkah ke luar negara. "Masa itu saya ditahan kerana modifikasi motosikal yang tidak diluluskan. Kata pegawai JPJ itu, kalau nak buat motosikal macam ini pergi ke Amerika baru boleh buat. "Kata-kata pegawai ini membakar semangat saya untuk ke negara Uncle Sam itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kajang, baru-baru ini. Mengimbas kenangan awal terbabit dalam kerja-kerja mencipta dan membina sendiri motosikal, Oma berkata, dia bermula dengan kerja-kerja mengimpal pagar rumah pada sekitar tahun 1992. Ketika itu dia hanya beroperasi di sebuah kedai bersaiz kecil di belakang Masjid Kajang, sebelum berpindah dan menyewa sebuah kedai lebih luas di Jalan Sungai Kantan, sehinggalah sekarang. Di lokasi baru itulah jenama EB berkembang kerana selepas berpindah dia mula beralih bidang mereka dan membina motosikal. "Masa itu macam-macam cabaran serta kisah suka dan duka saya lalui. Alhamdulillah dalam lapan tahun saya berkarya, nama EB mula mendapat tempat dan menerima sambutan di luar jangkaan. "Nama ini saya ilhamkan sebab kita orang timur, Eastern dan Bobber pula gaya yang paling saya gemari," ujarnya. Dari hobi ke profesion Kerja-kerja membina motosikal buatan sendiri yang dilakukan Oma sebenarnya bermula sebagai hobi di masa lapang sebelum bertukar kepada profesion yang lebih serius. "Motosikal pertama saya bina pada tahun 1992 menggunakan enjin Suzuki GP 100 bergaya bobber. "Masa itu tak ada lagi motosikal jenis chopper dibina menggunakan enjin kecil. Siap sahaja motor itu, saya gunakan untuk mengelilingi Malaysia. "Ketika itu saya tidak tahu apa-apa pun tentang dunia motosikal buatan sendiri dan setelah menjejakkan kaki ke dunia tersebut barulah saya sedar yang kerja-kerja ini memberikan kepuasan selain mampu menjana pendapatan," katanya. Peringkat permulaan pengembaraan Oma, agak sukar kerana masyarakat pada masa itu lebih meminati motosikal beli-siap yang dijual di pasaran. Tanpa disangka sedikit demi sedikit motosikal buatan sendiri hasil rekaan Oma mula mendapat permintaan daripada mereka yang mempercayai kebolehannya, sehingga dia mampu menampung kehidupannya sekeluarga. "Kita orang timur tak perlu nak buat macam barat. Sebenarnya kita juga sama hebat cuma tidak ada peluang untuk ketengahkan bakat yang ada. "Setakat ini sudah lebih 100 biji motosikal yang telah saya bina, daripada main-main hingga yang serius. Alhamdulillah, semuanya mendapat sambutan dan ini menguatkan lagi semangat saya untuk mencuba nasib. "Saya suka hasilkan rekaan yang berlainan. Sejak dari dahulu saya gemar konsep bobber selain gaya chopper, motosikal masa hadapan, cafe racers, cruiser, tracker, falcon, post modern dan sebagainya," ujarnya. Daripada yang bersaiz panjang, tinggi, besar dan kecil hampir kesemuanya pernah dibina oleh Oma. Rekaannya bukan sahaja dikagumi malah diterima ramai dan tidak kurang juga yang terpegun melihat rekaan-rekaan motosikal yang luar biasa seperti Bat Pod. "Bat Pod yang saya hasilkan merupakan karya masterpieces dan saya bina hanya berdasarkan melihat pada gambar di internet. "Melalui gambar itu saya pelajari mekanikal yang diperlukan bagi menghasilkan motosikal jenis ini dengan kaedah try and error, macam-macam idea saya perolehi," katanya. Disebabkan terlalu asyik membina motosikal, acapkali juga dia terlupa waktu makan, malah kadang-kadang tidak menyedari siang sudah bertukar malam. Berkongsi salah satu cerita pahitnya, katanya, motosikal buatan sendiri yang menggunakan enjin GS 250 dan Virago 535 miliknya pernah disita JPJ. Kenangan itu menguatkan lagi kehendak Oma untuk melebarkan sayap ke negara yang lebih bebas menghasilkan karya sedemikian. "Ironi juga, kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia berkarya kerana bidang seni kreatif itu mampu menjana pendapatan dan perlu digalakkan, tetapi apabila hasil karya dibawa ke jalan raya ia disita mahupun disaman pihak berkuasa. "Akta JPJ mengatakan bahawa motosikal jenis buatan sendiri bahaya dan tak sesuai diguna pakai atas jalan raya. "Saya rasa peraturan itu perlu dilihat semula kerana hasil kreatif seperti yang diusahakan pembina motosikal tempatan berpotensi untuk dipasarkan. "Pada pendapat saya, kajian terperinci perlu dijalankan kerana masyarakat kini semakin percaya dengan kebolehan pereka-pereka seperti kami yang menghasilkan karya masterpieces, bukannya keluaran kilang yang mudah didapati di pasaran," ujarnya. Jelasnya, hasil yang dibina pereka sepertinya itu digilai di negara luar dan undang-undang mereka tidak seketat di Malaysia. "Di negara jiran, pihak berkuasa tidak menyekat kerja-kerja kreatif seperti ini malah mereka digalakkan menghasilkan kerja-kerja kreatif. Sebab itu, pereka seperti kami perlu sedikit kebebasan untuk berkarya bukan duduk di bawah tempurung," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |