Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Boleh disiplinkan anak, tapi bukan pukul - Rakan Ammar Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT STOCKHOLM 13 Mac - Keterangan daripada mereka yang rapat dengan kanak-kanak Malaysia yang didakwa telah didera oleh ibu bapa memberikan gambaran mengenai kesan yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut. John Webb, rakan kepada Ammar, 13, memberitahu, remaja terbabit selalu marah-marah dan seringkali berada dalam keadaan sangat sedih sebelum memberitahu salah seorang kaunselor di sekolah bahawa dia telah dipukul di rumah. Ibu bapa Ammar, Shalwati Norshal dan Azizul Raheem Awaludin ditahan sejak 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memaklumkan salah seorang kakitangan sekolahnya yang dia telah dipukul menyebabkan satu laporan dibuat kepada pihak berkuasa. Webb, 14, memberitahu, dia dan beberapa rakannya yang lain telah meyakinkan Ammar untuk bertemu dengan kaunselor selepas remaja terbabit mendedahkan ibunya telah menarik telinga dan mencubit bagi mendisiplinkannya. "Saya fikir ia perkara yang betul, boleh mendisiplin tetapi tidak sepatutnya memukul," jawabnya apabila ditanya mengenai pandangannya berhubung penjelasan Ammar tentang kenapa dia dipukul. Webb turut memberitahu Mahkamah Daerah Solna di sini bahawa Ammar merindui ibu bapanya dan dia berasa sedih kerana terpaksa tinggal dengan keluarga angkat walaupun tidak suka dipukul oleh orang tuanya. Seorang lagi rakan, Maxwell Shenk memberitahu rasa sedih Ammar telah menyebabkan kanak-kanak lain tidak suka mendampinginya kerana akan turut membuatkan mereka berasa tertekan. Shenk, 13, berkata, terdapat perbezaan ketara selepas Ammar bertemu dengan kaunselor sekolah apabila dia dilihat lebih gembira dan rakan sekolahnya sentiasa ingin bercakap dengannya. Sementara itu, ibu angkat, Annelie Renman Amiljanic pula memberitahu, kesemua empat beradik itu agak tertekan terutamanya Ammar yang sering dilihat tidak selesa apabila beliau memanggilnya dari tingkat bawah atau sewaktu wanita terbabit mengangkat tangannya walaupun untuk mencapai sesuatu. Amiljanic dan suaminya, Dejan Smiljanic menguruskan rumah perlindungan tempat kesemua kanak-kanak itu dihantar selepas ibu bapa mereka ditahan. Wanita terbabit turut memberitahu, Aishah, anak sulung pasangan itu akan menjadi panik apabila lewat pulang ke rumah dan akan menghantar empat ke lima khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta maaf walaupun setelah Amiljanic memberitahu dia tidak perlu berbuat demikian. "Kesemua kanak-kanak itu memberitahu yang ibu mereka sering mengatakan akan menghantar mereka ke sekolah berasrama di Malaysia sekiranya mereka berperangai buruk," kata Amiljanic. Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di SpÄnga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013. Perbicaraan bersambung esok. - THE STAR |
Arifin tolak dakwaan campur tangan Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT GEORGETOWN 13 Mac - Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria hari ini menafikan dakwaan campur tangan dalam keputusan badan kehakiman baru-baru ini dalam kes membabitkan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Karpal Singh. "Saya boleh memberi jaminan tidak ada perkara seperti itu. Bagi hakim, apa sahaja keputusan mereka buat, perlu memberikan sebab dan sebab ini tertakluk kepada penelitian mahkamah rayuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim Malaysia ke-48 di sini. Beliau memberi jaminan jika keputusan badan kehakiman itu salah, tidak wajar atau menyalahi undang-undang, ia akan ditukar melalui proses biasa undang-undang. Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar selepas mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir enam tahun lepas. Mahkamah Tinggi mendenda Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh RM4,000 atas pertuduhan menghasut terhadap Sultan Perak lima tahun lalu. Ketika diminta mengulas perhimpunan haram yang dirancang pihak tertentu bagi membantah keputusan mahkamah itu, Arifin berkata, tindakan itu bukan caranya untuk menyelesaikan isu. "Kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku. Harap jangan menghukum apa yang akan berlaku di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Proses (mahkamah) dapat didengar semua orang. Semua orang mendapat layanan sama di mahkamah," katanya. Arifin berkata, badan kehakiman juga terbuka kepada kritikan tetapi ia perlu adil dan orang ramai perlu menunjukkan kepada mereka apa yang salah. "Semua prosedur mencukupi bagi memastikan kebebasan dan integriti badan kehakiman tidak terjejas. Badan kehakiman adalah satu badan paling lemah. Sesiapa sahaja boleh menyerang kami, tetapi kami tidak boleh mempertahankan diri sendiri. Kami hanya boleh mempertahankan diri dalam penghakiman kami. Kami tidak boleh terus menafikan itu dan ini," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |