Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kesal sikap peniaga Wakaf Che Yeh
- Majlis Pengguna Pasir Mas kecewa dengan laporan blog
- PPDNKK rampas barang bernilai RM83,809
Kesal sikap peniaga Wakaf Che Yeh Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST Ab. Ghani Harun memeriksa tanda harga di sebuah kedai menjual kain batik di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI KOTA BHARU 21 Jan. — Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan kesal terdapat segelintir peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini, mengambil kesempatan menaikkan harga barangan, khususnya melibatkan pelancong. Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun berkata terdapat unsur penipuan di dalam urusan jual beli di pasar borong berkenaan di mana pelanggan yang tidak bertutur dialek Kelantan akan dikenakan harga lebih mahal. "Kita dapat maklumat yang peniaga di sini mengambil kesempatan terhadap pelanggan yang datang dari luar, mereka akan kenakan harga tinggi kepada orang luar. "Oleh itu, kita mengingatkan semua peniaga agar meletakkan tanda harga bagi mengelak berlakunya penipuan harga," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat lebih 70 peratus peniaga di Wakaf Che Yeh tidak meletakkan tanda harga di setiap barangan yang dijual. "Kita akan rampas barang yang tidak diletakkan tanda harga dan peniaga juga boleh berdepan hukuman di mahkamah," katanya. Dalam perkembangan lain, Ab. Ghani berkata, terdapat lebih 403 kes melibatkan peniaga tidak meletakkan tanda harga telah direkodkan sepanjang tahun lepas. "Tahun ini, lebih 50 kes direkodkan dan dalam operasi semalam terdapat 11 kes melibatkan nilai rampasan sebanyak RM5,000 dalam operasi di Wakaf Che Yeh," katanya. Beliau berkata, operasi pemantauan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meyakinkan pengguna bahawa kerajaan serius dalam menangani isu kenaikan harga sejak akhir-akhir ini. - Bernama |
Majlis Pengguna Pasir Mas kecewa dengan laporan blog Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST Hanafi Mamat (kiri) bertanya sesuatu kepada salah seorang peniaga di Pasar Besar Pasir Mas, semalam. PASIR MAS 21 Jan. - Majlis Pengguna Daerah Pasir Mas melahirkan rasa kecewa dengan tindakan penulis blog dan pemilik akaun Facebook yang gemar menyebarkan berita kurang tepat mengenai kenaikan harga barang di pasaran. Pengerusinya, Datuk Hanafi Mamat berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah mewujudkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan. Beliau mendakwa, kebanyakan penulis blog dan pemilik akaun Facebook tersebut tidak turun padang untuk membuat tinjauan harga barangan dan hanya membuat andaian sendiri. "Sepanjang dua hari tinjauan harga di Pasar Besar Pasir Mas, saya dapati tiada sebarang kenaikan berlaku kecuali beberapa barangan seperti cili besar dan itupun disebabkan terputus bekalan. "Saya ada bertanya kepada peniaga dan mereka sendiri menafikan berlakunya kenaikan harga barangan sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) daerah Pasir Mas di sini semalam. Hanafi berharap penulis blog dapat turun ke pasar dan membuat tinjauan adakah benar berlaku kenaikan atau tidak pada harga barangan. "Saya harap mereka tidak lagi menulis laporan yang kurang tepat berhubung isu kenaikan harga barang kerana khuatir ia akan menimbulkan kegelisahan kepada rakyat," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Hanafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas berkata, pihaknya telah mewujudkan pasukan yang akan memantau harga barang di daerah itu. Katanya, unit pemantauan tersebut akan diketuai oleh Pergerakan Pemuda UMNO. |
PPDNKK rampas barang bernilai RM83,809 Posted: 21 Jan 2014 11:59 AM PST MACHANG 21 Jan. - Sebanyak RM83,809 nilai rampasan telah dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Krai yang membabitkan pelbagai kategori perniagaan dan kesalahan sepanjang tahun lalu. Ketua Cawangan PPDNKK Kuala Krai, Rosli Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan tiga kawasan di bawah seliaan PPDNKK Kuala Krai iaitu Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. "Kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 mencatatkan sebanyak 57 kes manakala kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 (7) dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 sebanyak 27 kes. "Keseluruhan nilai kompaun dari kesalahan tersebut adalah kira-kira RM6,000," katanya selepas menyertai Ops Harga 2.0 di Pasar Awam Machang di sini hari ini. Operasi yang disertai 13 pegawai penguat kuasa itu turut melibatkan Pasar Pagi serta kedai-kedai runcit di kawasan sekitar dan mengambil masa kira-kira dua jam bermula pukul 9.30 pagi. Rosli berkata, hasil pemeriksaan di premis-premis berkenaan pada hari ini secara keseluruhan mendapati peniaga mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa menjalani aktiviti perniagaan masing-masing. "Di semua premis nampaknya mereka semua mempamerkan tanda harga dengan jelas pada barangan yang dijual dan harga yang ditawarkan masih lagi berpatutan," katanya. Tambah beliau, Ops Harga 2.0 akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kenaikan harga barang yang keterlaluan dan tidak munasabah selain peniaga sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Jelasnya, operasi tersebut akan diperluaskan kepada pasar raya, pembekal, pemborong dan peruncit terutamanya pada musim perayaan. Beliau menasihatkan peniaga di kawasan berkenaan khususnya agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini terutamanya bagi barang-barang basah dan runcit yang menjadi beban kepada pengguna. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |