Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Nik Abduh bidas MPKB-BRI
- YSK, Jaksa Pendamai bantu mangsa kebakaran
- Kampung Fun Ride libatkan 60 peserta dalam, luar negara
Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST Oleh AZRAN FITRI RAHIM KOTA BHARU 24 Jan. - Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dibidas kerana menggunakan cara yang salah dan tidak selaras dengan kepentingan awam yang dianjurkan oleh Islam dalam kaedah mengutip bayaran sewa tempat meletak kereta di bandar ini. Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kaedah yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah membebankan pengguna apabila mewajibkan bayaran minimum sebanyak 40 sen dalam satu masa untuk setiap petak letak kereta. Beliau berkata, ini bermakna, pihak MPKB-BRI telah mewajibkan pengguna petak letak kereta awam membayar untuk tempoh setengah jam walaupun mereka mungkin menggunakannya dalam masa yang kurang daripada itu. "Pengguna tiada pilihan dan dipaksa untuk menerima sewaan setengah jam untuk satu masa, sedangkan ramai pengguna menggunakan tempat letak kereta untuk sesuatu urusan yang hanya memakan masa 15 minit atau kurang daripada itu. Ertinya mereka dipaksa membayar lebih. "Ia menyebabkan pembaziran dalam perbelanjaan, sedangkan ia boleh dielakkan. Ini salah dalam hukum agama. "Kaedah ini hanya memberi keuntungan sebelah pihak. MPKB-BRI dikira mengaut keuntungan hasil yang lebih besar dengan cara yang salah dan membebankan rakyat. Rakyat pula langsung tidak mendapat apa-apa manfaat daripada kaedah baru pembayaran ini. Ini juga adalah muamalat yang salah dalam agama," katanya. Beliau berkata demikian dalam entri akaun facebook miliknya baru-baru ini. Pada November lalu, Utusan Malaysia menyiarkan rintihan pengguna yang mendesak PBT itu supaya menarik balik penguatkuasaan bayaran minimum 40 sen untuk tempat letak kereta yang berkuat kuasa Oktober lalu. Sebelum itu, pengguna petak parkir awam hanya perlu membayar minimum 10 sen sahaja untuk tempoh 7 minit. Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, MPKB-BRI dilihat memasuki bidang perniagaan atas petak kereta awam sebagaimana pemilik tempat kereta persendirian yang mengenakan caj dan sewaan yang mahal. "Ini juga salah. Petak kereta awam adalah hak rakyat. Sesuatu polisi hendaklah dibuat menyebelahi rakyat untuk kemudahan mereka. "Walaupun saya dimaklumkan bahawa faktor utama kaedah itu diperkenalkan adalah untuk membendung penipuan oleh sesetengah pengguna yang tidak bertanggung jawab, tetapi itu bukanlah penyelesaian yang benar. "Ia jelas salah. Jangan beban kita menjadi beban orang lain pula, apatah kita pula yang mendapat untung," katanya. Tambahnya, atas faktor-faktor di atas, beliau berharap pihak MPKB-BRI terutama pihak ahli majlis dapat menilai dan mengkaji semula kaedah pembayaran yang baru diperkenalkan itu dan dikembali kepada kaedah asal. |
YSK, Jaksa Pendamai bantu mangsa kebakaran Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST Mohd. Fauzi Mamat (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di pekan Rantau Panjang, Kelantan, kelmarin. PASIR MAS 24 Jan. - Yayasan Sultan Kelantan (YSK) dan Jaksa Pendamai Kelantan menyalurkan bantuan berjumlah RM98,000 untuk diagihkan kepada mangsa kebakaran di Pekan Rantau Panjang pada 6 Januari lalu. Sumbangan kepada mangsa yang terlibat itu disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd. Fauzi Mamat dalam satu majlis yang diadakan di sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Jaksa Pendamai, Datuk Razali Daud dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Adnan Hussain. Mohd. Fauzi yang ditemui selepas majlis itu berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM70,000 yang diagihkan kepada mangsa terlibat hasil sumbangan YSK manakala selebihnya bantuan dari Jaksa Pendamai. Menurutnya, seramai 51 penyewa dan lima pemilik premis terlibat menerima sumbangan itu. "Setiap penyewa yang terlibat menerima sumbangan berjumlah RM1,000 manakala pemilik premis sebanyak RM2,000. "Sumbangan ini bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa terlibat kerana premis berkenaan punca kepada rezeki mereka," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohd. Fauzi yang juga Bendahari YSK memberitahu, pihaknya memperuntukkan RM300,000 untuk diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan di seluruh negeri sepanjang tahun lalu. Katanya, agihan tersebut meliputi bantuan cermin mata, baik pulih rumah, bencana dan penyakit kronik. Sementara itu Razali berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa kebakaran tersebut. Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memberikan kegembiraan kepada semua mangsa terlibat. |
Kampung Fun Ride libatkan 60 peserta dalam, luar negara Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST KOTA BHARU 24 Jan. - Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan (KSKK) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menganjurkan Program Berbasikal PKINK Kampung Fun Ride 2014 pada Sabtu ini. Penyertaan bakal melibatkan 60 peserta dari dalam dan luar negara termasuk dari Jerman dan Belanda. Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Korporat) PKINK, Dr. Wan Zawawi Wan Ismail berkata, penganjuran kali kedua dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Kelantan (KTG) itu adalah tanda sokongan pihaknya bagi memperkenalkan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014. Katanya, peserta akan melalui jarak kayuhan sejauh 52 kilometer (km) meliputi kawasan kampung dan bandar Kota Bharu melibatkan lokasi tarikan pelancongan, aktiviti sosioekonomi penduduk tempatan dan peninggalan sejarah. "Aktiviti berbasikal sudah menjadi satu kegiatan riadah yang sangat popular di luar negara dan kami berpendapat tidak mustahil budaya serupa boleh disemarakkan di negeri ini sebagai produk pelancongan lebih-lebih lagi kita mempunyai laluan yang menarik khususnya berkaitan sejarah Perang Dunia Kedua. "Program ini juga akan menjadi batu loncatan kepada penganjuran skala yang lebih besar malah kita bersedia menjadi hos program berbasikal melibatkan agensi kerajaan negeri pada masa akan datang," katanya di sini semalam. Menurutnya, selain kerjasama antara KSKK PKINK dan KTG, program tersebut turut mendapat sokongan penuh Tourism Malaysia Kelantan dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan. Majlis pelepasan peserta akan disempurnakan Ketua Eksekutif PKINK, Mohd. Sabri Abdullah di Gelanggang Seni di sini pada pukul 9 pagi esok. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |