Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD KUALA LUMPUR - Tiga peristiwa penting sepanjang 2014 bakal menjadi pertimbangan utama Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila bersidang hari ini dalam memuktamadkan jadual perlawanan Liga Malaysia musim ini. Puasa Ramadan, pusingan akhir Piala Dunia Ke-20 dan Sukan Asia Ke-17 di Incheon akan lebih memanjangkan tempoh Liga M musim 2014 dengan beberapa aksi Liga Super, Perdana, Piala FA dan Malaysia perlu direhatkan seketika dan tarikhnya dipinda. Secara kebetulan, 1 Ramadan 1435 Hijrah, tahun ini bakal disambut umat Islam seluruh dunia pada 28 Jun, 16 hari selepas tirai Piala Dunia 2014 disingkap di Arena Sao Paulo, Brazil yang menemukan tuan rumah dengan Croatia tanggal 12 Jun. Mengikut tradisinya seperti tahun-tahun terdahulu, aksi Liga M turut bakal berehat lebih sebulan sepanjang Ramadan termasuk sempena Piala Dunia yang pastinya sudah mencuri tumpuan dan minat peminat bola sepak tempatan (menerusi siaran langsung televisyen). Perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro dijadual pada 13 Julai sementara umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai malah lima hari sebelumnya, bermula pula Sukan Komanwel XX di Glasgow. Ketika Liga Super dan Perdana kian berpenghujung dan Piala Malaysia mendekati, FAM pasti perlu menangguhkan lagi aksinya bagi memberikan laluan persiapan skuad bawah 23 tahun negara (Harimau Muda A dan tiga pemain senior) ke Sukan Asia Incheon dari 19 September hingga 4 Oktober. Ketika dirujuk kepada Pengerusi JKPT yang juga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah semalam, katanya: "Kami akan mengambil kira kesemua keadaan itu dalam menentukan perjalanan Liga M. Tunggulah keputusannya selepas mesyuarat (hari ini). "Saya tidak pasti sama ada kita perlu rehatkan liga atau tidak (disebabkan ketiga-tiga peristiwa dan kejohanan tersebut). Kami akan cuba semak semula (jadual jika didapati bertindan, termasuk penyertaan Selangor dan Kelantan dalam Piala AFC 2014).'' Afandi turut tidak menolak kemungkinan menjadikan kes lima pemain Kuala Lumpur yang sudah digantung seumur hidup dan tujuh lagi yang masih dibicarakan Jawatankuasa Tatatertib (JTT) FAM atas kes mengatur keputusan Liga Perdana 2013, sebagai salah satu agenda JKPT, hari ini. JKPT juga perlu menyentuh dan memastikan isu, nasib dan status kesemua pemain berkenaan yang ada di antaranya mungkin sudah didaftarkan pasukan tertentu Liga M (termasuk Liga FAM) bagi musim 2014. Lima yang sudah digantung seumur hidup daripada kegiatan bola sepak selain didenda RM20,000 seorang oleh JTT pada 20 November lalu ialah Phoo Kai Lun, Jeremy Danker, Hafizi Roslee, Khairul Anuar Shafie dan Fadhlullah Yunsifar. Tujuh lagi, Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Syazwan Mohamed Rani, Mugilan Kartik Jaya Gobi, Muhammad Azwan Jatin, Sivaraj Sadubathi dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor, hanya akan mengetahui nasib mereka, Selasa ini. |
KAFA mahu kerjasama dengan PBNJ Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST Annuar Musa KOTA BHARU - Usaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) melakukan transformasi dalam aspek pembangunan sukan bola sepak di negeri itu wajar dijadikan panduan. Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha yang dilakukan oleh PBNJ sejak setahun lalu telah berjaya mengangkat kembali martabat bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT). "Saya menyatakan kekaguman di atas apa yang sedang diusahakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ini. "KAFA telah melakukan banyak usaha tetapi saya berdepan banyak kekurangan. Saya nampak JDT memang layak menjadi negeri contoh. "Bagaimana keinginan Tunku Ismail (memajukan bola sepak) sama juga seperti saya, tetapi mereka (PBNJ) mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan, syarikat swasta dan masyarakat. Itu membolehkan PBNJ mempunyai satu rancangan cukup menarik dan wajar diikuti negeri lain," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengulas mengenai pertemuan antara beliau dengan Presiden PBNJ itu di Istana Pasir Pelangi pada 18 Disember lalu. Annuar memberitahu, pertemuan tersebut bagi membincangkan hal berkaitan bola sepak dan ia memberi impak yang cukup positif. Katanya, beliau akan mengesyorkan kepada Tunku Ismail untuk membolehkan satu kerjasama diwujudkan antara KAFA dengan PBNJ termasuk menganjurkan seminar pengurusan serta pentadbiran bola sepak melibatkan kedua-dua pihak. "Saya telah minta satu firma yang terlibat dalam pengurusan sukan untuk bekerjasama dengan dengan JDT dan saya akan sembahkan kertas kerja kepada Tunku Ismail. Banyak negeri mempunyai fasiliti tetapi pengurusan mereka tidak begitu baik," ujarnya. Annuar berkata, beliau tertarik dengan pembangunan prasarana dilakukan PBNJ dengan menaik taraf kemudahan di Stadium Larkin bagi memenuhi standard bola sepak dunia. "Di Kelantan kita sendiri pun tak ada padang latihan rasmi. Hanya sekali sekala menyewa padang stadium (Stadium Sultan Muhammad IV) itu pun masih tidak memenuhi piawaian bola sepak antarabangsa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |