{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Menghormati 'roh' Putrajaya

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Pemandangan meriah Putrajaya semasa sambutan ambang Tahun baru 2014, baru-baru ini. - BERNAMA

MEMANG tidak ada permohonan untuk membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya. Jadi, tidak ada isu.

Namun, sekurang-kurangnya nada prihatin umat Islam begitu terserlah dalam isu ini.

Syabas dan terima kasih kita ucapkan kepada Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat yang begitu pantas mengekang isu ini dari berlarutan.

Tetapi satu hal yang perlu kita renung-renungkan, Putrajaya sejak dulu memang menjadi perhatian ramai.

Putrajaya adalah sebuah metropolis yang strukturnya dipahat oleh tangan-tangan manusia yang menghasilkan satu kehidupan tersendiri. Di situlah pusat baharu kerajaan Malaysia dan semua perkara berhubung dengan kerajaan bermula.

Putrajaya - dalam bahasa Melayu adalah 'putera yang berjaya', memberi tanggapan mengukuhkan kejayaan anak Diraja - Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama. Menamakan metropolis Persekutuan yang baharu selepas Tunku adalah tanda penghormatan yang mulia di pihak Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kesungguhan untuk mengingatkan rakyat Malaysia - sumbangan Tunku jangan diketepikan.

Putrajaya dibina untuk memanfaatkan insan dengan alam semulajadi. Seseorang harus menikmati pandangan bandar itu dari atas bukit kegunaan awam, untuk dapat melihat Perdana Putra yang seluas lima ekar, merupakan bangunan pentadbiran utama.

Seni bina Bangunan Perdana Putra contohnya 'amat sesuai digambarkan sebagai bertenaga, mencerminkan kekayaan Malaysia masa lampau, kini dan peranan negara di masa depan dalam dunia yang semakin kecil'. Ini merupakan tempat di mana gabungan batu-bata granit dan cantuman kaca mampu membentukkan struktur-struktur dan permukaan bangunan. Seni bina ini mempamerkan gabungan unsur-unsur Melayu dan Moorish serta norma senibina moden dan artifak, untuk membentuk satu paparan pusat pentadbiran yang berkekalan.

Putrajaya bukan 'calang-calang' destinasi. Pusat ini begitu dekat sekali dengan rencah politik tanah air. Suatu ketika di pihak Pas mungkin menggunakan faktor perbelanjaan sebagai senjata politik menentang pentadbiran Dr. Mahathir kerana didakwa 'berbelanja terlalu mewah' untuk Putrajaya. Ini mendorong Presidennya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor bertindak, sehinggakan beliau mencadangkan mungkin Putrajaya harus dilelongkan 'untuk menjaga kebajikan rakyat'. Itu adalah tahun 1998. Sejak itu beribu-ribu rakyat Malaysia datang dari dekat dan jauh melawat Putrajaya. Langsung bantahan politik yang melaungkan isu 'mahal' itu kebuntuan dan akhirnya senyap. Penjelasannya - tempat kediaman Perdana Menteri adalah warisan awam.

Barangkali yang cukup 'arif' dengan Putrajaya adalah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Anwar, yang tidak berpeluang menikmati keseronokan menduduki dan bekerja di pusat pentadbiran itu, sebelum kejatuhannya pada 1998, selaku Menteri Kewangan berkuasa dalam pengagihan kerja dan pembiayaan. Walaubagaimanapun, beliau secara terang-terang tidak mengambil tindakan untuk mempercepatkan pembinaan kediaman TPM di Putrajaya. Sebaliknya mengambil tindakan yang cepat untuk menyiapkan kediaman baharu PM, Seri Perdana.

Di kemuncak perbalahan politik-undang-undang antara Dr. Mahathir dan Anwar selepas 2 September 1998, pengkritik-pengkritik Anwar amat suka menegaskan bahawa kelengahan membina kediaman TPM, disengajakan. Ini kerana Anwar yakin beliau akan menduduki Seri Perdana dalam masa terdekat. Penegasan ini tidak pernah disahkan kepastiannya. Namun, ia telah dijadikan satu gurauan politik yang kuat untuk orang baru.

Putrajaya, yang tercetus ideanya oleh Dr. Mahathir pada 1993, dilaksanakan pada 1995 dan sedia untuk diduduki separa pada awal 1999, telah direncanakan rekod perjalanan yang begitu baik oleh para pengganti Mahathir serta wakil rakyatnya di situ. Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai rekod cemerlang ketika menubuhkan UMNO Bahagian Putrajaya yang ketika itu cuma mempunyai 800 pengundi.

Pada Mac 2004, Putrajaya dijadikan kawasan Parlimen terbaharu dengan pengundi berdaftar seramai 5,986 orang, atas usaha Tengku Adnan, bekas Menteri di Jabatan Perdana merangkap Setiausaha Eksekutif UMNO, yang telah menjadikan seluruh kawasan itu platform prestasi terbaik dari segi perpaduan dan sokongan kepada BN. Dan apabila pilihan raya umum tahun dilangsungkan dalam tahun berkenaan, Tengku Adnan menang ke atas calon Keadilan.

Masa beredar. Pembangkang terus mencuba menakluki Putrajaya, sehinggakan dijadikan modal sepanduk, poster dan risalah utama kempen pilihan raya.

Pada 2008, dengan 81 peratus pengundi yang keluar, Tengku Adnan tetap gah mengekalkan kerusinya dengan memperoleh 4,038 undi. Lawannya, Mohamad Noor Mohamad dari Pas, sempat lagi mendapat 1,304 undi.

Pada pilihan raya umum 5 Mei tahun lepas, ketika pengundi Putrajaya - sebahagian besarnya para pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam - tidak kenal Datuk Husam Musa secara peribadi, sebahagiannya pula hanya pernah dengar namanya tapi cukup maklum dia tidak ada jasa atau sumbangan kepada penduduk Putrajaya, Husam masih mampu meraih kira-kira 4,000 undi.

Berbanding 9,943 undi yang diperoleh penyandangnya, jumlah 4,402 undi itu dianggap sesetengah pihak 'masih boleh diracun' lagi dalam empat tahun mendatang ini.

Putrajaya sangat indah dan berfungsi. Menjadi tuan rumah kepada banyak acara peringkat kebangsaan dan perjumpaan 1 juta belia.

Berkata seorang guru al-Quran dari Mashhad, Iran, Mohammad Mashmoul, 31, ketika menyertai Tilawah Al-Quran ke-55 peringkat kebangsaan tahun lepas. Putrajaya, katanya, adalah sebuah tempat pemerintahan yang indah di dunia.

"Saya baharu pertama kali berkesempatan datang ke Malaysia dan hari ini saya berpeluang melihat Putrajaya yang selama ini hanya mampu didengari sahaja di Iran," ujar Mohammad.

Dari Seri Perdana, dengan menggunakan kamera digital, seseorang boleh menangkap gambar yang menjiwai seni pemandangan malam. Dihiasi dengan lampu-lampu dan bulan seakan-akan terapung merentasi langit malam, masjid dan kaki langit Moorish bersatu dalam warna-warna lembut, seseorang boleh merasai diberkati dan bersyukur - kerana diselubungi dalam persekitaran indah dan landskap menyerlah.

Bangunan pertama dibina di Putrajaya adalah Masjid Putra. Pejabat Perdana Menteri dibina di sisi masjid itu, dikatakan simboliknya semua keputusan kerajaan dibuat mendahulukan Islam. Masjid kedua, Masjid Besi yang dikenali kini Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dibina berdepan Istana Kehakiman - simboliknya semua keputusan hakim dibuat secara adil dan saksama berlandaskan prinsip-prinsip keadilan Islam.

Putrajaya - di mana segala isu boleh 'dinyalakan'. Di mana api yang kecil, menjadi begitu berbahaya nyalaannya yang sukar dipadam dalam masa singkat.

Tidak perlu 'dicuba-cuba' kontroversi, hatta 'konon sekecil kuman Hard Rock Cafe' di pusat pentadbiran ini.

Kelak, pasti segera mengundang 'semut menghurung gula'.

Prestasi pendidikan kita merosot?

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Ramai pelajar kita yang belajar di luar negara dan mendapat anugerah cemerlang. Asasnya sudah tentu dibina sejak dibangku sekolah lagi. - Gambar hiasan

BEBERAPA orang rakan guru yang sedang berkhidmat bertanya kepada penulis, betulkah prestasi pendidikan di negara kita kian merosot? Pertanyaan mereka mungkin merujuk keputusan kajian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Jawatankuasa Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) yang meletakkan negara dalam kumpulan sepertiga bawah dalam kalangan negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Kenyataan itu turut terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Baru-baru ini pula Laporan Bank Dunia menyatakan prestasi pelajar merosot akibat sistem pendidikan kita yang terlalu berpusat.

Sebagai pesara guru yang pernah berkhidmat lebih 35 tahun dalam bidang pendidikan, penulis menyangkal kenyataan rakan-rakan tersebut.

Ini disebabkan untuk menilai pencapaian pendidikan tidak boleh hanya melalui kajian yang ringkas dan melibatkan responden dalam bilangan yang kecil. Kajian yang komprehensif perlu merujuk kepada latar belakang sejarah, perbezaan lokaliti sekolah, kedudukan masyarakat majmuk, sistem pentadbiran negara dan dasar pendidikan kebangsaan.

Oleh itu penilaian terhadap keberkesanan pendidikan tidak mencukupi hanya bersandarkan kepada keputusan dua kajian iaitu PISA dan TIMMS sahaja.

Terdapat puluhan lagi kajian yang dilakukan oleh banyak badan antarabangsa. Ini termasuk dalam kalangan negara-negara OECD iaitu Organisation for Economic Co-operation and Development atau kajian pembangunan pendidikan oleh UNESCO, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di antara kajian itu ialah Student to Teacher Ratio by Country 2010' dilakukan oleh Institute for Statistics, UNESCO. Kajian ini membuat perbandingan nisbah bilangan guru dengan pelajar di peringkat sekolah rendah terhadap 207 buah negara. Hasil kajian itu mendapati negara kita mempunyai nisbah 1 guru kepada 13 pelajar. Kedudukan negara berada di peringkat yang sangat baik jika dibandingkan dengan negara lain malah termasuk di beberapa negara maju.

Kajian lain ialah National IQ Scores 2010' iaitu menilai tahap dan pencapaian inteligen pelajar berasaskan analisis IQ oleh Richard Lynn, Tatu Vanhanen dan Jelte Wicherts yang merupakan pakar psikologi dan sains politik. Kajian ini dilakukan dalam kalangan pelajar di 187 negara. Negara kita berada dalam kedudukan yang baik iaitu tempat ke-15 dengan jumlah skor 92 berbanding dengan negara yang berada di tangga pertama mendapat skor 108.

Kajian HDI atau Human Development Index 1975-2005' merupakan program pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengukur tahap pembangunan melibatkan indikator kesejahteraan kehidupan, pencapaian pendidikan dan kadar pendapatan tahunan. Kajian ini meletakkan negara di tangga ke-63 daripada 159 negara di seluruh dunia. Analisis statistik daripada kajian ini membolehkan setiap negara mewujudkan kerangka rujukan dalam bidang ekonomi dan sosial untuk berbagai kegunaan.

Selain itu, GGG Index atau The Global Gender Gap Index 2008' yang dibentangkan dalam World Economic Forum. Kajian ini dilakukan dengan kerjasama Universiti Harvard dan Universiti California, Berkeley. Ia melihat sejauh mana peluang dan tahap pencapaian pendidikan berdasarkan perbezaan jantina dalam kalangan 130 buah negara. Hasil kajian itu tidak mengecewakan kerana meletakkan negara dalam kedudukan pertengahan daripada keseluruhan negara yang dikaji itu.

Dalam kajian Budget Expenditures 2013 Country Ranks melalui sumber rujukan CIA World Factbook 2013 didapati negara kita menduduki tempat ke-44 daripada 162 negara yang dinilai. Kajian ini menilai jumlah bajet tahunan negara yang diperuntukan untuk bidang pendidikan. Bajet 2012 berjumlah RM75 bilion di mana 21% daripadanya diperuntukkan bagi bidang pendidikan. Sudah tentu bajet yang besar itu akan memberi impak terhadap perkembangan sektor pendidikan. Tidak banyak negara yang menyediakan peruntukan terbesar untuk pendidikan seperti yang diamalkan oleh negara kita.

Baru-baru ini dalam kenyataan akhbar Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Faridah Abu Hassan menyatakan bahawa kajian PISA atau Programme for International Student Assessment, tahun 2012 membuat penilaian membabitkan empat bidang iaitu Matematik, Sains, Bacaan dan Penyelesaian Masalah.

Menurutnya persampelan kajian ini melibatkan 164 buah sekolah dan responden seramai 5,729 orang pelajar Tingkatan 2 hingga 5. Kajian yang bermula tahun 2000 akan diadakan setiap tiga tahun sekali.

Sementara itu, kajian TIMMS atau Trends in International Mathematics and Science Study dilakukan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement memberi fokus kepada isi kandungan kurikulum.

Kajian ini menguji apa yang hendak diajar dan apa yang dipelajari oleh pelajar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains yang diadakan setiap empat tahun sekali. Responden kajian terdiri daripada pelajar dalam satu kelas sahaja di Tingkatan 2 melibatkan 150 buah sekolah yang dipilih secara rawak.

Ternyata bahawa persampelan kedua-dua kajian PISA dan TIMMS tersebut adalah terlalu kecil jika dibandingkan bilangan sekolah yang berjumlah 10,000 buah dan pelajarnya mencecah hampir 5.4 juta orang. Tambahan pula kita mempunyai berbagai jenis sekolah dan kedudukan lokaliti yang berbeza di seluruh negara.

Dalam situasi lain perbandingan pencapaian pendidikan antara sebuah negara dengan negara lain boleh dipersoalkan kerana setiap negara mempunyai dasar dan matlamat pendidikannya yang berbeza dan tersendiri.

Baru-baru ini pula Pengarah Bank Dunia bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau menyatakan sistem pendidikan kita yang terlalu berpusat dalam mengawal pengambilan guru dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian mereka.

Menurut laporan Bank Dunia sistem berpusat di mana Kementerian Pendidikan menetapkan perbelanjaan, pengambilan tenaga pengajar, sukatan pelajaran dan buku teks menyebabkan prestasi sesebuah sekolah sukar untuk diakses.

Sesungguhnya pentadbiran secara berpusat bukanlah suatu yang baharu. Sistem ini diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan dan turut melibatkan semua kementerian. Penulis berpendapat dengan wujudnya Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah berupaya mengurangkan kerenah birokrasi malah memudahkan sistem penyampaian, penyaluran peruntukan dan penyediaan segala keperluan sekolah.

Sistem pentadbiran berpusat diperlukan kerana pendidikan mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara dan untuk merealisasikan agenda nasional seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Natijahnya kualiti pendidikan kita tidak merosot. Setiap tahun ribuan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kini tumpuan tidak hanya di negara penutur jati Bahasa Inggeris tetapi beralih ke negara lain seperti Perancis, Jerman, Mesir, Russia, Korea Selatan dan Jepun.

Ramai yang menerima anugerah dan mencapai keputusan cemerlang dalam pengajian mereka. Justeru kejayaan dan kecemerlangan itu sudah tentu asasnya telah dibina ketika di bangku sekolah lagi!

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru

Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga

Pengarah Universiti UniSZA.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat