Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Lukisan wajah bernilai RM75,000 Posted: Lukisan wajah bernilai RM75,000OLEH MOHD. SHAZWAN YUSOP
PAMERAN Seni Ikonik Datuk Siti Nurhaliza di Galeri Artelier, Publika, Kuala Lumpur yang dilancarkan baru-baru ini memberi makna yang tersendiri kepada penyanyi nombor satu negara itu. Apa tidaknya, seramai 17 pelukis tempatan dan luar negara terbabit mempamerkan karya wajah figura terkenal itu dengan menggunakan pelbagai teknik dan medium yang berbeza. Menurut rakan niaga Galeri Artelier, Ahmad Khairo Othman, projek tersebut telah bermula sejak sebulan yang lalu apabila pihaknya telah mengenal pasti pelukis-pelukis berbakat yang mempunyai pendekatan seni yang berlainan. "Antara pelukis yang terbabit termasuk Andrian Torres , Sabihis Md. Pandi, Syafiq Nordin dan E.M Nightwatcher," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran tersebut yang turut dihadiri oleh Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Bagi Sabihis Md. Pandi, 26, dia mendapat ilham untuk menghasilkan karyanya selepas mendengar muzik rock. Lukisan yang bertajuk The Siti itu, digambarkan seperti kulit album Siti Nurhaliza versi rock dengan wajah penyanyi tersebut diletakkan di bahagian tengah lukisan sambil dikelilingi bentuk bulatan dan segi tiga. "Lukisan ini cuba menggambarkan kulit album Siti Nurhaliza sekiranya beliau menghasilkan sebuah album rock pada masa hadapan. "Saya cuba membuat sebuah lukisan yang di luar pemikiran kerana kita tahu penyanyi tersebut belum pernah menghasilkan album berkonsep rock sebelum ini," katanya mengenai lukisan yang menggunakan teknik cetakan kayu atas kanvas itu. Menurut pemenang anugerah Media, Entertainment & Arts Alliance 2013 berkenaan, ini merupakan kali pertama dia menghasilkan sebuah lukisan berdasarkan wajah Siti Nurhaliza. PENGUNJUNG boleh melihat karya-karya seni yang memfokuskan Siti Nurhaliza dari 17 pelukis di Galeri Artelier sehingga 26 Mac ini. Katanya, lukisan berukuran 119 sentimeter (cm) x 132 cm itu berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu sahaja. Dana kebajikan Sementara itu, menurut pelukis, Nazmi Ismail, 27, dia mempersembahkan dua buah lukisan potret penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa itu pada pameran tersebut. Lukisan yang bertajuk Malaysian Diva dan The Great Singer itu memaparkan wajah Siti Nurhaliza yang bertudung dalam gaya yang berbeza. "Saya mendapat idea untuk menghasilkan lukisan ini selepas menonton beberapa klip video lagu beliau di internet. "Setelah mendapat gambaran imej, baru saya menterjemahkannya ke dalam bentuk lukisan," katanya sambil memaklumkan kedua-dua karya beliau itu menggunakan medium cat semburan atas kanvas. Lukisan-lukisan yang dipamerkan di galeri tersebut turut dijual kepada pembeli yang berminat selama sebulan bermula dari 26 Februari lalu. Lukisan termahal yang dipamerkan bernilai RM75,000. Ia merupakan karya Torres yang berasal dari Sepanyol. Keistimewaan lukisan tersebut terletak pada cara penghasilannya yang hanya menggunakan jari. Dalam pada itu, 30 peratus daripada hasil jualan kesemua lukisan terlibat akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa yang dinaungi Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa. Galeri Artelier, dibuka setiap hari Selasa hingga Ahad dari pukul 10 pagi hingga 8 malam. Masuk adalah percuma. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.artelier.my atau hubungi talian 03-6206 4703. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |