{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


100 sertai Cabaran Gua Batu Maloi

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
utusanN9@utusan.com.my

MUHAMMAD Nazri Elanggo Abdullah (kiri) memberi taklimat sebelum melepaskan kumpulan peserta cabaran di kawasan Gua Batu Maloi di Kampung Tanggai, dekat Johol, Negeri Sembilan, semalam.

KUALA PILAH 3 Jan. - Pelancongan berkonsepkan sukan terus mewarnai Tahun Melawat Malaysia 2014 khususnya di Negeri Sembilan apabila menarik perhatian lebih 100 peserta bagi menyahut Cabaran Gua Batu Maloi di Hutan Lipur Batu Maloi, Johol dekat sini.

Acara yang mencabar itu serta memerlukan penerokaan gua Batu Maloi di Kampung Tanggai, Johol telah disertai dengan konsep pencarian 'harta karun' yang tersimpan dalam gua berkenaan dan merupakan anjuran Maloi Adventures Team Enterprise dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

Menurut pengurusnya, Muhamad Nazri Ellango Abdullah, 41, destinasi gua Batu Maloi ini amat menarik dan sesuai dijadikan pelancongan berkonsepkan sukan.

"Sebanyak 30 peserta dari seluruh negara telah berkhemah di sekitar kawasan gua ini untuk menikmati keindahannya sebelum beraksi dalam cabaran yang kita anjurkan.

"Malah pada sambutan Tahun Baharu lalu, mereka juga meraikannya di gua ini melalui acara kenduri kampung, pertunjukan bunga api bersama penduduk tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam acara ini katanya, peserta sebanyak 10 orang setiap kumpulan dilepaskan untuk meneroka keunikan Gua Batu Maloi serta perlu sampai di 12 pusat pemeriksaan yang ditetapkan penganjur.

"Jarak keseluruhan cabaran ini adalah 2.38 kilometer dari tapak perkhemahan sehingga dalam gua batu granit yang sempit dan licin itu. Sebanyak 32 urus setia mengawasi cabaran ini untuk memberi panduan kepada peserta," katanya yang 14 tahun berpengalaman sebagai pemandu pelancong di gua ini.

Menurut Muhamad Nazri, ini adalah aktiviti sukan lasak dan memerlukan stamina untuk meneroka gua yang unik ini selain berhadapan dengan gua kecil yang menempatkan habitat kelawar, bentuk kapal dan sebagainya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Mohd. Saiful Zahari, 27, berkata meneroka kawasan gua ini memerlukan kerjasama pasukan apatah lagi lokasi itu dipenuhi batu granit yang licin selain banyak hidupan dan serangga.

"Paling mencabar peserta perlu melalui rekahan yang sempit untuk melepasi laluan dan kadang kala ada yang perlu menyusup, merangkak dan memegang dinding gua untuk mengelakkan daripada tergelincir," katanya yang juga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tampin.

Khairul Noor Ikram Kamaruddin, 30, kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Lumpur berkata, pengalaman kali pertama menyertai cabaran di Gua Batu Maloi ini sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

"Saya selalu melihat aktiviti sebegini dan tidak pernah mencuba. Apabila merasai sendiri cabarannya, barulah saya tahu bahawa banyak sekatan seperti laluan licin, sempit, gelap dan menakutkan dalam gua terutamanya di gua ini.

"Ini adalah sukan yang ekstrem dan cukup mencabar. Acara ini wajar dijadikan lebih besar di peringkat antarabangsa kerana Negeri Sembilan ada 'harta' yang berharga untuk dipromosikan kepada dunia," katanya.

Lembaga Adat Naning buat 21 laporan polis

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

ABD. Ghani Lajin (depan, empat dari kiri) bersama barisan Lembaga Adat Naning menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin adat Perpatih Naning di Taman Seri Naning, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 3 Jan. - Pertubuhan Adat Perpatih Naning Melaka (Perpatih) mendedahkan, sebanyak 21 laporan polis telah dibuat Lembaga Adat Naning sejak tahun 2011 terhadap seorang pemimpin adat itu yang didakwa melakukan beberapa kesalahan jenayah sejak menjawat jawatan berkenaan.

Pengerusinya, Abd. Ghani Lajin berkata, ketua adat itu dikaitkan dengan dakwaan menipu, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Selain itu, kata beliau, pemimpin yang sama juga dikatakan terlibat secara langsung dalam kegiatan penjualan bintang, darjah dan pingat kebesaran Adat Perpatih Naning.

Menurutnya, Lembaga Adat Naning dan kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf pengurniaan darjah kebesaran oleh pemimpin itu kepada orang ramai terutamanya dari luar wilayah adat Naning dan pengurniaan itu bukan amalan mereka.

"Kesalahan adat yang dilakukannya juga banyak sehingga memaksa Lembaga Adat Naning yang melantik beliau memecatnya dari jawatan itu secara adat dan bagi kesalahan sivil, kami menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk bertindak.

"Kuasa yang ada pada Lembaga Adat Naning terhad kepada pentadbiran adat sahaja dan tidak boleh melaksanakan hukuman terhadap kesalahan sivil, jadi kita serahkan kepada pihak yang berkaitan untuk bertindak," katanya dalam sidang akhbar di Balai Raya Taman Seri Naning, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Penaja Pertubuhan Anak Naning di Perantauan (Pawaning), Lt. Kol. (B) Mohd. Noor Saleh dan barisan Lembaga Adat Perpatih Naning.

Abd. Ghani berkata, Perpatih kini berusaha mengembalikan kegemilangan adat Perpatih Naning di negeri ini dengan membersihkan institusi adat itu daripada sebarang kemelut yang melanda sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Apa yang telah berlaku kebelakangan ini telah mencemarkan institusi adat dan kita tidak mahu lagi ada pihak yang mempergunakan adat untuk menipu dan mengaut keuntungan bagi kepentingan diri sendiri kerana jika tidak dibendung ramai akan mendakwa diri mereka pemimpin Adat Naning yang sah," katanya.

Buru dalang peralat golongan muda sertai perhimpunan haram

Posted: 03 Jan 2014 10:08 AM PST

ALOR GAJAH 3 Jan. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa memburu dalang yang telah memperalatkan golongan muda untuk menyertai perhimpunan haram di ibu negara malam kelmarin.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Masjid Tanah, Hameed Basheer berkata, perhimpunan itu yang kononnya untuk membantah kenaikan harga jelas mencemarkan imej negara.

"Kita percaya bahawa ada pihak mempergunakan golongan muda untuk membuat huru-hara dengan merempuh sekatan polis, membaling objek dan mengganggu acara yang dihadiri oleh ribuan rakyat.

"Ini bukan caranya kerana banyak saluran boleh digunakan pihak tertentu untuk menyuarakan bantahan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Pemuda UMNO Masjid Tanah membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini malam kelmarin.

Sebanyak 25 laporan polis dibuat Pemuda UMNO Masjid Tanah, Kelab Rukun Tetangga dan Gerakan Belia 4B dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar daerah ini bagi membantah perhimpunan haram itu.

Hameed seterusnya meminta rakyat menilai kesan buruk perhimpunan haram sebelum ini yang bukan sahaja menimbulkan huru-hara tetapi juga menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Ini membuktikan peserta yang terlibat hanya dipergunakan untuk mencapai matlamat politik pihak tertentu sahaja.

"Oleh itu, saya menyeru golongan muda supaya jangan mudah terpedaya, cuba siasat dan menilai buruk baiknya sebelum mengambil keputusan menyertai perhimpunan haram," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat