Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Malaysia garang belasah ChinaOleh FIRDAUS HASSAN
MALAYSIA beraksi garang apabila membelasah China 7-3 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak malam tadi. Skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu tidak menunggu lama merobek gawang China apabila Muhammad Marhan Mohd. Jalil meledak gol pembukaan menerusi jaringan padang pada seawal minit keenam. Malaysia yang dibarisi ramai pemain muda menambah gol kedua selang empat minit kemudian, berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten, Azlan Misron. Anak-anak buah Dhaarma Raj terus mempamerkan aksi permainan kemas selain jarang melakukan kesilapan dan situasi itu menutup ruang buat China untuk memburu gol. Menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin mengukuhkan kedudukan Malaysia dengan gol ketiga pada minit ke-24. Bermula gerakan dari tengah padang, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil membuat satu pukulan deras bagi menewaskan penjaga gol China, Yan Rong Yao pada minit ke-23 untuk gol keempat Malaysia. Aksi cemerlang Malaysia berterusan apabila Muhammad Shahril Saabah menambah gol kelima pada minit ke-30. Bermula babak kedua, rentak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan. China akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ke-44 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan E Liguang sebelum Malaysia membalas seminit kemudian menerusi pukulan penalti Fitri Saari. China menambah gol kedua hasil jaringan Du Talake yang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-61. Muhammad Firhan Ashaari melengkapkan malam gemilang Malaysia apabila menjaringkan gol ketujuh menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-62. China makin agresif melancarkan serangan ke kubu Malaysia sebelum Du Talake menjaringkan gol kedua peribadinya pada penghujung perlawanan. Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menghuni tangga teratas dengan mengutip 10 mata dan kini berada di landasan terbaik bagi memburu tiket final. Dalam satu lagi pertemuan yang berlangsung semalam, Afrika Selatan menewaskan Kanada 3-2. Gol-gol Afrika Selatan dijaringkan oleh Timothy Drummond, Julian Hykes dan Lungile Tsolekile manakala Kanada memperoleh gol menerusi Scott Tupper dan Matthew Guest. | |
Posted: 'Saya minta maaf'Oleh YATIMIN ABDULLAH REAKSI Shakir (kiri) selepas dilayangkan kad merah ketika aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi. PENYERANG Kelantan, Ahmad Shakir Ali memohon maaf kepada penyokong setia The Red Warriors selepas menerima kad merah ketika menentang kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh pada aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin. Secara terbuka, Shakir mengakui betapa dia berasa cukup kesal dengan tindakan yang dilakukannya sehingga mengundang padah buat Kelantan. "Perkara tersebut berlaku secara pantas dan tidak sengaja serta ia di luar kawalan diri saya. "Saya telah memohon maaf kepada pihak pengurusan pasukan termasuklah rakan-rakan sepasukan atas apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam. Peledak berusia 25 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Bangladesh, Tayeb Hasan selepas mengasari kapten pelawat, Le Van Duyet pada minit ke-34. Sebelum ini, pada aksi pembukaan Piala AFC menentang wakil Myanmar, Yangoon United anak kelahiran Kedah itu turut dilayangkan kad merah. Shakir juga pernah menerima kad merah ketika Kelantan menentang juara Liga Super, Lions XII. Shakir memberitahu, dia menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran berguna buat dirinya. Menurut Shakir, dia bertekad untuk bersikap lebih profesional dalam setiap perlawanan yang diharungi selepas ini. "Saya akui penyokong kurang senang dengan tindakan tersebut dan saya mohon maaf atas kesilapan itu. "Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut pada perlawanan akan datang," ujarnya. Pada perlawanan tersebut, hasrat Kelantan untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian selepas tumpas 2-3. | |
Shahidan tidak layak bertanding Posted: Shahidan tidak layak bertandingOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 25 Mei depan. Perkara itu disahkan oleh seorang sumber dalaman FAM ketika dihubungi Kosmo! semalam. Menurut sumber tersebut, setiap calon yang berhasrat bertanding haruslah bebas daripada hukuman penggantungan. Pada Februari tahun lalu, FAM telah mengenakan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan ke atas Shahidan selain denda RM39,000. Ini kerana FAM mendapati Shahidan bersalah melanggar Statut FAM Artikel 88 kerana mengkritik badan induk itu secara terbuka. "Mana-mana calon yang mahu bertanding pada Kongres FAM itu nanti harus bebas daripada sebarang hukuman penggantungan. "Jika beliau masih berminat untuk bertanding, maka beliau haruslah tunggu sehingga tempoh penggantungan itu tamat. "Yang pasti, calon yang masih menjalani hukuman penggantungan tidak dibenarkan untuk bertanding pada pemilihan itu nanti," katanya kepada Kosmo! semalam. Ketika ditanya adakah Shahidan dibenar membuat rayuan bagi membolehkannya bertanding, sumber itu berkata: "Sebarang rayuan tidak akan diterima memandangkan penggantungan tersebut adalah paling minimum. "Beliau tidak boleh merayu kerana setiap calon yang dikenakan hukuman minimum, tidak akan dibenarkan membuat sebarang rayuan." Selain Shahidan, FAM turut mengenakan hukuman yang sama terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa. Annuar yang ketika itu turut memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM didakwa didapati bersalah melanggar Statut FAM Artikel 88 ekoran mengkritik skuad kebangsaan pada April 2012. Terdahulu, FAM telah mengumumkan sesi pemilihan baharu bagi penggal 2014-2018 akan diadakan pada Kongres FAM 25 Mei depan. Jawatan-jawatan yang bakal dipertandingkan adalah Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) dan 10 ahli Exco FAM yang terdiri daripada lapan lelaki serta dua wanita. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |