{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


Vanessa mahu jadi doktor

Posted: 19 Mar 2014 06:08 AM PDT

Oleh ZIININE ABDESSELAM
Gambar Zakaria Idris

VANESSA Cruz meminati bidang peragaan tetapi pada masa sama mahu bergelar seorang doktor.

MINATNYA dalam bidang peragaan memang cukup mendalam. Sebab itu sejak berusia 16 tahun Vanessa Cruz sudah mula melibatkan diri dalam bidang peragaan.

Kerana minat dalam bidang itu juga, Vanessa turut menyertai pelbagai pertandingan yang berkaitan dengan peragaan termasuk pertandingan Ratu Chipou 2014 yang mana dia muncul sebagai naib juara.

Vanessa, 20, seorang pelajar kolej yang berasal dari Klang, Selangor, turut memenangi gelaran Ratu Fotogenik pada pertandingan yang memerlukan para peserta menggayakan pakaian tradisional Cina itu.

"Saya yakin untuk memenangi gelaran Ratu Chipou, tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya saya muncul sebagai peserta kaum India yang pertama muncul naib juara dan memenangi gelaran sampingan pada pertandingan ratu cantik pakaian tradisional Cina itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain menjadi model, Vanessa juga pernah berlakon dalam beberapa filem Tamil di samping terlibat dalam beberapa program televisyen serta iklan komersial.

"Baru-baru ini saya berlakon dalam filem India bertajuk Matlamat dan menyertai beberapa program di Astro selain terlibat dalam beberapa iklan, video muzik untuk MTV dan video untuk lagu-lagu artis terkenal tempatan. Jadi, saya berpengalaman dalam bidang peragaan dan bergaya di hadapan kamera.

"Peranan terbaik ketika saya berlakon dalam filem Tamil ialah dengan melakonkan watak seorang wanita kaya. Saya juga menari mengiringi sebuah lagu dalam filem itu.

"Akhir-akhir ini pula saya terlibat dalam video muzik iaitu lagu untuk artis rap terkenal Malaysia, Viveck Ji," katanya.

Namun semua itu dilakukan hanya kerana minat. Ini kerana, cita-cita sebenar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang dan pelajar Asasi Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) itu ialah menjadi seorang doktor.

Sebab itu katanya, dia akan meneruskan cita-citanya termasuk menyambung pembelajaran bagi merealisasikan impian bergelar seorang doktor perubatan.

Selari dengan impiannya itu juga, Vanessa merupakan seorang yang mementingkan penjagaan kesihatan termasuk memastikan bentuk badannya kekal menarik.

Untuk menjaga bentuk badan yang menarik, aktif dan bertenaga, Vanessa berkata, dia bersukan dan menjaga pemakanan yang sihat.

"Acara kegemaran saya ialah menjadi ketua kumpulan sorak. Saya mengawal berat badan dengan mengambil makanan seimbang. Perkara paling penting adalah makan tepat pada waktunya.

"Biasanya ibu saya akan menyediakan minuman panas dan pada tengah hari makan nasi dan lauk-pauk tetapi tidak terlalu berat.

"Pada waktu malam hanya makan roti dan mi. Kadangkala saya tidak makan malam, sebaliknya hanya minum minuman jus buah-buahan segar.

"Saya suka makan masakan ibu saya. Selalunya saya makan piza dan juga keju dalam semua bentuk seperti kek keju, lasagna, kepingan keju tetapi masih dalam had yang berpatutan.

"Saya juga bersenam dan menari bagi memastikan kalori makanan yang diambil adalah seimbang dengan kerja yang saya lakukan," katanya.

Menurut Vanessa, dia juga suka makanan Melayu seperti masak lemak pucuk paku, rendang ayam dan kuih-muih seperti seri muka , kuih koci dan onde-onde.

Kerana penglibatannya dalam bidang peragaan sejak di usia yang boleh dikatakan muda, Vanessa juga suka mendengar muzik serta menghayati makna lirik dan menari.

Vanessa memberitahu, dia juga pernah mengambil bahagian dalam pertandingan Ratu Kebaya dan teringin menjadi duta kepada pekaian tradisional Melayu itu. Apakan daya dia gagal berada dalam kelompok tiga teratas.

"Saya telah melakukan yang terbaik pada pertandingan itu. Namun, disebabkan melakukan kesilapan mengenakan pakaian pada pusingan akhir, maka saya tidak berjaya merebut mahkota ratu.

"Bagi saya walaupun tidak berada dalam senarai lima peserta teratas tetapi saya berpendapat semua peserta adalah pemenang dengan cara tersendiri.

"Saya menjadikan pertandingan itu sebagai platform untuk menambah pengalaman," katanya.

Selain itu, Vanessa juga pernah berada dalam senarai lima peserta teratas pada pertandingan Ratu Sari Malaysia 2013, Ratu Bakat untuk Ratu Sari Malaysia 2013, Duta Ratu Kebaya Malaysia, Duta Amitaruci Boutique selain muncul juara pertandingan Tarian Antara Universiti 2013 dan juara pertandingan Tarian Antara Universiti 2013 untuk Deepavali.

Pua dalam rekaan moden

Posted: 19 Mar 2014 06:08 AM PDT

Gabungan hitam dan kuning nampak menawan.

PUA, kain warisan Sarawak kini diberi nafas baru dengan menghasilkan rekaan fesyen moden yang dibuat daripada fabrik ini. Pua yang ditenun tangan mempunyai nilai yang tinggi dan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak. N-Inspired By Pua Heritage yang dimiliki oleh Gading Kenyalang Sdn. Bhd. berusaha memperkenalkan pua dengan rekaan moden bagi memberi peluang kepada semua orang dapat memakainya. Pengaruh etnik Sarawak dapat dilihat pada setiap rekaan.

Rekaan blaus pendek, potongan peplum, skirt pensel, kain potongan duyung, kemeja berkolar untuk wanita dihasilkan menggunakan fabrik yang mempunyai corak yang unik ini.

Nampak ringkas, namun bergaya dan praktikal, satu contoh daripada pelbagai kegunaan fabrik pua.

Pengurus Pemasaran Gading Kenyalang, Frank Rays berkata, pihaknya amat komited dalam mempromosi pua sebagai produk yang boleh diketengahkan dengan pelbagai aplikasi dan kegunaan.

Katanya, usaha tersebut sedikit sebanyak dapat membantu komuniti etnik dengan menyediakan platfom bagi memasarkan produk yang dibuat daripada fabrik pua.

"Dengan itu, penenun-penenun pua dapat memperoleh pendapatan yang stabil dan tetap," katanya.

Menurut Rays, selain fabrik pua yang ditenun tangan, pelanggan juga boleh mendapatkan fabrik yang dicetak dengan corak pua dan boleh diperoleh pada harga yang tidak terlalu tinggi serta fabrik corak Orang Ulu.

Bukan setakat pakaian malah terdapat kasut wanita dan lelaki yang dihiasi dengan fabrik pua.

Bagi kasut wanita terdapat pilihan sama ada yang bertumit tinggi, bertumit baji atau leper.

"Kasut bertumit tinggi ini boleh dipadankan bersama baju atau skirt pua yang amat sesuai dipakai ketika ke majlis formal atau rasmi.

"Bagi yang pertengahan usia boleh pula memakai kasut bertumit baji yang di bahagian hadapannya dihiasi dengan pua, manakala kasut leper lebih sesuai bagi golongan remaja atau muda," katanya.

Selain baju yang telah siap yang boleh didapati di butik, menurut Rays, pelanggan juga boleh menempah mengikut rekaan mereka sendiri menggunakan fabrik yang terdapat di butik.

Pelanggan juga boleh memadankan baju dengan aksesori yang terdapat di sini seperti beg tangan yang dibuat daripada manik bercorak pua, beg telefon, beg duit atau rantai manik.

Koleksi aksesori manik dibuat daripada bahan-bahan tempatan yang mencerminkan seni dan budaya tempatan Sarawak.

Setiap yang ada di butik ini adalah mencerminkan kaum yang tinggal di Sarawak dan keunikan produk yang mereka hasilkan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat