{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Politik

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Politik


Perbalahan politik Khalid-Azmin

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh ZULKIFLI SAINUDDN dan FAZRINAAYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my

Azmin Ali (Kiri) dan Khalid Ibrahim (kanan)

SHAH ALAM 18 Jan. - Perbalahan politik antara Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semakin ketara apabila kedua-dua pemimpin itu hari ini memberikan reaksi berbeza berhubung isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Hari ini, ketika Abdul Khalid menyatakan Kerajaan PKR Selangor akan memanggil Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha PKNS, Norita Mohd. Sidek Isnin ini berhubung isu itu, Azmin pula menyifatkan kenyataan perbadanan tersebut yang menjelaskan siapa yang bertanggungjawab menggugurkan beliau sudah cukup tegas dan jelas.

Biarpun, Azmin tidak mahu mengulas sama ada tindakan penggugurannya bermotif politik atau tidak namun ia masih belum mampu menutup perbalahan politik yang dikaitkan antara beliau dengan Abdul Khalid.

Difahamkan pengguguran Azmin telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli PKR yang menyokong beliau sehingga mereka mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, dalam usaha yang dilihat mahu cuci tangan Abdul Khalid baru-baru ini menyatakan pengguguran Azmin bukan dilakukan kerajaan negeri tetapi oleh Pengurus Besar PKNS.

Namun tindakan beliau dilihat menjerat diri sendiri apabila PKNS melalui Norita mengeluarkan kenyataan menjelaskan penamatan jawatan Azmin adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November tahun lalu yang disahkan pada 4 Disember tahun lalu.

Apabila melihat keadaan semakin kusut berikutan kenyataannya, hari ini Abdul Khalid menegaskan, Othman dan Norita akan dipanggil bagi memberi keterangan mengenai kedudukan Azmin.

Katanya, pengumuman akan dibuat selepas pertemuan tersebut.

"Saya sudah buat pengumuman, kita tidak akan mengulas apa apa sehingga ada perjumpaan dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sesi dialog peneroka projek pembangunan Alam Mutiara di sini hari ini.

Sementara itu, Azmin pula dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Mingguan Malaysia hari ini menyifatkan kenyataan PKNS sudah cukup tegas dan jelas.

Ia sekali gus menguatkan lagi dakwaan yang menyatakan pemecatan beliau itu berunsur politik, terutamanya menjelang pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu enggan mengulas tentang perkara tersebut.

"Saya tiada komen. Kenyataan PKNS sudah cukup tegas dan jelas," katanya.

Seperti yang diketahui umum, Azmin sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid melibatkan beberapa isu tertentu dengan kali terakhir pada 28 November lalu apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Malah sebelum itu Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.

DAP terus didesak lakukan perubahan

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Jenice Lee bersama Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass (kanan) dan ADUN Pujut, Fong Pau Teck ketika mengadakan sidang akhbar mengenai pemilihan DAP di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 18 Jan. - DAP yang masih berdepan dengan krisis pengesahan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) terus didesak supaya berubah khususnya dalam kepimpinan jawatankuasa disiplin parti agar prinsip demokrasi dan keadilan dapat ditegakkan.

Desakan itu disuarakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha yang melihat DAP kini dikuasai pemimpin autokrasi selain berat sebelah.

Malah tegasnya, berbanding parti-parti lain, DAP tidak mengamalkan sistem pemilihan secara terus melibatkan kelompok perwakilan yang besar di peringkat nasional serta negeri.

"Di peringkat nasional, wakil-wakil cawangan akan memilih 20 orang calon melalui sistem pengundian. Tetapi jawatan-jawatan penting seperti pengerusi atau setiausaha agung dipilih di antara 20 orang calon yang menang itu.

"Jika sesiapa ingin memegang jawatan penting, individu tersebut hanya perlu mendapat sokongan daripada 10 orang yang menang dalam pemilihan. Ini bermakna, pandangan calon yang menang itu, besar kemungkinan akan bercanggah dengan pandangan kelompok besar perwakilan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa disiplin parti juga perlu diubah dengan pemegang jawatan pengerusi serta setiausaha jawatankuasa itu tidak seharusnya memegang sebarang jawatan lain bagi mengelakkan percanggahan kepentingan.

"Contohnya, Pengerusi Disiplin parti, Tan Kok Wai merupakan Timbalan Pengerusi DAP. Ini jelas menunjukkan percanggahan kepentingan kerana seorang 'hakim' daripada peringkat pertama tidak harus berada dalam peringkat rayuan dan ini merupakan prinsip asas sistem rayuan yang berdasarkan keadilan semula jadi.

"Cuba lihat sistem yang diamalkan oleh UMNO dan MCA apabila Pengerusi Jawatankuasa Disiplin diketuai oleh ahli veteran yang bukan merupakan Ahli Majlis Tertinggi parti, selain mempunyai kelayakan profesional undang-undang. Inilah yang perlu digubal oleh DAP demi menegakkan demokrasi dan keadilan," jelasnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat