Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 26 Jan 2014 06:54 AM PST Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM BARU-BARU ini, sering terbaca di dada-dada akhbar keganasan yang berlaku dalam kalangan kita yang di luar kewarasan manusia berperikemanusiaan. Bapa menyembelih anak, kanak-kanak kecil yang baru mengenal dunia diperkosa, amuk hingga menikam orang awam, membunuh diri selepas menembak mati isteri dan bapa mertua, anak mengelar leher bapa, pengasuh mendera bayi dan pelbagai lagi kes yang membuatkan kita terfikir apa lagi selepas ini. Bila berbicara tentang keganasan, isu sosial sering dibangkitkan sebagai punca kepada keganasan. Contohnya rasa ketidakadilan yang berlaku dalam kelompok tertentu yang selalunya daripada golongan minoriti, dipanggil perceived injustice seperti kelompok yang mengalami masalah kemiskinan dan tidak diberi peluang dalam masyarakat. Juga golongan ekstremis dalam hal perkauman atau keagamaan. Mereka juga cenderung melakukan jenayah. Namun, menurut pensyarah yang juga pakar psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, ia juga mungkin berpunca daripada masalah psikologi dan gangguan mental. "Jenayah seperti pembunuhan bermula daripada pemikiran dan perlakuan yang ganas hingga mencederakan seseorang. "Ia selalunya berpunca daripada tiga faktor utama iaitu sosial, masalah psikologi dan gangguan mental. "Apa yang penting adalah pencegahan daripada merawat. "Personaliti-personaliti mereka yang cenderung melakukan keganasan selalunya dapat dilihat daripada peringkat awal. "Ibu bapa, rakan-rakan dan orang terdekat perlu memainkan peranan dengan mengambil tindakan jika melihat sebarang simptom yang meragukan", ujarnya. »gangguan mental Menurut kajian di Amerika Syarikat (AS), walaupun ada jenayah ekstrem disebabkan gangguan mental, ia hanya berlaku sebanyak lima peratus sahaja daripada jenayah keseluruhan. Antara yang terlibat dengan jenayah ialah golongan psikotik yang mengalami delusi atau kepercayaan mengarut dan halusinasi iaitu mendengar suara-suara tertentu yang mengarahkan mereka untuk bertindak sesuatu. "Mereka selalunya bertindak kerana berasa kedudukan mereka terancam. "Bezanya pesakit mental dengan mereka yang mengalami masalah psikologi ialah mangsa mereka terdiri daripada orang yang dikenali, selalunya ahli keluarga terdekat, bukannya secara rawak," ujarnya. Gangguan otak Ujar Dr. Muhsin, walaupun jarang berlaku, ada kes keganasan berpunca daripada epilepsi atau sawan. Terangnya, ada jenis sawan yang luar biasa iaitu pesakit bertindak di luar kawalan dengan mendapatkan senjata terdekat ketika sawan menyerang seperti pisau lalu berlari ke arah mangsa dan menikamnya. "Selalunya sawan tersebut berlaku selama lima hingga 10 minit dan pesakit tidak sedar akan kelakuannya," ujarnya. Peringkat awal Ciri-ciri seseorang yang mengalami masalah psikologi biasanya boleh dilihat daripada peringkat awal iaitu belasan tahun manakala masalah mental selalunya sukar dikesan. Bagi masalah personaliti antisosial, antara ciri-ciri yang boleh dilihat ialah lari dari rumah atau sekolah, tiada belas kasihan terhadap haiwan, memaksa seseorang melakukan hubungan seks dan mereka gemar melanggar peraturan. "Contohnya jika remaja tersebut sering terlibat dalam pergaduhan dan tidak mempunyai rasa takut, ia mungkin tanda-tanda untuk menjadi personaliti antisosial. "Segelintir mat rempit juga dipercayai mempunyai ciri-ciri tersebut kerana tidak mempunyai rasa takut dan agresif," ujarnya. Mereka juga mungkin sukar tidur, gemar menyendiri dan bercakap seorang diri. Sebab itulah ujar Dr. Muhsin peranan keluarga amat penting dalam membentuk peribadi anak-anak daripada peringkat awal. "Ada kes mereka didera atau dibuli dari kecil hingga menyebabkan keyakinan diri dan ego mereka terencat. "Apabila menginjak dewasa, mereka yang asalnya mangsa mencari mangsa lain yang boleh dibalas," terangnya. »Psikologi Personaliti antisosial Ujar Dr. Muhsin, masalah psikologi berlaku apabila seseorang itu berfikir dan melihat keadaan persekitaran dengan cara sendiri menyebabkan mereka boleh bertindak di luar kewajaran. Contohnya, mereka yang mengalami masalah personaliti antisosial yang selalunya tidak mengendahkan undang-undang, tidak memikirkan persepsi orang lain dan bertindak atas keinginan sendiri. "Bila berlaku kecelaruan sedemikian, biasanya mereka tidak mempunyai belas kasihan dan berpendapat penyelesaian masalah adalah dengan keganasan. "Terutamanya mereka yang mempunyai ciri passive-agressive menambah risiko untuk mereka bertindak ganas. "Dalam keadaan biasa, mereka berdiam seperti tidak mempunyai masalah dan tiba-tiba naik berang serta tidak dapat mengawal kemarahan," terangnya. Tambah Dr. Muhsin, psikopat juga merupakan satu daripada cabang dalam masalah personaliti antisosial yang selalunya mereka tiada belas kasihan dan kecacatan emosi kerana tidak dapat menerima penghayatan daripada orang lain. Narsisistik Mereka yang mempunyai ciri masalah psikologi narsisistik biasanya berasa dirinya mempunyai ego yang besar dan perlu diendahkan masyarakat. Apabila mereka berasa tidak diterima, mereka mungkin akan bertindak balas secara agresif. "Berbanding dengan personaliti antisosial, narsisistik masih mempunyai simpati manakala personaliti antisosial tidak mempunyai hubungan emosi dengan orang sekeliling. "Narsisistik dan personaliti antisosial berasa melakukan keganasan merupakan cara untuk memuaskan hati mereka tetapi setiap jenayah telah dirancang dan mangsanya dikenal pasti," terangnya. Impulsif Mereka yang mengalami masalah impulsif iaitu suka mengikut gerak hati pula selalunya lebih cenderung melakukan kecederaan daripada pembunuhan. Seperti baran, mereka selalunya tidak dapat mengawal perasaan marah lalu berlakunya pertengkaran yang tidak dirancang. Tindak balas mereka melulu dan risiko meningkat jika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Ditambah dengan masalah sosial dan persekitaran, seseorang yang mengalami masalah impulsif cenderung melakukan kecederaan menggunakan alatan di sekelilingnya. »rawatan Pencegahan lebih baik daripada merawat. Terang Dr. Muhsin, semuanya bermula daripada rumah sejak dari awal. Ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik dan memastikan anak-anak mereka mendapat didikan yang sempurna. "Pengaruh rakan sebaya begitu kuat, maka ibu bapa perlu menapis rakan-rakan anak mereka supaya membentuknya ke arah positif. Namun jika ia sudah berlaku, perlu lihat daripada semua aspek, contohnya masalah sosial. "Perlu ada agensi-agensi tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu golongan yang mengalami beban sosial untuk meningkat taraf hidup mereka," terangnya. Mereka yang terdekat juga perlu melihat perkembangan pesakit seperti perubahan kelakuan daripada periang menjadi pendiam, tidak boleh tidur malam dan mengambil alkohol atau dadah. Dapatkan rawatan seperti berjumpa kaunselor atau bertemu doktor. Antara ubat yang digunakan bagi mereka yang mempunyai gangguan mental ialah antipsikotik, iaitu ubat bagi menghilangkan delusi. "Ubat-ubat yang diberikan perlu diambil mengikut sukatan dan tempoh yang diberitahu kerana risiko untuk berulang amat tinggi jika berhenti memakannya," ujarnya. »stigma Menurut National Health and Morbidity Survey 2011 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11 peratus orang dewasa di negara ini mengalami masalah mental dan mengejutkan ialah 20 peratus kanak-kanak turut mengalaminya. Masalah dengan rakyat Malaysia ialah stigma masyarakat yang tidak dapat menerima jika mengetahui seseorang itu mengalami masalah mental. Ini menyebabkan kebanyakan kes lambat dirawat kerana masyarakat yang mempunyai ahli keluarga bermasalah sedemikian bertindak `menyorok' mereka daripada umum. "Menurut Pendaftaran Kesihatan Mental Kebangsaan, kebanyakan kes skizofrenia hanya dirujuk kepada doktor setelah lebih dua bulan mengalaminya. "Perkara ini perlu diambil serius kerana jika tidak dirawat daripada peringkat awal, perkara ini akan menjadi lebih serius," terang Dr. Muhsin. Stigma masyarakat amat membimbangkan kerana ibu bapa sering mengambil jalan rawatan alternatif dahulu sehingga berhabis duit kerana risau diketahui orang ramai. Sehinggalah tiada jalan lagi, barulah pesakit dibawa berjumpa dengan doktor. Keadaan ini, ujar Dr. Muhsin perlu diubah agar rawatan awal boleh dilakukan dan tujuannya ialah memulihkan pesakit kembali seperti sedia kala jika berkemampuan. »Info Nama Khairu Norliza Khairudin Umur 28 tahun Kerjaya Penyampai radio, pengacara TV, kolumnis dan penulis skrip |
Posted: 26 Jan 2014 06:54 AM PST "KEBANYAKAN wanita khususnya yang telah berumah tangga suka menyimpan masalah mereka tanpa memberitahu pasangan masing-masing dengan alasan nak jaga hati keluarga mentua dan perasaan suami. Sebenarnya jika terlalu banyak menyimpan perasaan, ia boleh membinasakan diri sendiri. "Saya bukan bercakap pasal wanita zaman sekarang sahaja, tetapi sejak zaman dahulu lagi. Kata orang tua-tua `tak ada dulu tak ada sekarang.' Saya masih ingat ketika saya masih remaja, saya hairan mengapa emak berkorban segalanya untuk suami sedangkan pengorbanannya tidak dihargai oleh ayah saya.'' Itu cerita Nurulaine dalam e-melnya. "Cuba bayangkan, dulu emak saya semasa hayatnya tak pernah merasa pakai baju mahal-mahal. Paling mahal RM3 semeter. Emak tak pernah diajak berjalan memilih pakaian yang digemarinya, apa lagi bercuti bersama keluarga walaupun ke Port Dickson (PD). Kata ayah itu semua tak berfaedah, membazir dan perbuatan riak. "Tetapi hari ini setelah ayah kahwin baru, isteri baru ayah sentiasa bergaya dengan fesyen pakaian terbaru, itu belum masuk kira fesyen tudungnya, semuanya mengikut trend orang muda sekarang. "Saya kecewa dengan perubahan ayah. Kalau dulu apa saja emak minta belikan, dia kata membazir. Dia langsung tidak kasihan dengan emak yang berada di rumah. "Tetapi hari ini dia boleh membawa isteri baru pergi makan angin ke Langkawi. Dapat tambang kapal terbang harga murah. Kami yang bekerja ini pun tak pernah pergi makan angin jauh-jauh, kerana ada anak-anak masih kecil. "Sebenarnya saya dengar mereka melancong hingga ke Indonesia termasuk Medan, Jakarta, Bandung, Bukit Tinggi dan Jogja. Saya cuma terfikir ketika melancong ke negara orang tu pernah tak ayah teringatkan arwah emak? Sebab dulu jangan kata nak bawa emak pergi melancong ke luar negara, nak pergi ke PD pun payah. Kami pergi ke PD tetapi ayah buat muka masam. Emaklah yang melayan kami empat beradik. "Tapi sekarang apabila kami tengok ayah sering makan angin dengan isteri baru, kami adik-beradik mulalah bercakap sesama sendiri. Bukan mengumpat, tetapi teringatkan arwah emak yang tak pernah merasa seperti apa yang isteri baru ayah dapat rasa sekarang. Bila ingatkan itu semua kami jadi sedih. "Terutama saya dan acu Ella, tapi abang long tak ambil peduli. Malah dia kata biarlah ayah pergi makan angin, dia guna duit simpanannya sendiri. Memang betul. Tetapi apakah dia pernah fikirkan pengorbanan emak yang turut sama berjimat supaya ayah boleh simpan banyak duit? Emak ikat perut supaya ayah boleh simpan duit. "Sekarang setelah berumah tangga saya dapat rasakan dan bayangkan betapa susahnya hati emak setiap kali kami minta duit tambahan ke sekolah atau ajak emak pergi makan angin ke PD. Sebab emak kata ayah tak cukup duit untuk tanggung makan minum kami, nak bayar tambang bas dan beli baju raya. Ayah kata dia perlu simpan duit untuk masa depan. "Tetapi sekarang duit yang ayah simpan untuk siapa? Bukan untuk kami semua, tetapi untuk ayah sendiri. Saya dan Acu sering bercakap pasal kisah kami masa kecil dulu betapa susahnya nak minta duit ayah. Kata emak ayah perlu simpan untuk kami, tetapi sah kini duit simpanan ayah bukan untuk kami, apa lagi emak, sebaliknya untuk ayah sendiri dengan isteri barunya. Bila teringatkan itu semua, saya jadi kasihan dengan arwah emak. NAIK ANGIN "Saya rasa emak terlalu banyak menyimpan perasaan yang tak pernah dapat dizahirkan kepada ayah. Sebab emak tak berani berbual dengan ayah kecuali ada perkara penting, kalau nak bercakap kena tengok mood ayah baik atau naik angin. Masalahnya, ayah sentiasa naik angin setiap kali balik rumah. Muka tak pernah senyum, masam memanjang. Kami memang takut bila ayah balik. Jadi masa bila emak boleh berbual dengan ayah secara baik. "Silap cakap, atau tersalah waktu pasti emak kena tengking. Jadi kalau ada masalah emak selalu simpan dalam hati. Agaknya itulah sebab emak meninggal dunia semasa masih muda tak sampai 50 tahun. Maaf! Saya tak nafikan ajal maut di tangan Allah, tetapi sedihnya emak meninggal dunia sebelum dapat menikmati hasil yang disemainya terhadap kami selama ini. "Masa tu, cuma abang saja bekerja. Yang lain masih belajar dan bersekolah. Walaupun abang bekerja, tetapi orang lelaki bukan nak bagi emak duit, sebaliknya selalu minta bantuan emak dan ayah sebab tak cukup duit nak pergi kerja ketika hujung bulan. "Walau apa pun kata abang long, kami lebih rapat dengan emak dan kami faham perasaan emak yang sering sedih kerana tak dapat luahkan perasaannya, kerana itulah juga punca emak diserang penyakit darah tinggi dan mati mengejut. Jika emak dapat melahirkan isi hatinya, sudah tentu emak gembira, dan pasti dapat menikmati sedikit kegembiraan dalam kehidupan yang dipanggil hidup bersuami isteri. "Emak meninggal dunia sendirian dalam rumah. Waktu itu saya balik sekolah, saya fikir emak tertidur atas sofa, rupanya emak dah meninggal. Saya panggil emak tak jawab. Peristiwa itu tetap terpahat di hati saya hingga kini. "Melihat keadaan emak dan memikirkan hidup saya kini, maka saya putuskan tidak akan simpan apa juga yang terbuku di hati daripada pengetahuan suami, saya zahirkan dan ajak berbincang, supaya suami faham masalah dan apa yang terbuku di hati saya. "Kalau suami kata dia nak simpan duit, saya pun hendak simpanan juga. Saya tolak hasrat suami buka akaun bank bersama kerana saya mahu sama-sama menikmati simpanan dan berbelanja mengikut kemampuan saya. Untuk apa simpan duit banyak kalau akhirnya kita tidak menikmati apa yang kita simpan dan korbankan selama ini. "Saya rasa masalah seumpama ini bukan saja dihadapi oleh emak saya, malah ramai lagi wanita yang menderita sendirian, kerana mereka tidak ada tempat hendak mengadu, selain berdiam diri kerana takutkan suami.'' Demikian pandangan Nurulaine, nasihatnya supaya isteri jangan terlalu simpan perasaan akibatnya boleh memburukkan diri sendiri. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |