Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Perubahan personaliti melalui meta coaching
- Di Bawah Lindungan Kaabah cungkil bakat muda
- Masa depan OKU di India
Perubahan personaliti melalui meta coaching Posted: Perubahan personaliti melalui meta coachingMeta coaching
PERTEMUAN yang diatur dengan coach eksekutif dan pakar komunikasi, Md. Taib Mat, 60, tidak banyak bezanya dengan mana-mana pertemuan sebelum ini. Jika kebiasaannya, penulis yang akan mengasak individu yang ditemuramah, lain pula ceritanya dengan tugasan ini. Sebaik diperkenalkan, penulis diasak dengan pelbagai soalan. Kali ini penulis menjawab soalan berantai yang diajukan oleh Md. Taib. Namun, soalan tersebut bukanlah sesi pengenalan, tetapi itulah cara beliau memperkenalkan penulis mengenai meta coaching. "Apa yang kamu mahukan dalam kehidupan ini, mungkin pada masa sekarang?" soalnya. Tanpa teragak-agak, penulis menjawab mahu menambah pendapatan. Jawapan tersebut diikuti dengan soalan nilai pendapatan yang dimahukan, bagaimana ia boleh memuaskan penulis, jenis kejayaan yang akan dicapai melalui kepuasan itu dan keperluan keselesaan kepada keluarga dan hidup penulis. Akhir sekali, penulis memberi jawapan, 'Saya mahu hidup bahagia'. Detik itu menyedarkan penulis bahawa matlamat hidup ialah untuk hidup bahagia. Semua jawapan yang diberi membimbing penulis secara tidak langsung untuk mencapai matlamat tersebut. Md. Taib lantas berkata: "Saya boleh bertanya soalan berantai mengenai diri kamu itu selama sejam atau lebih dan membawa kamu kepada destinasi kehidupan yang kamu impikan. Saya boleh membimbing kamu menerusi jawapan atau kemahuan kamu dan itulah yang dimaksudkan meta coaching!" Destinasi Benar, sesi itu sesuatu yang menakjubkan. Soal jawab itu seolah-olah membangunkan penulis yang selama ini hidup secara statik. Ternyata sesi yang kurang 10 minit bersama Md. Taib sedikit sebanyak membawa realisasi tentang kemampuan dan kebolehan diri untuk berjaya. Coaching berbeza dengan rundingan, mentor, terapi, kaunseling atau latihan dan nasihat. Md. Taib yang juga pelatih prinsipal Akademi NLP Malaysia atau MTM Consultants Sdn. Bhd. menjelaskan, budaya coaching masih berada di peringkat awal. Meta coaching pada pandangan beliau sesuatu yang sangat baharu di Malaysia. Namun, penyebaran budaya coaching khususnya meta coaching, boleh menyaksikan perubahan personaliti peribadi sama ada umum atau yang lebih baik. Meta coaching sebagai satu proses pembangunan diri yang dilakukan melalui seni bertanya. Coaching ini dinamakan meta kerana ia membabitkan minda dan akal serta menolak diri menjangkaui kemampuan yang sedia ada. Ini bermakna, meta coaching tertumpu kepada proses dan struktur tetapi bukan kandungannya. Ia juga sesi yang menggerakkan seseorang dari satu situasi kepada satu situasi lain yang lebih baik. Pertanyaan yang ditujukan bukan sahaja menyentuh minda malah ia mampu mengubah nilai dan kepercayaan seseorang. Misalnya pendekatan yang digunakan Md. Taib berupa soalan berstruktur yang membawa kepada hasil yang dihajati berdasarkan corak fikiran dan makna yang diberikan oleh peserta tanpa sebarang cadangan atau pendapat daripada meta coach yang mengendalikan soal jawab itu. "Jadi, tugas meta coach ialah berdialog dengan peserta sebagai pencetus untuk memperkasa diri mereka supaya berkemahiran menggunakan akal secara terbaik, mengakses sumber kekuatan diri dan mencapai hasil tertinggi yang dikehendaki," jelas Md. Taib. WALAUPUN terma coaching merujuk kepada pelatih sukan tetapi hari ini ia membawa maksud yang lebih luas. Md. Taib, anak kelahiran Bedong, Kedah merupakan graduan ijazah lanjutan dalam bidang Perancangan Strategik dari Universiti Southern California, Los Angeles, Amerika pada tahun 1986 selepas menamatkan Ijazah Sains Perniagaan Ekonomi dari Universiti Southern Illinois, Carbondale pada 1985. Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia coaching selepas terdedah dengan pakar-pakar NLP, hipnoterapi dan komunikasi tersohor dunia seperti Dr. Richard Bandler, Dr. Robert Dilts, Judith DeLozier, Dr. Michael Hall, Dr. Stephen Gilligan, Shelle Rose Charvet, Dr. William Horton, Dr. George Bein, Anthony Robbins dan lain-lain dari seluruh pelosok dunia. Posisi beliau sebagai Penolong Pengurus Ladang di Harrisons Plantations, Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Shell Chemicals, Pengarah Urusan Aliran Permata Sdn. Bhd. (Teknologi Maklumat), dan MTM Consultants Sdn. Bhd. (Pembangunan Insan) telah membuka laluan kepadanya untuk terlibat dalam bidang ini demi pembangunan syarikat tempat kerja beliau dan diri beliau sendiri. "Meta coaching merupakan satu cabang baharu daripada coaching yang bermula sejak beberapa dekad lalu, sebelum wujudnya sukan Olimpik. Ia sangat popular dan banyak dilakukan dalam kalangan ketua-ketua eksekutif, pengarah urusan dan mereka yang berjawatan tinggi demi kecemerlangan syarikat atau organisasi. Hari ini, ia diperluas sehingga pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pun turut didedahkan dengan proses meta coaching," ujar beliau. Walaupun terma coaching merujuk kepada pelatih sukan, tetapi maksudnya lebih meluas daripada itu. Kini pelbagai lapisan masyarakat telah menyertai program kendalian beliau yang terdiri daripada ketua eksekutif, pengarah, pengurus, peguam, pensyarah, doktor, pelajar sehinggalah kepada suri rumah. Seorang peserta meta coaching, Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solution (Ilsas), Khalidah Haron berkata, coaching bukan sahaja membawa kepada kesedaran diri tetapi tentang toleransi sesama manusia dan sifat kemanusiaan dalam setiap usaha yang dilakukan. "Jika selama ini, saya hanya berpandu keputusan atau sasaran, selepas sesi coaching, saya sedar semua orang mempunyai kemahiran tersendiri tetapi tiada yang sempurna. Jadi, daripada menyalahkan orang lain, saya cuba mencungkil dan memberi mereka ganjaran terhadap usaha yang mereka lakukan," kata beliau. Bimbing diri Khalidah menyertai program meta coaching bermula daripada kursus asas NLP selepas dua orang kakitangan di syarikatnya menyertai program itu. "Mereka meminta kebenaran saya untuk menyertai program ini. Saya benarkan dengan syarat mereka menampung sendiri. Melihat perubahan diri dan perkongsian mereka, saya pun menyertainya pada tahun 2010," kata Khalidah ketika ditemui. Beliau mengakui, perbezaan ini meliputi cara mereka membimbing diri dalam melakukan sesuatu tugas dan menggunakan konsep soal diri dalam menyelesaikan masalah atau halangan sewaktu menjalani tugas. Selepas mengikuti program tersebut, Khalidah bukan sahaja berkemampuan membantu orang lain, malah membantu diri sendiri. "Meta coaching mengajar saya melakukan kemahiran memotivasikan diri secara sistematik. Misalnya, selain memotivasi diri kita juga perlu mencari permasalahan itu dari akar umbi. "Apabila kita melihat sesuatu masalah pada akar umbi, ia lebih mudah untuk diatasi," katanya yang baru sahaja bersara tiga bulan lalu. Ketika di temu bual, Khalidah berkali-kali menekankan tiga perkara mengenai meta coaching. Pertama sekali ialah, having iaitu kemahiran yang dimiliki; doing iaitu usaha untuk mencapai sesuatu sasaran dan being yang dilihat kurang diambil kira iaitu sikap empati kepada mereka yang mencuba tetapi gagal mencapai sasaran. "Kesedaran tahap ketiga iaitu, being, memberi satu paradigma mendalam dan penuh bermakna. Ia mencungkil potensi anggota kerja dan memberi kesedaran tersendiri khususnya membolehkan mereka membimbing diri sendiri untuk berjaya," katanya. | |
Di Bawah Lindungan Kaabah cungkil bakat muda Posted: Di Bawah Lindungan Kaabah cungkil bakat mudaPESERTA yang berjaya dalam sesi uji bakat bergambar bersama tenaga produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang akan dipentaskan dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya. PEMENTASAN teater secara komersial di Malaysia semakin berkembang sejak tertubuhnya Istana Budaya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sekitar 15 tahun lalu. Teknologi canggih, pelbagai kemudahan dan kapasiti sebanyak 1,400 penonton pada satu-satu masa di panggung tersebut menarik perhatian banyak pihak untuk mementaskan teater di situ sama ada produksi tempatan atau luar negara. Tahun ini beberapa teater besar akan memenuhi kalendar Istana Budaya termasuklah adaptasi novel penulis ulama terkenal Indonesia, Allahyarham Prof. Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah. Lazimnya, apabila teater berskala besar dipentaskan, ia memerlukan bilangan pelakon yang ramai antara 50 hingga 150 orang. Justeru, peluang ini dibuka oleh produksi teater Di Bawah Lindungan Kaabah (DLK) kepada 40 bakat baharu bagi berganding dengan nama-nama besar pada persembahan yang berlangsung dari 9 hingga 18 Mei depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada pelajar universiti, kakitangan swasta, pegawai kerajaan, penggiat seni dan pelajar sekolah yang berusia antara tujuh tahun hingga 45 tahun. Mereka dipilih melalui sesi uji bakat yang diadakan di Istana Budaya, baru-baru ini. Uji kemampuan Menurut Pengarah Pemasaran dan Promosi DLK, Chloe Siao Hui Boon, pemilihan tersebut dilakukan oleh Siti Rohayah Attan (Penerbit), Rosminah Mohd. Tahir (Pengarah & Penulis Skrip) dan A. Aris Kadir (Koreografer) melalui dua saringan yang menekankan kebolehan tarian, lakonan dan nyanyian. "Uji bakat tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dalam bidang seni untuk menguji kemampuan mereka dalam bidang ini. "Mereka yang dipilih dibahagikan kepada kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa. Mereka diberi peranan sebagai pelakon tambahan atau ensemble," tambah Chloe Siao yang menguruskan hampir 100 peserta yang mencuba nasib. Menurut beliau, melalui uji bakat seharian itu seramai 40 orang terpilih. Ada antara mereka pernah terlibat secara kecil-kecilan dalam persembahan teater seperti Muzikal Tun Mahathir, Upin dan Ipin The Musical dan Nyonya & The Gang. "Justeru, panel pemilih tidak berhadapan dengan kesukaran kerana mereka telah sedia maklum apa yang diperlukan dalam sesi uji bakat. "Mereka berkemampuan untuk menari secara muzikal, berlakon dan sebahagiannya mempunyai bakat nyanyian yang sangat baik," kata Chloe Siao sambil menambah ada peserta yang berusia empat tahun turut mencuba bakat. KOREOGRAFER terkenal, A. Aris menunjukkan gerak asas tarian kepada peserta uji bakat teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bakat-bakat baharu yang terpilih akan mula menjalani latihan pada akhir Mac ini sehinggalah tarikh persembahan pada 9 Mei nanti. Sebanyak 14 persembahan akan diadakan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad serta persembahan petang dan malam. Teater karya penulis besar kelahiran Padang, Indonesia, Allahyarham Prof. Hamka ini dilakonkan oleh Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira loy, Fizo Omar, Yasmin Hani Richardson, Dafi AF (Akademi Fantasia), Zahid AF, Liza Abdullah, Alina Hassan, Taufeq Izmir, Wafiy Irfan, Tun Amiera Rania dan 70 pelakon lain. Lagu-lagu yang dipersembahkan di dalam teater DLK dicipta dan digubah oleh Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) manakala liriknya oleh Rosminah. Harga istimewa "Bagi persembahan ini, kami juga menawarkan tempat duduk yang menarik pada harga istimewa kepada semua pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang datang secara berkumpulan iaitu sekurang-kurangnya 40 orang. "Tawaran ini terbuka terutamanya pada persembahan sebelah petang yang bermula dari pukul 3 hingga 5 petang pada 10, 11, 17 dan 18 Mei," tegas Chloe Siao. DLK merupakan adaptasi novel yang dikarang oleh Hamka pada tahun 1938 dan diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Novel roman ini ditulis sewaktu beliau bekerja sebagai editor sebuah majalah Islam mingguan di Medan. Karya ini mengisahkan tentang perjuangan kehidupan pasangan muda Minang yang berasal daripada latar belakang sosial berbeza. Karya tersebut mendapat sambutan hangat seluruh Nusantara malah dibaca sehingga kini. Filem mengenainya juga pernah dihasilkan pada tahun 1978 dan 2011. Bagaimanapun, inilah pertama kali buku tersebut diadaptasi untuk dijadikan persembahan teater. DLK diterbitkan bersama oleh CTRA Production dan Istana Budaya dengan kerjasama Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) dan FAREEDA. | |
Posted: Masa depan OKU di IndiaOKU masih dilihat sebagai simbol keaiban keluarga. KECACATAN adalah sesuatu yang mengaibkan dan disembunyikan di India kerana kedudukan sosial termasuk perkahwinan adalah sangat penting bagi mereka. Ini berlaku terhadap Shanti Auluck yang menetap di New Delhi. Lebih 20 keluarga telah bertandang ke rumahnya untuk mengatur perkahwinan dengan anak perempuannya. Bagaimanapun, fikiran keluarga ini berubah apabila mengetahui Auluck mempunyai seorang anak lelaki yang mengalami kecacatan sindrom Down. "Ada banyak kejahilan terhadap orang kelainan upaya (OKU) di sini," kata Auluck, ibu kepada dua anak yang juga seorang doktor psikologi. Diskriminasi dan stigma dihadapi kira-kira 60 juta OKU yang cacat mental dan fizikal di India. "Banyak keluarga enggan mendedahkan anak OKU mereka kepada dunia luar kerana malu," kata Auluck yang juga pengarah Muskaan, sebuah pusat latihan dan kerja intelektual OKU. Satu rang undang-undang baharu bakal diperkenalkan Parlimen India untuk memberi hak saksama kepada golongan OKU, termasuk akses pendidikan dan pekerjaan. Sebelum ini, Ketua Kongres Parti Pemerintah, Sonia Gandhi telah berjanji untuk meluluskan undang-undang itu selepas tujuh tahun India menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Kelainan Upaya. "Ini adalah permainan," ujar Pemimpin Hak Golongan OKU, Javed Abidi. Beliau mengetuai ribuan OKU menjayakan satu bantahan dengan nyalaan lilin di New Delhi baru-baru ini mendesak agar ahli politik meluluskan rang undang-undang itu. GOLONGAN OKU di India mahu diri mereka diberi pengiktirafan dalam hidup bermasyarakat. Penderaan Dalam masa yang sama, wujud kesangsian kemungkinan undang-undang baharu ini tidak banyak mengubah nasib golongan OKU kerana undang-undang sedia ada gagal dipatuhi. Sikap masyarakat terhadap OKU terutamanya wanita, daripada keluarga miskin luar bandar masih teruk. "Mereka dianggap beban dalam keluarga dan terdedah kepada penderaan seksual," kata Shampa Sengupta yang bekerja dengan golongan OKU berpendidikan di bandar timur Kolkata selama 25 tahun. Akibatnya, golongan wanita OKU terutama yang tidak berpendidikan dipaksa mengikat sistem peranakan atau menggugurkan kandungan mereka jika hamil. Dalam beberapa kes, lelaki yang mengahwini wanita OKU turut dikahwinkan dengan adik wanita itu sebagai syarat perjanjian bagi mengenang budi si lelaki yang memikul beban kerana beristerikan OKU. Tambah Sengupta lagi, pihak polis pula didakwa kurang memberi perhatian terhadap kes-kes serangan seksual membabitkan wanita OKU. Beliau sendiri ketika ini sedang membantu sebuah keluarga yang anak perempuan buta mereka yang berusia 14 tahun telah dirogol jiran. Seorang aktiviti, Abidi, bersetuju bahawa penekanan terhadap pendidikan perlu untuk mengubah sikap ini. Beliau yang dilahirkan dengan masalah kecacatan tulang belakang dan terpaksa berkerusi roda turut mengakui bahawa rang undang-undang penting dalam memberi kuasa kepada OKU untuk mengambil tindakan sendiri dan membetulkan persepsi masyarakat. PERIKEMANUSIAAN dalam kalangan orang biasa terhadap OKU dilihat sangat kurang. Menentang Di bawah rang undang-undang ini, lebih ramai akan diklasifikasi sebagai OKU termasuk penghidap autisme dan kecacatan tisu tubuh sekali gus berpeluang menikmati pelbagai faedah daripada kerajaan. Mereka yang mengalami masalah mental juga mempunyai hak untuk mendapatkan pekerjaan dan boleh membuka akaun bank. Bagaimanapun, ada kumpulan OKU menentang rang undang-undang itu yang akan menggantikan rang undang-undang 1995 kerana menuduh ia telah diubah daripada draf asal. Tetapi Zorin Singha yang mengalami kecacatan pendengaran berkata, draf baharu itu cukup sempurna khususnya bagi 18 juta orang yang cacat pendengaran termasuk untuk bekerja sebagai jurubahasa bahasa isyarat di semua media elektronik. Katanya, ketika di sekolah guru-gurunya tidak dilatih untuk membantu pelajar cacat pendengaran, sebaliknya memaksa mereka bercakap. "Undang-undang baharu memberikan OKU hak mendapatkan pelajaran. Kami telah lama menunggu," katanya. – AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |