{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Pembayar zakat tidak perlu khuatir

Posted: 05 Jan 2014 11:01 AM PST

Kamarudin Mohd. Zain (kanan) menyampaikan bantuan kecemasan kepada Zahari Mohamed di Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

PASIR MAS 5 Jan. - Pembayar zakat di negeri ini tidak perlu khuatir kerana zakat yang dikeluarkan mereka diuruskan dengan baik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamarudin Mohd. Zain berkata, wang zakat itu diagihkan secara terus oleh pihaknya kepada asnaf yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya memperkenalkan 17 jenis bantuan zakat yang dirangka khusus, antaranya bantuan kecemasan, penyakit kronik dan baik pulih rumah bagi memastikan agihan itu sampai kepada golongan yang layak menerimanya.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah mengeluarkan zakat. Alhamdulillah orang ramai mula sedar dengan kepentingan membayar zakat yang merupakan salah satu daripada Rukun Islam.

"Pada tahun 2012, MAIK berjaya mengutip sebanyak RM113 juta dan meningkat kepada lebih RM134 juta pada 2013. Kita jangka kutipan zakat akan terus meningkat pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran, Zahari Mohamed, 47, di Kampung Kedondong dekat sini hari ini.

Zahari yang merupakan peniaga makanan hilang mata pencarian apabila kedai yang disewanya terbakar pada Oktober tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, pihaknya akan membina sebanyak 100 buah rumah di seluruh negeri ini kepada mereka yang layak menerimanya.

Katanya, dari jumlah tersebut, setiap jajahan akan menerima sebanyak 10 buah rumah dengan anggaran kos binaan berjumlah RM35,000 hingga RM38,000.

"MAIK sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan agihan zakat ini sampai kepada golongan yang berhak.

"Agihan zakat yang diberikan ini atas keprihatinan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Sultan Ismail yang sentiasa mengambil berat terhadap kesusahan yang dialami oleh rakyat jelata," katanya.

Penyakit kencing tikus meningkat

Posted: 05 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 6 Jan. - Jumlah kes penyakit leptospirosis atau kencing tikus di negeri ini meningkat sebanyak 50 peratus daripada hanya 168 kes pada 2012 kepada 250 kes tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, peningkatan paling ketara didapati berlaku pada bulan Disember iaitu pada musim banjir apabila 31 kes telah dilaporkan berbanding purata kebiasaan 20 kes sebulan.

Beliau berkata, stastistik tahun lalu juga mencatatkan 11 kematian pesakit yang terkena jangkitan leptospirosis berbanding hanya empat kematian pada 2012.

"Jumlah kematian tertinggi adalah di daerah Kota Bharu, sebanyak empat kes, Kuala Krai (dua kes), Gua Musang (dua kes) dan masing-masing satu kes di Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

"Kaum lelaki didapati paling ramai terkena jangkitan penyakit tersebut iaitu hampir 70 peratus manakala bidang pekerjaan paling berisiko adalah pertanian apabila 20 peratus atau 50 kes jangkitan melibatkan penoreh getah, pekerja ladang dan pesawah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Razin berkata, sanitasi persekitaran rumah yang kurang memuaskan yang mana terdapat banyak sampah sarap juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan dan ini terbukti apabila sampel tanah yang diambil di rumah kes terlibat dikesan kehadiran bakteria leptospira.

Katanya, pekerja yang terdedah kepada air atau tanah yang kemungkinan dicemari bakteria itu seperti petani, peladang dan penoreh getah perlu memakai alat perlindungan diri seperti but getah dan sarung tangan.

"Amalkan mencuci tangan, kaki serta bahagian anggota lain dengan sabun selepas bekerja di kebun, membersih sampah dan kawasan rumah terutamanya selepas banjir.

"Bakteria leptospira boleh didapati dalam badan pelbagai haiwan termasuklah tikus, lembu, kambing, anjing, khinzir, kuda dan musang akan menyebarkan penyakit apabila kencing di persekitaran seperti tempat pembuangan sampah dan kawasan rekreasi.

"Ini sekali gus menyebabkan jangkitan kepada manusia yang mengambil makanan atau minuman tercemar; sentuhan melalui kulit yang luka atau lapisan mukosa seperti mata, hidung, sinus dan mulut," katanya.

Jelasnya, pemantauan kes leptospirosis di Kelantan selama tiga tahun dari 2011 hingga 2013 mendapati sebanyak 45 kes mempunyai sejarah mandi atau berkelah di tempat rekreasi semula jadi.

Tambahnya, kawasan perkelahan paling banyak kes pengunjung mendapat jangkitan adalah Jeram Pasu, Pasir Puteh dengan 10 kes; Jeram Linang, Machang (lapan kes); Jeram Bukit Bakar, Machang (tujuh kes) dan Lata Telaga Bijih, Tanah Merah (enam kes).

"Pengunjung tempat rekreasi yang menyertai aktiviti sukan luar seperti mendayung sampan, berakit, memanjat gunung, berkhemah dan mandi sewajarnya mengelak berenang atau bermain air sekiranya luka atau mengalami penyakit kulit," katanya.

Beliau berkata, orang yang terkena jangkitan akan menghidapi demam panas, sakit kepala yang teruk, menggigil, muntah, batuk, mata merah, sakit perut, cirit birit, sakit otot terutama betis mirip kesan penyakit saluran pernafasan, demam denggi dan demam kepialu.

"Penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik sekiranya hanya jangkitan ringan manakala kes yang teruk perlu dirawat di hospital kerana boleh mengakibatkan kerosakan pelbagai anggota dalaman badan seperti kegagalan buah pinggang, hati dan sistem pernafasan sehingga membawa kepada kematian," katanya.

Kerajaan Pusat bantu usahawan Pengkalan Chepa

Posted: 05 Jan 2014 11:02 AM PST

KOTA BHARU 5 Jan. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM45,000 bagi manfaat 300 usahawan di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa menerusi pelbagai program bantuan yang disalurkan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman berkata, setiap penerima bantuan tersebut dipilih berdasarkan beberapa kategori termasuk keadaan ekonomi mereka sekeluarga.

"Peruntukan yang disalurkan ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk menambah pendapatan sedia ada mereka selain dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan Program Touch Point bagi Usahawanita, Agropreneur Muda Lelaki dan Wanita di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Zaluzi berkata, beliau akan terus berusaha sedaya upaya bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat di kawasan itu.

"Saya akan merebut setiap peluang yang diberikan untuk membantu usahawan serta peniaga-peniaga kecil bagi memperoleh manfaat yang sewajarnya," ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima, Ramlah Yaacob, 54, berkata, bantuan itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

"Saya sangat berterima kasih kerana ini kali pertama saya menerima bantuan peralatan yang boleh digunapakai untuk membuka perniagaan kek secara kecil-kecilan.

"Ini adalah salah satu usaha baik kerajaan yang dapat meringankan beban serta menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat