Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Penduduk rayu baiki jalan raya
- Bantuan awal RM4.2j untuk pelajar Pasir Puteh
- Galak tanam sayur di laman rumah
Penduduk rayu baiki jalan raya Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST Oleh YATIMIN ABDULLAH Beberapa pemandu yang menggunakan jalan Kampung Keleweh-Padang Lalang mengelak laluan berlubang di Tanah Merah, Kelantan, kelmarin. TANAH MERAH 22 Jan. - Kira-kira 1,500 penduduk yang menggunakan jalan Kampung Keleweh ke Padang Lalang di sini merayu pihak bertanggungjawab supaya segera membaiki laluan berkenaan yang rosak teruk dan sudah tidak selamat untuk digunakan. Selain penduduk Kampung Padang Lalang, jalan tersebut turut digunakan oleh pengguna dari Kampung Repek Jagung, Air Sejuk dan Becah Palas sebagai laluan utama untuk ke pusat bandar. Wakil penduduk, Yusoff Awang, 73, berkata, pengguna jalan itu berdepan dengan bahaya kerana terdapat terlalu banyak lubang dan lopak air. Menurutnya, keadaan tersebut berlarutan sejak setahun lalu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil walaupun ada aduan telah dibuat oleh pengguna laluan berkenaan. "Setiap kali hujan lebat membawa sekali lumpur kerana jalan ini berhampiran dengan kawasan bukit. "Keadaan ini menyebabkan pelajar yang menggunakan basikal berdepan dengan masalah lumpur sehingga menyebabkan pakaian mereka mudah kotor jika tidak berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Bagi Che Ramlah Che Omar, 54, masalah tersebut juga menyebabkan kemalangan banyak berlaku di laluan itu. "Saya sering berulang alik dengan menggunakan jalan ini untuk membeli barang keperluan harian. Saya perlu berhati-hati sekiranya tersilap sikit pasti akan berlaku kemalangan. Keadaan menjadi lebih bahaya pada waktu malam kerana laluan ini sangat gelap, pengguna perlu berjaga-jaga daripada terjatuh ke dalam lubang dan lopak," ujarnya. Sementara itu, seorang pelajar, Mohd. Alain Ramli, 19, berkata, jalan tersebut menjadi laluannya setiap hari ke sekolah. Dia yang berbasikal ke sekolah berkata, keadaan menjadi amat sukar apabila berselisih dengan kenderaan lain seperti lori dan kereta. "Saya perlu mengelak malah kadang-kala terjatuh ke dalam lubang dan lopak air sehingga baju basah serta kotor," katanya. |
Bantuan awal RM4.2j untuk pelajar Pasir Puteh Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST PASIR PUTEH 22 Jan. - Sebanyak RM4.2 juta wang bantuan awal persekolahan mula diagihkan kepada 42,000 pelajar di semua sekolah di daerah ini bermula hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Zawawi Othman berkata, bantuan dari kerajaan Pusat itu diharap dapat meringankan bebanan ibu bapa untuk mengurus keperluan pendidikan anak-anak. Beliau berkata, ia juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat dan mendengar rintihan rakyat terutama ketika sesi persekolahan baharu bermula. "Ibu bapa yang menerima bantuan ini perlu membelanjakannya untuk kepentingan pendidikan anak mereka dan tidak boleh digunakan untuk perkara lain, ini hak anak-anak. "Ia boleh digunakan untuk membeli alat tulis dan lain-lain bahan bacaan tambahan kerana keseluruhan ibu bapa sudahpun membeli pakaian seragam anak masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, Semerak di sini hari ini. Seramai 840 pelajar sekolah berkenaan menerima bantuan sebanyak RM100 setiap seorang dengan keseluruhan jumlah wang yang diagihkan berjumlah RM84,000. Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri Semerak, Zawawi berkata, pihaknya masih dalam proses untuk melengkapkan kemudahan seperti jalan kampung dan penyediaan dewan orang ramai. "Bancian mengenai keperluan rakyat dan kemudahan jalan berturap sudah dilaksanakan dan ia akan dilaksanakan dengan segera termasuk membaiki semula jalan di antara Kampung Golok ke Kampung Gong Manak yang rosak teruk. "Kita juga telah menyelesaikan rungutan rakyat berketurunan Siam yang menghadapi ancaman air masin dari tebing sungai yang menyebabkan mereka gagal menanam padi dengan pembinaan benteng dan pembangunan perparitan yang menelan perbelanjaan RM100,000. "Pembinaan benteng yang menghadang limpahan air Sungai Semerak serta pintu kawalan air sudah siap sepenuhnya, masalah padi musnah yang tidak mendapat pembelaan kerajaan negeri telah diselesaikan oleh Kerajaan Pusat," katanya. |
Galak tanam sayur di laman rumah Posted: 22 Jan 2014 11:32 AM PST KOTA BHARU 22 Jan. - Pengguna di seluruh negara disarankan untuk memaksimumkan pengunaan laman rumah dengan menanam sayur-sayuran bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang secara mendadak. Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan, Ahmad Othman berkata, langkah tersebut penting untuk mengurangkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat pada setiap hari. Beliau berkata, pengguna perlu bijak dalam menguruskan perbelanjaan seharian untuk berhadapan dengan situasi kenaikan harga bahan makanan mentah. "Daripada membiarkan tanah lapang di laman rumah menjadi semak-samun, saya cadangkan orang ramai untuk menggunakan kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. "Mereka boleh menanam sayur-sayuran jangka pendek seperti kangkung, bayam, kacang panjang dan cili untuk kegunaan seharian," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Tindakan Menangani Kenaikan Harga Barang dan Membendung Kegiatan Mencatu di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah JPP negeri, Datuk Makhtar Mustapha. Dalam pada itu, Ahmad turut mengajak persatuan-persatuan pengguna di seluruh negara untuk mempromosikan program memaksimumkan penggunaan tanah lapang di rumah. Katanya, dalam tinjauan yang dilakukan, pihaknya mendapati kesedaran pengguna tentang promosi harga murah yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) masih rendah. "Tidak guna jika kerajaan menjalankan pelbagai usaha untuk mengurangkan kos sara hidup tetapi tidak diketahui pengguna terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |