Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Hiperhidrosis: Peluh berlebihan Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST Masalah perpeluhan berlebihan boleh menyebabkan badan berbau busuk. Soalan Saya mengalami masalah perpeluhan melampau sejak remaja lagi. Saya berasa malu kerana peluh dirembeskan begitu banyak tidak kiralah sama ada ia keluar menerusi tapak tangan atau ketiak. Kadang-kadang saya rasa bau yang tidak selesa lebih-lebih lagi ketika saya didatangi haid. Bagaimana saya mahu mengatasi masalah ini? Ku Za, Terengganu. Jawapan Pada pandangan saya, anda mengalami masalah perpeluhan berlebihan pada anggota badan. Keadaan peluh yang melampau ini ialah sejenis penyakit yang dikenali sebagai hiperhidrosis. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui keadaan ini sebagai penyakit. Kebanyakannya beranggapan ia sebagai masalah biasa yang terjadi pada semua orang. Dari segi perubatan, hiperhidrosis ialah masalah peluh berlebihan yang terjadi dalam satu peratus populasi. Ada tiga jenis hiperhidrosis, iaitu hiperhidrosis berpunca daripada emosi yang selalunya membabitkan telapak tangan, kaki serta ketiak, hiperdrosis setempat dan hiperhidrosis menyeluruh iaitu di seluruh badan. Punca hiperhidrosis ini kurang jelas dan ia dikaitkan dengan aktiviti berlebihan saraf simpatetik dalam badan dan sebahagian kecil kerana pembawaan genetik. Masalah ini pula boleh dialami baik lelaki mahu pun perempuan dan ia juga tidak mengira faktor usia. Bagi mendapatkan rawatan hiperhidrosis ini, saudari perlu berjumpa pakar kulit kerana ada pelbagai kaedah rawatan dari segi ubat-ubatan dan juga pembedahan. Hiperhidrosis menyeluruh mempunyai kaitan dengan masalah penyakit kanser dan urat saraf, masalah metabolik seperti hipertiroidisma, diabetes, hipoglisemia, gout, pheochorocytoma dan juga menopaus. Penyakit–penyakit lain yang menyebabkan demam juga boleh menyebabkan berpeluh satu badan. Ini penting bagi mencari punca-punca hiperhidrosis yang boleh dirawat dengan betul. Malah ada beberapa ujian yang perlu dilalui. Dari segi rawatan, usaha mengatasi hiperhidrosis ini juga menjadi satu cabaran bagi doktor. Selain itu, ada pelbagai ubat yang turut digunakan untuk merawat hiperhidrosis. Suntikan toksin Botulinum atau Botox misalnya, amat berkesan untuk rawatan hiperhidrosis pada telapak tangan dan di bawah ketiak. Pada masa sama, ada juga kaedah pembedahan yang digunakan sekiranya rawatan secara perubatan gagal. Rawatan ini memerlukan prosedur yang mana saraf simpatetik dimusnahkan secara endoskopi. Pembedahan lain adalah dengan membuang kelenjar peluh dengan menggunakan laser dan pembedahan. Oleh kerana rawatan hiperhidrosis ialah sesuatu yang mencabar dan keberkesanannya tidak seratus peratus, maka saudari perlu berjumpa pakar untuk kaunseling. |
Posted: 19 Jan 2014 06:27 AM PST Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN RASA sengal di celah kelengkang tidak mengganggu aktiviti seharian Ahmad (bukan nama sebenar). Ahmad masih menjalankan aktiviti seharian seperti biasa. Kadang kala dia merasakan sesuatu seperti tersembul di paha dan kelengkangnya. Tambahan pula benjol berkenaan tidak sakit dan seolah-olah 'hilang' apabila Ahmad berbaring. Bagaimanapun, lama kelamaan Ahmad yang aktif bersukan merasa mual dan muntah menyebabkan dia pergi mendapatkan rawatan doktor. Ahmad didiagnosis menghidap hernia atau dalam bahasa mudah, angin pasang yang biasa dihidapi oleh lelaki. Dia agak bernasib baik kerana menerima rawatan awal. Dengan rawatan dan penjagaan sempurna kemungkinan besar hernia tidak akan berulang. Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, hernia yang biasanya berlaku di celah paha dipanggil inguinal atau groin hernia. "Hernia jenis ini lebih banyak dihidapi oleh lelaki," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini. Dr. Jonah berkata, risiko seorang lelaki menghidap hernia inguinal ialah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita, malah sebahagian besar bayi yang baru lahir dan kanak-kanak yang menghidap hernia ini juga ialah lelaki. "Wanita juga terdedah kepada hernia walaupun peratusannya kecil," katanya. Hernia disebabkan satu benjolan organ atau tisu yang masuk melalui bukaan abnormal disebabkan oleh kelemahan atau kecederaan otot. Hernia juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian pusat di celah kelangkang atau bahagian tubuh yang mempunyai rongga seperti diafram antara dada dan perut. "Sesetengah hernia berlaku sebaik-baik saja seorang bayi dilahirkan atau selepas beberapa tahun. "Sebahagian pula menghidap hernia pada pertengahan umur atau usia tua, hernia juga boleh berlaku secara tiba-tiba. "Sebahagian besar komponen hernia adalah organ yang terdapat di dalam perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus dan masuk ke bahagian abnormal ini," katanya. » Rawatan Dr. Jonah berkata, pesakit yang pernah menghidap hernia pada satu bahagian anggota (kiri atau kanan) berisiko terkena pada bahagian sebelah lagi. "Pesakit yang menghidap penyakit tertentu seperti batuk atau sembelit kronik, berat badan berlebihan, bayi lahir tidak cukup bulan dan pernah menghidap hernia berisiko menghidapi hernia berulang jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat," katanya. Menurut Dr. Jonah, pada peringkat biasa, organ usus yang tidak terperangkap dalam hernia dan boleh ditolak masuk dikategorikan sebagai tidak serius. Jika usus tidak terperangkap dalam hernia, keadaan ini biasanya tidak serius. "Biasanya pesakit tidak mendapatkan rawatan doktor kerana terdapat benjolan tidak sakit di permukaan kulit berdekatan pusat atau groin yang menjadi besar semasa batuk atau bersin. "Mereka hanya akan muntah dan abdomen terasa sakit jika usus tersepit," katanya. Biasanya, jika ini berlaku, pesakit boleh menolak hernia dengan lembut ke dalam dinding otot dengan sedikit tekanan. Dr. Jonah berkata, jika hernia keras atau tidak masuk semula, doktor akan merujuk pesakit kepada pakar. Hernia perlu dibetulkan melalui pembedahan kecil untuk mengelak usus tersepit. Berulang Sesetengah pesakit yang mengalami hernia berulang mendapat komplikasi tinggi, terutama dari segi saiz hernia. Risiko hernia berulang adalah disebabkan otot dan tisu lemah, apabila ada tekanan yang keadaan ototnya semakin lemah. "Wanita juga terdedah kepada hernia tetapi ia jarang berlaku. Hernia dalam kalangan wanita biasanya membabitkan wanita berusia melebihi 50 tahun," katanya. Dr. Jonah berkata, hernia boleh dirawat dengan pembedahan kecil dengan memasukkan semula organ yang terkeluar. "Satu lagi pembedahan dengan memasukkan jaring plastik atau mesh di celah paha atau di bahagian hernia untuk menguatkan bahagian lemah selain mengurangkan risiko hernia berulang. "Jaring atau mesh dimasukkan dan ditampal di bahagian lemah. Kaedah ini biasanya dilakukan untuk mengelakkan hernia berulang dan ia lebih popular di Barat," katanya. Selain itu pembedahan laparoskopik juga boleh digunakan tetapi kaedah ini jarang dilakukan di sini kerana kosnya tinggi dan kurang tenaga mahir. Bagi pesakit warga emas yang mengalami pelbagai komplikasi jika dibedah disarankan memakai tali pinggang khas untuk mengelakkan hernia. Menurut Dr. Jonah, komplikasi pembedahan adalah rendah. "Komplikasi utama ialah hernia berulang. Kadarnya berulang rendah jika kerosakan otot tisu adalah sedikit," katanya. Cara terbaik menangani hernia ialah pesakit perlu menurunkan berat badan jika mereka tergolong dalam kumpulan obesiti. Pesakit yang mengalami sembelit kronik pula digalakkan mengambil makanan berserat tinggi. Pesakit dinasihatkan agar berhenti merokok terutama bagi mereka yang ada masalah paru-paru atau batuk yang kronik. Dr. Jonah berkata, pesakit perlu cepat mendapatkan rawatan kerana jika hernia berulang dan organ seperti usus kecil dan besar tidak dapat dimasukkan dalam masa enam jam, ia berisiko membawa maut. » Simptom Hernia Menurut Dr. Jonah, apabila otot lemah atas sebab-sebab tertentu terdapat peluang untuk organ keluar melalui lubang di otot. "Semua manusia mempunyai saluran inguinal dan biasanya lelaki mempunyai tiga lapisan dan dua pintu keluar dan masuk ke pundi kencing dan prostat," katanya. Injap di pintu keluar masuk boleh dibuka dan ditutup dengan bantuan otot dan apabila otot bermasalah serta berlaku tekanan di perut akan menyebabkan organ tertolak masuk ke lubang di otot. "Biasanya mereka yang mempunyai penyakit paru-paru, perokok tegar dan batuk berpanjangan, boleh menyebabkan otot lemah dan tekanan kepada perut terdedah kepada hernia. "Warga emas, mereka yang menghadapi masalah buang air kecil dan masalah prostat dan sembelit mudah menghidap hernia," katanya. Hernia yang berlaku sejak lahir atau hernia kongenital masih tidak diketahui puncanya. Memandangkan hernia mudah menyerang bayi lelaki, ibu bapa dinasihatkan peka terhadap keganjilan pada kemaluan anak mereka dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mengelak ia menjadi lebih besar. "Ibu bapa dinasihatkan jangan mengurut bayi mereka bagi mengurangkan benjolan kerana mengurut akan memburukkan keadaan kerana ia membabitkan usus. "Cara paling selamat ialah melakukan pembedahan kecil yang tidak memerlukan kos tinggi. "Ia tidak membahayakan, malah pesakit boleh keluar pada hari yang sama selepas melakukan pembedahan itu," katanya. Jenis hernia Hernia di kelangkang (Groin hernia) Hernia selepas pembedahan (Incision hernia) Hernia di pusat (Umbilical hernia) Hernia atas pusat (Epigastrik hernia) Hernia inguinal banyak berlaku dan boleh dibahagikan kepada dua : Indirect iaitu hernia kongenital yang berlaku sejak lahir. Dianggarkan 800 hingga 1,000 dalam satu juta penduduk lelaki menghidap hernia jenis ini. Indirect boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur dan empat kali ganda lebih kerap ditemui berbanding direct hernia. Direct iaitu hernia yang dihidapi orang dewasa. Kebanyakan pesakit ialah lelaki berusia 40 hingga 60 tahun. Ada pesakit menghidap jenis inguinal hernia campuran direct dan indirect. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |